BAB 1

74 13 20
                                    

Kanvas langit biru perlahan bertukar warna kejinggaan. Remang cahaya petang bahkan semakin berkurangan. Senja tidak lama lagi bakal menjemput bumi. Masih ada seorang gadis remaja lingkungan 17 tahun duduk menggantungkan kaki di bangku berdekatan pagar sekolahnya, menanti ketibaan ibu atau bapa saudaranya datang menjemput dengan penuh sabar.

Dia menggarit bibir resah, melihat kepalan awan mendung berarak perlahan di atas kepala, tandanya hujan akan tiba. Baru saja langit sebentar tadi memuntahkan airnya, menyisakan lopak-lopak air di sekitar– menyisakan kesan becak pada tapak kasut putihnya akibat terpijak tanah merah berdekatan.

Tatapan sepi dilemparkan pada pondok telefon awam yang tidak jauh jaraknya. Andai duit syiling berada cukup di dalam dompetnya sekarang, pasti sudah lama dia mencapai ganggang itu lalu nombor pada badannya ditekan, menghubungi kedua penjaganya itu.

Masalah dia, bukan kerana duit syiling yang tidak mencukupi.

Masalah dia,

Dia tidak boleh bercakap.

Dia bisu.

Lima minit lagi. Cukup saja masa lima minit, dia akan berjalan kaki pulang ke rumah.

Sudah biasa dia dilupakan begini. Sidah biasa dia dibiarkan sendirian di sini.

Tag nama disematkan pada bahagian kanan dada dicabut. Tag nama berkilat itu ditenungnya lekat-lekat.

CAHYA FARHAH
PELAJAR PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI

Dia pelajar pendidikan khas kerana kekurangannya dalam aspek pertuturan. Kekurangannya inilah telah menyebabkan banyak penindasan berlaku ke atasnya. Contohnya seperti sekarang, ibu dan bapa saudaranya tergamak meninggalkan dia termangu sendiri di sini.

Dia bisu, bukannya sebuah dosa besar, kan? Mengapa rata-rata manusia menghukumnya, menginjak dia layaknya dia seorang pendosa tegar hanya kerana dia bisu?

Bukankah lebih enak begitu? Lebih senang menjadi bisu? Bisu juga anugerah Tuhan. Kekurangan dalam bertutur, kan, dapat menghindari dia daripada mengutarakan sebarang perkata yang sia-sia?

Memaki hamun, seperti yang sering dilakukan oleh ibu saudaranya, misalnya.

Menabur fitnah, seperti yang sering dilakukan oleh bapa saudaranya, tentunya.

Cahya tidak sedih dengan kekurangannya. Cahya cuma sedih, nasib manusia sepertinya tidak terbela. Masih ramai masyarakat tidak arif berbahasa isyarat, mengundang kesusahannya untuk berkomunikasi di merata tempat.

Cahya sigap bangun. Baiklah, sudah melebihi jangka masa lima minit. Dia akan pulang berjalan kaki hari ini. Harus pantas, kerana langit di atas kepala semakin mendung dan berarak laju.

Berjalan pulang ke rumah, Cahya mengambil jalan pintas untuk lekas pulang. Melangkah laju sepanjang berjalan. Pergerakan kakinya terhenti terpandangkan sekumpulan remaja lelaki duduk melepak di tepi jalan, merokok dan memekik tidak jelas apa. Tak semena-mena, jarinya dibawa mengepit hidung. Dia tidak suka bau nikotin.

Mereka saling bersabung pandang. Dan pandangan yang dia terima dari para remaja lelaki itu sangat membuatkan dia tidak selesa. Pekikan mereka mati, berganti dengan bunyi siulan menggoda.

Oh, tuhan, dia pernah dengar dari mulut orang-orang tentang risiko melalui jalan pintas ini dan dia terlupa tentangnya!

Cahya menarik nafas. Dengan kedua-dua tangan memegang erat tali beg di bahu, dia melarikan pandangan. Menekur memandang tanah seiring meneruskan langkah. Langkah yang asalnya laju, semakin melaju dengan niat segera melepasi sekumpulan remaja tidak bertauliah itu.

CAH[A]YAWhere stories live. Discover now