EPILOG 🌻

157 14 3
                                    


Tok tok tok.

Pintu bilik kerjanya diketuk sebelum masuk seorang wanita berumur. Kak Nita yakni pembantu Ayman.

"Encik Ayman. Saya nak inform yang ladang bunga kita akan dibuka hujung bulan ini. Encik tak nak lawat kawasan sana dulu? Mana tahu kalau ada benda yang encik tak berkenan, kami boleh ubah."

Khayra Sunflower Garden.

Sepanjang lima tahun ini, Ayman telah mengusahakan sebuah ladang bunga matahari khas buat kakaknya. Nama ladang ini juga sudah didedikasikan buat Khayra. Dia ingat nak tunjuk ladang bunga kesukaan Khayra bila gadis itu bangun dari lena yang panjang. Tetapi siapa sangka kakaknya pergi dahulu sebelum dia sempat untuk membuka ladang tersebut.

"Sure, nanti saya pergi tengok."

Lepas sahaja dia berjumpa dengan Khayra di tebing itu, Ayman terus balik ke rumah mereka. Dan ternyata, Khayra benar-benar sudah pergi. Pn Ruqayyah menangis teresak-esak di sebelah tubuh kaku kakaknya. Tetapi, Ayman perasan tangisan ibunya itu lain dari yang lain.

Itu bukan tangisan ketika mana seperti berita perkhabaran bahawa Khayra kemalangan diberi kepada sang ibu. Itu juga bukan tangisan ketika kakaknya diisytiharkan koma. Tetapi itu tangisan kelegaan. Pn. Ruqayyah lega bahawa anaknya ini tidak lagi menanggung keperitan hidup yang bergantung pada mesin.

Lima tahun.

Bukan tempoh yang sekejap. Bukan juga masa yang menggembirakan. Lima tahun, tempoh kakaknya koma. Dan sepanjang masa itu, Ayman sedikitpun tidak pernah lihat ibunya menangis seperti ini. Betapa kuat dan cekalnya Pn. Ruqayyah berada di sisi Khayra hinggalah ke penghujung detik kakaknya, sang ibu masih setia di sebelah.

Segala urusan pengembumian diselesaikan dengan mudah. Ayman tidak rasa terbeban mahupun susah untuk menguruskan Khayra. Wajah kakak kembarnya yang ditatap buat kali yang terakhir kelihatan sangat tenang. Dan untuk hari yang seterusnya, Ayman tidak lagi melihat kelibat Khayra di mana-mana.

Bunyi telefon memecahkan lamunan dia. Mengagau Ayman mencari peranti bersegi itu sebelum panggilan itu diangkat.

"Assalamualaikum Ayman, sibuk ke sekarang?" suara merdu milik syurganya kedengaran di hujung talian.

"Waalaikumussalam ibu. Adik tak adalah sibuk mana. Kenapa ya bu?" belakang badan disandar ke kerusi seraya mata meliar memandang pejabat kecilnya.

"Ayman, ibu teringin nak tengok ladang bunga yang Ayman usahakan itulah. Kita pergi sekarang, boleh?"

"Ibu teringat arwah kakak ya?" tembak Ayman.

"Maaf kalau ibu menganggu adik."

"Eh? Tak adalah bu. Adik tanya saja." Ayman tahan tawanya. Memang selalu kalau Pn Ruqayyah meminta Ayman untuk membawanya pergi ke ladang bunga itu, pasti sahaja ibunya teringat pada Khayra. Ayman sudah masak benar dengan Pn Ruqayyah.

"Okay kita pergi sekarang. Ibu siaplah, nanti adik sampai rumah kita terus pergi sana." Komputer dimatikan lalu meja Ayman kemaskan. Talian yang masih bersambung itu menyebabkan lelaki itu menyelitkan telefon tersebut di antara bahu dan pipinya. Beg kerjanya diambil sebelum dia melangkah keluar dari pejabat.

Sempat Ayman memberi isyarat kepada Kak Nita bahawa dia pulang awal. Dan wanita itu terus mengangguk, faham dengan apa yang majikannya itu beritahu.

Firman Tuhan : "Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." [57:20]

AYMAN KHAYRA [C]Where stories live. Discover now