EMILY merengus kuat. Gara-gara perempuan yang menyakitkan hati itu dia dimarahi oleh ayahnya. Ayahnya selalu begitu. Suka menyebelahi perempuan itu yang merupakan kakak tirinya. Apa lebihnya perempuan itu dia juga tidak tahu. Mungkin bagi ayahnya, Emily seorang anak yang terlalu manja yang hanya menghabiskan duit saja berbanding kakak tirinya yang menjawat jawatan pembantu pengurus salah sebuah hotel terkemuka.
Emily mencebik sendirian. Setakat jawatan itu dia tidak hairan. Entah ketua mana yang melantik Clara itu. Kasihan mereka kerana mendapat pekerja seperti Clara.
Dia terus berjalan di sisi bangunan tengah kota. Selepas dimarahi ayahnya, dia terus mengambil tindakan keluar dari rumah sebentar. Risau hati semakin sakit bila mendengar ayahnya menangkan Clara walaupun sewaktu mereka bergaduh Clara tidak ada di rumah. Tapi dia tahu, ibu tirinya pasti akan memberi khabar kepada Clara bahawa dia baru lepas bergaduh dengan ayahnya.
Sambil Emily membebel, dia tidak sedar yang dia sudah berada di sebuah tempat. Mata merenung kagum bangunan yang tersergam indah di hadapannya. Tidak salah dia ini hotel yang perempuan itu bekerja. Passionné Hotel. Nama saja sudah terlihat mewah bagaimana saja dengan dalamannya. Pasti lebih mengagumkan.
Dia angkat kening sambil berfikir. Patutkah dia masuk ke dalam? Mencari tahu bagaimana suasana pekerjaan Clara? Tapi, apa perlunya?
Bibir terkatup. Tapi, tidak ada salahnya, kan? Lagipun, dia jadi ingin tahu dengan suasana dalam hotel yang digembar-gemburkan mewah itu. Dengarnya, hanya orang kaya yang selalu menjejakkan kaki di sini. Biasalah. Penginapan sehari mungkin dicaj dengan harga mahal.
Baju di tubuh dibetulkan letak. Emily melangkah masuk ke dalam hotel. Ada dua pengawal dan seorang penyambut tetamu di depan pintu hotel. Jelas lobinya saja sudah mampu meraih perhatian pengunjung. Sangat elegan dan mewah. Dia agak terpegun seketika.
Matanya cepat saja dapat menangkap susuk tubuh Clara, kakak tirinya apabila dia meliarkan pandangan di lobi hotel itu. Dia tercebik, senyum. Patutlah berlagak sangat dengan dirinya.
Megah Clara kelihatan sedang berdiri di kaunter hotel. Wanita itu dilihat seperti sedang memarahi pekerjanya. Cara wanita itu bekerja seolah-olah menjawat jawatan yang tinggi. Dasar berlagak! Jawatan pembantu pengurus hotel bukanlah besar mana.
Emily mengomel sendirian. Perlahan-lahan langkah dibawa mendekati kaunter hotel itu.
Hampir terjegil biji mata Clara apabila menangkap figura yang tidak terfikir dilihat. Buat apa budak itu ke sini? Gigi dikertap. Dasar menyusahkan!
"Hi, kakak." Emily menyapa Clara dengan suara yang cuba dilembutkan.
Pekerja yang tadi sedang dimarahi Clara turut menoleh.
"Kau buat apa di sini?" tanya Clara dengan gigi diketap kuat. Cuba menahan marah di hadapan pekerjanya.
"Sengaja... Aku nak tengok kerja seperti apa yang dibanggakan ayah. Tak sangka hebat juga hotel tempat kau bekerja. Besar dan cantik. Tapi tak setanding dengan jawatan kau."
Clara memberi jelingan tajam kepada Emily. Jika tidak difikir dia sedang bekerja sudah lama gadis itu dikerjakan.
"Sudah, kau boleh sambung kerja kau," ujar Clara kepada pekerjanya yang sejak tadi di situ. Dia menghantar kelibat pekerjanya dengan ekor mata.
Clara mendekati Emily bila dia pastikan pekerja tadi sudah tiada di situ. Hanya sedikit pekerja yang lain sibuk melakukan tugas masing-masing di bahagian kaunter pendaftaran masuk pelanggan.
Dicengkam sedikit tangan Emily tapi gadis itu lebih pantas kerana menepisnya terdahulu.
"Kau jangan nak ganggu kerja aku. Budak macam kau tak layak berada di sini. Baik kau balik."
YOU ARE READING
ATTRACTION
RomanceEdward. Pandangan helangnya memukau wanita. Mampu mencairkan patela dan humerus wanita agar jatuh dalam dakapannya. Namun dia ada satu prinsip. Tidak akan sesekali menyentuh gadis remaja. Not in his life. Tapi kerana satu malam, pandangan helang...