BAB 1

2K 43 1
                                    

"MAMA! Mana baju Ultraman yang mama belikan untuk Danish?"

Dari dapur lagi aku dapat mendengar suara laungan Danish, satu-satunya anak kesayangan yang aku ada. Dialah penyeri kehidupan aku setelah aku bercerai dengan bekas suami aku dua tahun yang lepas.

Aku tidak nafikan, rumah tangga yang aku bina tanpa cinta bersama Darwin berjaya bertahan selama enam tahun setengah. Hasil daripada perkahwinan itu, kami dikurniakan seorang anak yang comel dan bijaksana.

Malangnya, jodoh kami tidak ke mana. Aku tahu, jauh di sudut hati, Danish bersedih kerana mama dan papanya bercerai tapi, hendak buat macam mana? Hanya setahun aku bahagia selebihnya aku menderita.

Selepas aku melahirkan Danish, perangai Darwin semakin berubah. Darwin kerap memukul aku sekiranya aku enggan akur dengan segala arahannya. Namun begitu, aku masih cuba bersabar memandangkan Danish yang masih kecil dan perlukan perhatian ibu bapa.

Semakin umur Danish meningkat, Danish nampak apa yang Darwin buat kepada aku. Tubuh aku sudah lali menjadi mangsa pelampias nafsu dan amarahnya.

Aku membuat keputusan ingin bercerai dengan Darwin demi anak aku juga. Aku tak nak Danish membesar dalam suasana yang tidak sempurna.

Aku tahu, broken family pun bukanlah elok sangat tapi, hendak buat macam mana? Aku tidak sanggup lagi menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Aku tak nak Danish jadi seperti papanya, kaki pukul dan kaki perempuan. Aku dan Darwin berkahwin pun di atas desakan mak cik saudara aku yang terhutang budi dengan Darwin. Disebabkan rasa terhutang budi itulah kebahagiaan aku terpaksa digadaikan.

Di saat orang lain berseronok memikirkan menara gading, aku telah pun diijab kabulkan dengan lelaki yang aku tidak cinta. Sepanjang enam tahun setengah aku dan Darwin menikah pun dia tidak pernah kenalkan aku kepada saudara mara dia.

Semasa kami kahwin, hanya ibu, ayah dan adik- beradiknya sahaja yang datang manakala di pihak aku cumalah mak cik saudara aku dan arwah datuk aku sahaja yang datang. Pendek kata, perkahwinan kami tersangatlah tertutup.

Aku masih ingat lagi macam mana Darwin mnghulurkan bantuan kepada mak cik saudara aku yang pada ketika itu sedang buntu mencari wang untuk membayar kembali hutang- hutang yang telah dibuat oleh bekas suaminya.

Mungkin, Tuhan hantarkan Darwin sebagai jalan penyelesaiannya.

"Saya sebenarnya dah lama sukakan Aisy. Sebab itulah saya tolong mak cik. Saya harap mak cik sudi terima saya sebagai menantu."

Begitulah ayat yang Darwin lontarkan seminggu selepas dia membantu mak cik saudara aku. Rupa-rupanya, pertolongannya itu bukannya percuma. Dia bantu mak cik saudara aku kerana dia mahukan aku.

Darwin juga pernah bilang, dia jatuh cinta dengan aku semasa dia nampak aku pulang dari sekolah. Walaupun umur kami beza enam tahun tapi perbezaan itu sedikit pun tidak menghalang keinginannya ingin memperisterikan aku.

Selepas aku habis SPM, aku terus dinikahkan dengan Darwin yang pada ketika itu berusia 23 tahun. Aku tidak nafikan, bekas suamiku itu boleh tahan kaya juga orangnya.

Bapanya ada membuka perniagaan simen. Maka tidak hairanlah kalau dia boleh taburkan tiga puluh ribu selepuk untuk melangsaikan hutang bekas bapa saudaraku.

Walau bagaimanapun, hati aku tidak ada pada Darwin. Walaupun zahirnya aku bergelar isterinya tetapi pintu hati aku tertutup untuk cinta pertamaku, iaitu Zafriel Ikhwan. Aku tahu, aku tidak seharusnya merampas kebahagiaan sahabat baikku sendiri tapi, perasaan ini hadir tanpaku pinta.

Bukan aku tidak pernah cuba lupakan dia tapi semakin aku cuba semakin sakit yang aku terima. Akhirnya, rasa cintaku kepada Zafriel, aku tanam kemas-kemas di lubuk hati yang paling dalam.

Aku cuba juga untuk mencintai Darwin tetapi aku tidak mampu melakukannya. Selepas sahaja kami membuat haluan masing-masing, aku berasa lega kerana aku tidak perlu lagi menjadi mangsa keganasan rumah tangga manakala Danish tidak perlu lagi menyaksikan drama aku dipukul oleh papanya.

Selepas sahaja aku bercerai dengan Darwin dua tahun yang lepas, aku terus berpindah ke Kuala Lumpur. Di sini, aku menyewa rumah teres satu tingkat. Cukuplah untuk aku tampung kos kehidupan aku dan anakku di sini.

Lagipun, aku bekerja sebagai kerani di satu syarikat keluaran baju. Selain itu, aku juga ada menulis novel. Kebanyakan novel aku sold out dan ada dua naskhah novel aku telah diadaptasikan kepada drama.

Aku bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang. Kehadiran Danish semakin menambahkan lagi rezeki aku. Tidak pernah sekalipun aku berasa rezeki aku sempit. Syukur kepada- Nya yang sudi menunjukkan jalan.

"Mama, dengar tak Danish tanya? Mana baju Ultraman Danish yang mama belikan?" soal Danish sambil menarik-narik seluarku. Entah bila dia ada di dapur pun aku tidak pasti.

"Ya, sayang. Mama dengar. Baju Ultraman Danish mama basuh. Danish pakailah baju lain dulu. Sibuk sangat dengan baju Ultraman dia tu. Danish kan banyak baju," balasku. Kepalanya aku usap-usap.

"Alah, Danish nak pakai baju Ultraman tu. Kejap lagi dahlah kita nak keluar jalan-jalan," gerutunya dengan muka yang tercebik-cebik.

Aku tergelak kecil. Aku bertinggung di hadapannya. Umur dah masuk tujuh tahun pun sikap mengada-adanya masih menebal lagi.

"Alah, Danish pakailah baju lain. Takkanlah nak dibiarkan baju Ultraman tu tak berbasuh? Berkuman nanti, sayang." Aku cuba memujuknya. Pipi tembamnya aku elus-elus perlahan.

"Yalah, yalah. Danish pakai baju Upin dan Ipinlah. Mama tunggu kejap. Danish nak pakai baju," katanya.

Aku menghantar langkah Danish melalui ekor mata. Tersenyum-senyum aku memandang anak lelakiku itu. Semoga suatu hari nanti dia mampu melindungi mamanya ini.

KERETA Viva berwarna putih aku parkirkan di sebelah sebuah kereta berjenama Mercedes Benz. Tali pinggang keledar aku tanggalkan. Aku terus meluru ke bahagian penumpang. Aku bukakan pintu untuk Danish.

Rambut Danish yang agak bersepah aku rapikan sebelum kami bersama-sama melangkah masuk ke dalam pusat membeli-belah.

"Mama, Danish nak makan ais krim Baskin Robbins boleh?" soalnya kepadaku.

"Boleh, sayang." Aku mengangguk. Kalau bukan aku, dengan siapa lagilah dia nak bermanja? Kalau boleh, aku nak bagi sepenuhnya kasih sayang aku kepada Danish supaya dia tidak kekurangan kasih sayang.

Akulah ibu, akulah bapa. Hanya ibu tunggal seperti aku sahaja yang mengerti bagaimanakah perasaannya membesarkan anak seorang diri tanpa kehadiran suami.

Darwin pun bukannya pernah layan Danish baik-baik walhal Danish ini darah dagingnya. Biarlah... Aku tak nak ingat kisah lama lagi. Aku ingin mulakan hidup baharu dengan Danish. Hanya kami berdua.

Usai menemankan Danish makan ais krim di tempat harga bak Yahudi itu, aku memimpin pula tangannya menuju ke kedai buku. Niatku ingin membeli novel.

Selain menulis, aku juga minat membaca karya orang lain. Itulah rutin harianku kalau bosan tiap malam. Kalau tidak menulis, aku akan membaca. Kadang-kadang fefeeling sendiri.

Pipi Danish aku cubit perlahan. Entah mana silapku, aku terlanggar badan seseorang. Aku terus talakan pandangan aku ke hadapan. Mulutku seolah-olah terkunci melihat sepasang kekasih di hadapanku.

Zafriel!

Nama itu terdetik di dalam hatiku. Genggaman tanganku pada tangan Danish kian melonggar. Setelah lapan tahun kami terpisah, akhirnya takdir mempertemukan kami kembali.

"Aisy?"

LELAKI TERAGUNG [18+]Where stories live. Discover now