AKU pun tak tahu kenapa tapi setiap kali pandang muka dia, aku rasa tenang. Muka dia mampu buatkan hati yang resah jadi tenteram. Apatah lagi bila ada sebuah senyuman yang selalu menghiasi raut wajah itu.
Aku leka memandang dia yang tampak begitu tenang menjawab soalan Matematik di papan putih. Mana tak tenang kalau dah namanya budak Top 10. Dia tu budak target straight A SPM kot. Soalan tu semudah kacang je. Lainlah macam aku yang tak berapa nak pandai sangat ni. Setakat nak dapat A solid dalam peperiksaan Matematik tu bolehlah. Haha.
Ok, aku gurau. Aku ni jenis yang bijak sangat tak, bodoh sangat pun tak. Macam tengah-tengah. Kiranya kalau rajin sikit, aku pun boleh bersaing dengan budak-budak harapan sekolah tu semua. C’mon lah… Aku pernah rangkul tempat pertama masa peperiksaan awal tahun tingkatan 1 tak lama dulu kot.
Dia tutup penutup marker dan serahkan benda alah tu dekat cikgu yang dari tadi memerhati dia menjawab soalan. Ada senyuman kecil terselit di wajah guru berselendang kelabu tu. Nampak sangat jawapan yang tertulis tu tepat seperti dalam skema soalan.
Dia kembali ke mejanya. Sebelum duduk, dia sempat memandang ke arah sini. Sekuntum senyuman dilontarkan sebelum dia kembali fokus kepada guru yang mula menerangkan kenapa jawapan untuk soalan tu macam tu.
Aku yang baru lepas terima senyuman terus buat-buat batuk sebelum membuang pandangan ke luar tingkap. Dalam tak sedar, aku turut tersenyum sendiri.
─────────★─────────
PERKENALKAN, ini Hawa, kawan baik aku, merangkap cinta hati aku. Okey. Aku sedar yang aku ni budak lagi tapi c’monlah, semua orang ada kisah masing-masing kot. Salah ke kalau aku nak ada perasaan dekat seseorang?
Aku kenal Hawa masa darjah enam. Masa tu ayah aku ambil orang gaji untuk bantu mak aku yang makin hari makin teruk sakitnya itu. Ayah aku cukup kayalah juga untuk sediakan sebuah rumah untuk orang gaji dia tu. Dan yeah… orang gaji upahan ayah aku tu ialah Nek Rosnah, selaku nenek Hawa.
Tahu-tahu jelah perangai ayah aku tu macam mana. Sejak dia kenal dengan janda anak dua tu, mana ada dah dia nak kisahkan aku dengan mak. Apatah lagi bila diorang dah selamat bernikah, makin menjadi-jadilah perangai dia yang suka abaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah tu. Sebab apa yang ayah nampak masa tu hanyalah peranannya sebagai seorang ayah dan suami kepada keluarga barunya.
Aku tak suka adik-adik tiri aku. Aku pun tak suka mama baru aku. Diorang sangatlah menyakitkan hati. Hari pertama dekat rumah pun diorang dah buat macam harta sendiri dah. Anak sulung mama tu tiba-tiba merengek entah apa-apa dekat ayah, katanya nak bilik tidur yang aku guna. Tahulah bilik aku tu ada tandas dan bilik air sendiri, tapi agak-agaklah. Sedar tak yang kau tu hanya menumpang?
Memang sakit sangat hati aku masa tu sebab ayah lebih kisahkan anak tiri dia daripada aku yang anak kandung ni. Ayah suruh aku beralah dan bagi je bilik tu dekat dia. Bila aku tak mahu, ayah memaksa pula sampaikan aku betul-betul kena keluar dari bilik sendiri.
Akhirnya aku dapat bilik baru. Bilik yang tiada siapa pernah duduki. Bilik yang betul-betul berada di bawah tangga iaitu bilik tetamu. Tak. Aku rasa bukan bilik tetamu, tetapi bilik orang gaji. Sebab aksesori kat dalam tu teramatlah miskin – hanya ada katil bujang bercadar polkadot dan sebuah almari pakaian kayu yang ada satu ruang sahaja. Maknanya, pakaian bergantung dekat situ, pakaian berlipat pun dekat situ.
Dan tiada tingkap. Tapi nasib baiklah masih ada kipas mudah alih yang boleh berdiri itu, walaupun tak boleh ditundukkan sebab besinya sudah berkarat dengan 'parah'.
YOU ARE READING
MENYAMBUT JANJI - BY ANGOHJEE
RomanceTak faham aku kenapa aku yang tuan rumah ni pun dah macam merempat di rumah sendiri. Ayah pula macam dah termakan nasi kangkang, dengar je apa yang si budak bangang tu cakap. Mak aku mati pun sebab ayah yang abaikan mak dan lebihkan bini baru dia. T...