FAHMITA duduk di atas tangga rumah separuh kayu dan separuh batu. Sejak beberapa hari yang lalu dia banyak mendiamkan diri. Ayah kesayangannya sudah meninggal dunia. Selepas kembali daripada berjumpa seseorang di kota Metropolitan itu, kesihatan yang sudah merosot itu semakin merosot. Bukannya dia tidak tahu sejak berpuluh tahun yang lalu , ayahnya itu masih bersedih sendiri, kerana ditinggalkan isteri sendiri. Lelaki dengan hati yang lembut seperti ayahnya tentu sangat terasa kerana ditinggalkan.
"Fa, jangan bersedih sangat. Arwah ayah tak mahu Fa sedih." Suara lembut yang bersuara di belakangnya mengejutkannya. Sejak tadi dia hanya memandang ke kawasan laut luas di hadapan rumah.
"Kalaulah ayah tak pergi, tentu kesihatan ayah tak akan terus merosot. Fa dah cakap jangan pergi. Orang dah buang kita buat apa nak pergi lagi." Fahmita meraup muka.
"Allah SWT dan tetapkan bila ayah nak pergi. Itu cuma asbab saja." Ibu saudaranya itu memujuk. Dia mengusap bahu Fahmita.
"Tapi, dia penyebabnya." Fahmita masih menyalahkan.
"Dia tetap ibu Fa..."
Fahmita ketawa sinis. Kalau sudah namanya ibu, mana mungkin akan meninggalkannya begitu saja. Kerana kemiskinan? Ramai saja orang miskin, tapi semua orang tidak pernah melarikan diri.
"Malaslah nak cakap lagi, mek." Fahmita mengukirkan senyuman kelat. Mek adalah satu-satunya saudara sebelah ayahnya. Kakak kepada ayahnya.
"Fa tak nak jalan-jalan sini dulu ke? Dah lama Fa tak balik sini." Mek bertanya sambil tersenyum kerana Fahmita memandangnya.
"Naklah. Rindu betul dengan tempat ni." Fahmita sengih lagi. Phuket memang dikenali dengan pantai-pantai yang cantik. Rugilah kalau dia tidak melawat tempat tumpah darah ayahnya.
"Fa nak jumpa Achara dulu." Fahmita memberitahu. Sudah hampir setahun dia tidak bertemu dengan Achara. Kawan baiknya itu mempunyai salon rambut berdekatan dengan pantai.
"Mek pun dah lama tak jumpa Achara sejak dia ke sana." Mek juga memberitahunya.
"Mek nak ikut Fa?" tanya Fahmita.
'Tak naklah. Malas nak naik motor jauh-jauh." Mek menggeleng dengan mata memandang ke arah motorsikal Fahmita. Fahmita menyengih. Meknya itu sudah pasti tak selesa kalau menjadi pembonceng.
Fahmita bingkas dan segera bergerak ke dalam rumah. Tidak lama selepas itu, dia keluar semula. Sudah lengkap berpakaian.
"Baju tu kalau tak pakai tak boleh ke?" tanya Mek.
"Kenalah Mek. Ni baju keselamatan. Naik motor macam ni kena pakai begini."
"Ketat macam tu, Mek tengok pun lemas." Meknya membebel.
Fahmita menyengih sebelum menyalami tangan Meknya dan dia bergerak ke arah motorsikalnya. Topi kaledar dipakai. Menderum bunyinya apabila enjinnya dihidupkan. Mek sebenarnya tidak suka Fahmita menunggang motorsikal berkuasa tinggi macam tu. Tapi, dia nak marah macam mana, bila Fahmita tidak tinggal sekali dengannya. Balik ke sini pun kadang-kadang saja. Cuma apabila ayahnya meninggal dia lama di sini. Sudah sebulan dia di sini.
"Jual ajelah motor ni. Mek risau betul kalau tengok Fa bawa motor ni..."
"Tak sampai masanya lagi..." Fahmita menyengih kepada Meknya. Dia mengangkat tangan dan terus memecut.
Fahmita menongkatkan motornya di tempat letak motorsikal. Menanggalkan helmet dari kepala dan disauk ke lengannya. Dia berjalan melalui kedai-kedai yang dipenuhi pelanggan. Ada pelbagai jenis jualan. Pintu salon Achara ditolak. Bunyi loceng membuatkan Achara yang sedang memotong rambut menjerit.
"Fa!!"
Fahmita menyengih di depan pintu.
"Chan khidtheng ther!" Achara menjerit dalam bahasa Thai. Tak tunggu lama, Achara terus berlari kepadanya. Memeluk Fahmita. Siapa cakap dia tidak rindu dengan Achara. Pipi Fahmita terus dicium Achara.
"Lama gila kita tak jumpa."
"Aku sibuk." Fahmita menjawab perlahan.
"Kau balik buat apa kat sini?" tanya Achara. Melihat Fahmita menanggalkan jaketnya. Dia meletakkan jaket itu di atas helmetnya.
"Aku nak minta maaf sebab tak beritahu kau lebih awal. Ayah aku dah meninggal." Fahmita memberitahu Achara. Matanya berkaca ketika memberitahu Achara.
"Kenapa?" tanya Achara mengusap lengan Fahmita.
"Dia sakit ditambah pula terluka dengan apa yang isteri dia buat kat dia. Sebelum meninggal dia pernah pergi jumpa ibu aku tu. Ayah aku mungkin dah rasa dia mahu pergi, katanya nak suruh aku tinggal dengan ibu aku." Fahmita mencebik.
"Habis tu macam mana sekarang?" tanya Achara.
"Aku boleh hidup sendirilah. Aku tak akan terhegeh-hegeh kepada perempuan yang telah membuang aku tu." Fahmita mengetap gigi. Mungkin dialah anak yang pertama dalam dunia ini mendendami ibu sendiri.
Achara cekap menggunting rambut pelanggannya walaupun sedang berbual dengannya.
"Kau tutup kedai pukul berapa?" tanya Fahmita.
"Aku boleh aje keluar. Pekerja aku ada." Achara kenyitkan matanya.
"Aku tunggu kau. Sudah lama aku tak ambil angin kat sini. Agaknya aku pun dah lupa jalan," kata Fahmita sambil ketawa kecil.
"Kau tu lupa daratan." Achara tergelak-gelak.
Fahmita ketawa sambil memandang ke dalam cermin. Pelanggan Achara sedang memandangnya. Dia hanya senyum nipis saja. Rambut beralun dan panjang itu diselitkan di cuping telinganya. Memandang ke sekeliling salon yang luas ini. Penuh dengan pelanggan. Ah, apa nak hairan pelancong yang datang terlalu ramai. Sampaikan ada yang tidak mahu pulang ke tempat masing-masing. Entah apa yang menarik sangat tak tahulah. Ada ladyboy? Atau terlalu mudah nak dapatkan perempuan tempatan. Fahmita rasa itu adalah antara faktornya.
"Nanti kita cari baju, aku rimas pula pakai baju ni setiap masa. Tak kena dengan tempat pula." Fahmita bingkas apabila Achara sudah selesai memotong rambut pelanggannya. Fahmita pandang dirinya. Lengkap berpakaian sebagai penunggang motorsikal.
"Aku ada baju," kata Achara.
"Baju kau yang tak cukup kain tu." Fahmita menjuih. Achara ketawa. Terpaksalah pakai seksi sebab nak tarik pelanggan. Saingannya sengit ditambah dengan ladyboy yang nyata sebijik macam perempuan ,berbeza apabila mereka bersuara saja.
Fahmita memilih dress labuh berwarna olive. Baju daripada kain cotton itu lebih sesuai kerana dia berada di tepian pantai.
"Nampaklah perempuan sikit daripada tadi. Kau ni macam lelaki kalau naik motor tu." Achara membebel.
"Dari dulu lagi aku minat. Tapi, itulah Mek aku pun tak suka. Tengoklah macam mana nanti." Fahmita sengih.
"Kau ni kalau balik sini mesti orang ingat orang sini."
"Aku orang sini. Ayah aku orang sini. Bezanya aku lahir kat sana." Fahmita menolak bahu Achara.