Bab 3

11 1 1
                                    

Klang!

Ktang!

Krang!

Sofia jadi tidak khusyuk apabila bunyi-bunyi itu datang menyerang gegendang telinganya. TV yang menyiarkan siri K-drama Welcome to Samdal-ri dihentikan seketika. Pandangannya terus diarahkan kepada satu susuk yang masih tidak habis lagi membasuh pinggannya. Sekejap-sekajap dia akan mengambil semula pinggan yang dah dibasuhnya, untuk dibasuh sekali lagi. Dari tempat dia duduk, Sofia boleh mendengar omelan yang kedengaran sayup.

"Kau nak basuh berapa kali pinggan tu? Nak sampai berlubang ke?" Kerutan pada kening Sofia masih tidak hilang. Pelik sungguh dia melihat ulah rakan serumahnya itu. Sejak pulang dari kerja lagi dia dah perasan mood gadis itu tidak baik. Nak kata dia sedang datang bulan, elok pula dia solat maghrib terlebih dahulu sebelum makan malam sama-sama.

Pinggan yang dibasuh untuk entah kali ke berapa itu diletakkan semula di rak. Keluhan dihembus kasar. Dia berpusing menghadap Sofia. Mukanya cemberut sebelum dia merengek.

"Piaaa ...." Pantas gadis itu mengorak langkah ke arah Sofia dan terus membenamkan mukanya pada paha Sofia.

"Kau ni dah kenapa aku tengok macam mak kucing hilang anak ni, Naura? Stres pulak aku tengok." Walaupun dia rimas tengok perangai Naura yang macam tak betul itu, tangannya tetap membelai lembut rambut Naura yang panjang itu.

"Cepat duduk bawah. Aku sikat rambut kau."

Naura yang menyembamkan mukanya pada paha Sofia terus mengangkat wajah. Senyumannya melebar menampakkan barisan gigi yang putih. "Sebab tu aku sayang kau Pia. Cium sikit?" Bibirnya yang melebar tadi, kini dimuncungkan pula.

Sofia pun apa lagi, dia mengambil ruang dan kesempatan yang ada itu untuk mencubit mulut Naura sebelum menariknya. Badan Naura ikut terdorong mengikuti tarikan dan cubitan Sofia itu.

"Hmmphhh!"

"Ha ... aku dah offer betul, kau nak gedik-gedik dengan aku. Tu lah makan dia. Cepatlah ambil sikat sana." Cubitan dilepaskan dan Naura terus mengelap bibirnya yang kemerah-merahan. Naura menjeling Sofia tajam. Tangannya diangkat laju, mengacah mahu memukul Sofia, tetapi Sofia sudah cepat-cepat menjegilkan matanya.

"Ha, berani buatlah. Aku cubit mulut kau biar panjang macam itik."

Naura menjuihkan lidahnya seraya bangun menuju ke biliknya untuk mencapai sikat. Memang begitu pun cara mereka berdua bergurau — kasar, fizikal, tetapi itulah yang membuatkan mereka senang kamceng. Kedua-duanya pun membesar dengan adik-beradik lelaki yang ramai. Jadi gurauan mereka memang lebih kasar.

Sikat dihulurkan kepada Sofia dan Naura mengambil tempatnya di atas lantai. Badannya disandarkan ke sofa, dan Sofia mula menyikat rambut Naura.

"Ceritalah."

Naura mengambil alat kawalan jauh dan memainkan semula siri drama yang dihentikan Sofia tadi. Bunyinya diperlahankan sedikit. Dia hanya mahu ada sedikit bunyi. Kesunyian menakutkannya.

"Kau tahu tak aku jumpa siapa tadi?"

"Tan Sri yang banyak duit tu ke? Yang kau kena buat rumah untuk anak dia tu?" tanya Sofia sambil dia mula menocangkan rambut Naura. Rambut Naura panjang dan lurus, sebab itu Sofia suka menyikatnya.

"Hmm ... ya. Tapi aku ada jumpa orang lain juga."

"Siapa?"

"Tekalahhh ...."

"Ya Allah kau ni kan. Manalah aku nak tahu kau jumpa siapa. Takkanlah kau terjumpa Ji Chang-wook pula?"

"Oh my God!" Naura terus berpaling memandang Sofia. Ikatan tocang yang telah dibuat Sofia terlerai. "Kan best kalau terjumpa Ji Chang-wook. Lepas tu, terlanggar bahu dia, lepas tu tahu-tahu aku kahwin dengan dia. Haih," senyuman Naura terukir. Matanya bersinar-sinar membayangkan masa hadapan (yang takkan jadi) dia dan Ji Chang-wook itu.

Ruang Antara Kita [ONGOING]Where stories live. Discover now