DHIYA
Dia berpaling dari aku. Aku tahu dia penat. Penat mahu memiliki lelaki cacat seperti aku. Katanya aku tiada sepasang kaki seperti lelaki lain untuk melutut dan ungkapkan kata cinta di hadapannya. Aku tahu. Aku tak sesempurna lelaki lain.
Hari ini, sudah cukup aku menahan segalanya. Aku rela melepaskan dia pada lelaki lain yang lebih sempurna daripada aku. Yang mampu melutut di hadapannya dan menyarungkan sebentuk cincin di jari manisnya. Lelaki yang boleh buat dia bahagia.
Apakan daya, lelaki yang duduk di atas kerusi roda seperti aku tak mampu untuk bahagiakan perempuan yang aku sayang.
Pap! Pap! Pap!
Paha yang tidak berfungsi aku tumbuk sekuat hati dengan tangan.
"Kenapa? Kenapa Ya Allah?!"
Menangis aku dengan tangan yang tidak berhenti menyakiti diri sendiri. Hari itu, aku memilih untuk menyalahkan takdir. Mengapa hidup aku tidak sesempurna orang lain?
Pap!
Sekali lagi aku tumbuk sekuat hati.
Pap!
Kalaulah aku boleh berjalan macam lelaki biasa. Adakah hidup aku akan lebih bahagia?
Pap!
Lengan aku tiba-tiba ditahan. Aku terkedu. Kemudian, kepala terus mendongak. Di hadapanku, terdapat seorang wanita yang memandang aku dengan seribu tanda tanya. Mata kami bersabung.
"Kashah?" Wanita itu menyebut nama aku. Aku kenal dia. Wanita yang dulu pernah simpan perasaan pada aku.
"Dhiya?"
Senyuman manis dia ukirkan buat aku. Ya, senyuman yang tidak layak diberikan pada aku kerana pernah lukakan hatinya sewaktu ketika dahulu. Aku masih ingat.
"Ingat lagi awak dekat saya?"
Senyumannya melebar. Tetapi, kesan merah di matanya tidak dapat membendung kenyataan yang dia juga menangis.
"Awak sihat?" Aku mengangguk perlahan. Tangan sendiri aku genggam untuk buang rasa gementar. Aku rasa malu dengan dia.
"Dh-Dhiya, sihat?"
Dia tertawa kecil sebelum mengangguk lalu menolak kerusi roda aku agar menjauh dari pinggiran tasik ini.
"Apa awak buat dekat sini? Tak baik menangis sorang-sorang.." Dia berkata pada aku.
Buat seketika aku terdiam. Sepatutnya soalan itu yang patut aku tanyakan padanya.
'Kenapa awak menangis?'
"Tak ada apa," Tetapi aku cuma membalas itu. Tidak mahu masuk campur hal hidupnya.
"Awak nak bawa saya pergi mana ni?" Sehingga hujung tasik dia usung aku. Selepas beberapa minit, baru dia bersuara.
"Lepasni kalau awak ada masalah. Awak boleh cari saya. Saya ada untuk dengar masalah awak."
Sejak dari hari itu, hidup aku terasa lebih bahagia dengan Dhiya di sisi. Segala rahsia yang tersirat di dalam hati aku luahkan semuanya pada Dhiya. Aku takut untuk jatuh cinta buat kali kedua sebenarnya. Tetapi, Dhiya buat aku percaya bukan semua perempuan itu sama. Aku bersyukur kerana Dhiya muncul dalam hidup aku. Baik dan kurang aku dia terima dengan ikhlas.
Kami mula menyatakan cinta antara satu sama lain. Aku sayang Dhiya dan Dhiya sayangkan aku. Sehinggalah aku memilih Dhiya untuk menjadi suri hati milik aku buat selamanya. Akulah orang yang paling bahagia apabila mendengar perkataan setuju keluar dari mulut Dhiya.