BAB 1

232 13 0
                                    

"IBU!"

Alma tersentak. Pantas dia seka kedua pipinya yang basah dengan hujung lengan. Wajahnya cuba dimaniskan di hadapan si kecil. Tubuh itu dirangkul erat.

"Ibu tak dengar ke Adam panggil?" Masam mencuka wajah si kecil.

Alma sedikit rasa bersalah. Tiba-tiba dia terkenang kembali kisah yang meragut seluruh kebahagiaannya hampir enam tahun yang lepas. Kini dia bersyukur, hidupnya diserikan dengan kehadiran Adam.

"Maaf, sayang. Anak ibu nak apa?"

"Tengok ni..."

Adam suakan kertas lukisannya kepada Alma. Berkerut dahi wanita itu. Ada tiga orang yang dilukis di dalam kertas itu. Tapi hanya ada dua wajah yang dilukis oleh si anak.

"Yang ni kenapa tak ada mata, hidung dan mulut?" soal Alma.

"Adam tak tahu nak lukis gambar babah."

Alma terus terdiam.

"Ibu bagilah gambar babah. Adam nak lukis gambar babah."

Tertelan air liur Alma. Sejak lelaki itu tinggalkan dia, tiada satu pun kenangan yang dibawa bersama. Dia tak nak terkenangkan apa yang pernah berlaku di antara mereka berdua.

"Ibu..." Tangan Alma digoyangkan.

"Ibu... ibu tak ada gambar babah." Rasa nak tergeliat lidah Alma menyebut perkataan babah.

Dalam hati, dia menyumpah seranah. Lelaki itu tak layak bergelar ayah kepada anaknya.

"Tipu. Ibu cakap dulu ada simpan. Bila Adam dah besar, ibu nak tunjuk. Sekarang umur Adam dah lima tahun." Adam sua lima jarinya kepada Alma.

Serba salah Alma. Silapnya juga kerana terpaksa menipu dulu.

"Ibu... ibu tak jumpa sayang. Mungkin gambar tu dah hilang."

Adam campak kertas lukisannya di atas lantai. Dia terus berlari masuk ke dalam bilik. Alma pantas mengejar anaknya ke bilik.

"Adam..."

"Ibu tipu Adam lagi! Ibu cakap, ada simpan gambar babah." Tiba-tiba Adam menangis.

Cuak Alma. Tubuh itu cuba didakap tetapi anaknya meronta-ronta minta dilepaskan.

"Semua orang ada babah. Dekat sekolah, kawan-kawan selalu cerita pasal babah. Tapi kenapa babah Adam tak balik lagi?"

Bergenang tubir mata Alma. Bibirnya digigit kuat. Alasan itulah yang sering dia berikan kepada Adam. Kononnya ayah Adam bekerja di tempat yang jauh. Dalam usia Adam sekarang, sudah tentu anaknya faham serba sedikit tentang susuk tubuh seorang ayah.

"Adam tak nak pergi sekolah."

"Jangan macam tu, Adam. Ibu dah pernah beritahu, babah Adam kerja. Dia tak dapat balik."

Makin kuat tangisan si anak. Alma hela nafas berat. Tak mustahil keadaan anaknya akan terus begini sehingga ke pagi esok.

"Okey. Ibu bagi gambar babah. Sekarang Adam berhenti menangis."

Mati esakan si kecil. Pipinya dikesat kasar dengan kedua tapak tangannya.

"Betul ke?"

Sebak dada Alma melihat wajah penuh berharap si anak. Dahi Adam dicium penuh kasih.

"Adam tunggu sini. Ibu nak ambil gambar babah."

DEMI DIA... (PREORDER SEHINGGA 1 DEC 2023)Where stories live. Discover now