Bab 2

150 12 1
                                    

BAGAIKAN radio rosak, sebaris ayat itu berputar-putar di dalam fikiran Hanny. Matanya dipejam rapat lalu nafas dihembus berat. Malam ini dia tak boleh tidur dengan tenang seperti biasa. Setiap kali otaknya kosong tidak memikirkan apa-apa, setiap kali itulah kata-kata setajam sembilu yang Hyqarl lemparkan muncul kembali.

"Dah la gemuk, berjerawat pula tu."

Ya Allah, sakitnya...

Hanny mengubah posisi baringannya kepada mengiring. Cubaan untuk melelapkan mata. Jam sudah menginjak ke angka 12 tetapi matanya masih segar seperti di pagi hari. Mujurlah esok cuti hujung minggu. Kalau tidak, makin barailah dia nak menahan mata di dalam kelas.

Nampaknya, dia masih tidak mengantuk. Fikiran asyik menerawang memikirkan tentang Hyqarl. Fed up, akhirnya Hanny kalih posisi ke menelentang. Mata dibuka, memandang siling yang dihiasi kipas angin. Lalu kemudian, dia termenung panjang.

Hanny tertanya-tanya sendiri. Mengapa Hyqarl perlu memperlakukan dia dengan kasar sedangkan lelaki itu boleh saja mengetepikan perasaannya? Bukan Hanny pergi mengemis cinta pun daripada dia. Dan Hanny sendiri pun tak tahu macam mana perasaan sukanya kepada Hyqarl boleh terbongkar sehingga ke pengetahuan lelaki itu. Setahu dia, cuma Hidayah dan Alice saja yang tahu tentang rahsia yang satu ini.

Kalaulah dia boleh ubah hati sendiri semudah ABC, daripada awal Hanny tak mahu menyukai atau meminati Hyqarl. Buat apa simpan perasaan kepada lelaki itu jika akhirnya dia akan dimalukan di hadapan orang? Hanya kerana secebis perasaan yang jelas semua orang pernah rasa.

Tapi itulah, dah terlajak suka tak bolehlah nak patah balik. Lebih-lebih lagi, Hyqarl merupakan cinta pertamanya. Seseorang yang Hanny suka sejak tingkatan satu lagi. Dan sekarang, mereka sudah pun tingkatan lima. Bayangkan betapa lamanya dia simpan hati kepada Hyqarl. Tak mudah untuk dia buang perasaan 'itu' apabila mereka memang sekelas. Nak lari pun tak boleh. Mungkin Hanny kena tunggu habis sekolah baru dapat move on kut.

Dan tika itu bolehlah dia buktikan yang Hanny Elmira juga boleh berubah kepada versi yang tidak disangka-sangka. Biar Hyqarl melopong tengok the new Hanny.

Ting!

Hilang segala lamunan dan angan-angan Hanny apabila bunyi dentingan mengacau. Terus tangan menggapai telefon berjenama Samsung yang berada di meja kecil bersebelahan katil. Jari menekan punat di sebelah kanan untuk membuka skrin.

Oh, dia lupa nak matikan data rupanya. Berderu-deru masuk WhatsApp daripada grup 'BFFTJ' yang ahlinya terdiri daripada Alice, Hidayah dan Hanny.

Alice Alyana
Hanny, Yaya. Esok jangan lupa datang rumah aku tau.

Nur Hidayah
Of course tak lupa, my Alice.

Me
Okey, Alice. Korang jangan tidur lambat sangat eh. Goodnight, sweet dream.

Usai menghantar pesanan itu, Hanny mematikan data internetnya. Tak mahu terlalu leka. Dia harus merehatkan badan dan fikiran sekarang ini. Tolong, Hanny. Tolong padam Hyqarl daripada fikiran kau. Kau perlu tidur daripada fikirkan tentang dia. Berkali-kali ayat itu diingatkan di dalam kepala. Biar dia bosan dan akhirnya tertidur tanpa sedar.

↶*ೃ✧˚. ❃ ↷ ˊ-

HARI ini Hanny mengenakan bawal chiffon berwarna coklat dan pakaian casual berwarna beige untuk ke rumah Alice. Selesai melihat keseluruhan penampilannya di muka cermin, barulah dia bergerak keluar daripada bilik dengan berpuas hati. Batang tubuh ibu kesayangannya kemudian dicari di setiap pelosok yang ada.

"Ibu... oh... ibu..." Hanny memanggil berkali-kali apabila kelibat ibunya masih tidak kelihatan. Kalau di bilik tak ada, di ruang tamu tak ada, maka mesti ada di dapur.

The New HannyWhere stories live. Discover now