BUTANG tasbih digital ditekan berulang kali dengan menggunakan ibu jari sambil mulutnya terkumat-kamit melafazkan zikir, memuji dan mengagungkan Allah Yang Maha Esa.
"Subhanallah... Subhanallah..." Berkaca-kaca linangan cecair jernih hangat gugur dari sudut kelopak mata membasahi kain purdah yang menutupi separuh wajahnya.
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi kerana sepanjang berada di Mekah dan Madinah untuk melaksanakan umrah, segala urusan dipermudahkan oleh-Nya tanpa ada sedikit halangan pun.
"Qurratu' ain!"
Panggilan suara garau itu membuatkan kepalanya terangkat.
"Abang..." Di sebalik kain purdah, bibirnya yang merah merekah bak butir delima melukis senyum mesra.
Selesai sahaja bertanya khabar dan bertukar cerita bersama beberapa orang rakan lamanya ketika melanjutkan pengajian di Mesir dahulu, Waqqas segera menemui isterinya yang sedang menunggu di pelataran Masjid Nabawi.
"Menangis lagi?" Waqqas menyeka sisa air mata Khawla daripada terus mengalir.
"Saya masih tak percaya yang saya berhasil juga jejakkan kaki ke sini dengan abang. Saya masih tak percaya yang saya dapat cium Hajarul Aswad tanpa ada sekatan langsung. Lepas tu, saya..." Kalimat Khawla terhenti.
Waqqas hanya merenung anak mata Khawla. Apabila wanita itu mula bercerita, beberapa hal yang akan dia lakukan adalah menatap sepasang mata bundar itu, menumpukan sepenuh perhatian dan melukis senyum buat Khawla menandakan dia ada di situ bersamanya. Tatapan mata isterinya itu begitu sejuk dan mendamaikan hati. Gerak-geri isterinya bercerita kelihatan bersungguh-sungguh.
Masya-Allah, isteri abang ni... getus Waqqas di dalam hati.
"Saya dapat ziarah Rasulullah SAW... Rindu saya terubat," sambung Khawla bersulam dengan nada yang bergetar. Dengan hanya menyebut nama insan mulia itu saja sudah cukup membuatkan dirinya menjadi sebak serta-merta.
"Itu sebab Rasulullah pun rindukan awak, Qurratu' ain. Setiap hari, setiap masa dan setiap detik awak berselawat kepada baginda. Allah tahu cinta dan kasih sayang awak pada kekasih-Nya begitu utuh. Sekarang, Allah bagi ganjaran dan nikmat paling indah pada awak. Tak semua orang berpeluang merasakan kemanisan ni kalau bukan Allah yang Berkehendak. Tapi untuk merasakan peluang tu, kita kenalah berusaha dan buktikan betapa ikhlas dan cintanya kita kepada baginda SAW."
Khawla melakar senyum lebar mendengar bicara itu.
Sesudah subuh, maka bermulanya hari baru. Perlahan-lahan matahari mulai terbit menyinari bumi yang tadinya gelap gelita. Suasana dingin pagi terasa begitu mendamaikan.
"Masya-Allah..." Khawla terpanar tatkala melihat matahari memancarkan sinar cahayanya yang berwarna jingga kemerahan mula terbit di kaki langit.
Waqqas mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam kocek jubah lalu disandarkan pada botol air mineral.
"Abang nak buat apa?"
"Nak rakam untuk awak jadikan kenangan." Waqqas senyum tipis sambil menekan butang rakaman. "Tak lama lagi payung ni akan terbuka. Kebetulan matahari tengah terbit."
"Abang masuklah sekali."
"Eh? Abang nak rakam awak je."
"Kalau saya seorang je, video tu takkan lengkap bang. Cepatlah, payung atas ni dah nak buka," cantas Khawla.
Tanpa membantah, Waqqas segera mendekat dan duduk di sebelah Khawla.
Beberapa minit selepas itu, payung Madinah mula terbuka.
"Hadirnya abang dalam hidup saya sebagai pengubah, pendorong dan penguat saya dalam jalan penghijrahan..."
Tangan kanan Waqqas naik memaut bahu kanan Khawla, dipeluknya rapat.
"Betullah apa kata Habib Umar bin Hafidz. Cinta terbaik adalah di saat kita mencintai seseorang yang membuatkan akhlak kita semakin indah, jiwa terasa damai dan hati semakin bijak," tambah Khawla lagi seraya memeluk erat pinggang Waqqas dengan tangan kirinya.
"Abang akan selalu reda dengan awak, Qurratu' ain. Semoga dengan reda abang ni, pintu syurga tu sentiasa merindukan isteri solehah macam awak, membuka pintunya dengan luas untuk awak dan mengalu-alukan kedatangan awak untuk masuk ke dalamnya tanpa ada sekatan langsung," jawab Waqqas dalam keadaan separuh berbisik.
Air mata yang luruh dibiarkan. Khawla bersyukur memiliki suami seperti Muzammil Al-Waqqas.
"Kalau ditakdirkan Allah jemput abang balik ke pangkuan Dia dulu, jangan sesekali berhenti berhijrah. Sekalipun abang tak ada untuk bimbing awak lagi, Allah SWT ada dan Dia akan bantu awak." Waqqas menambah lagi.
Khawla hanya tersenyum halus, tidak menjawab.
YOU ARE READING
DOA SANG KEKASIH (TERBIT)
RomanceKisah hijrah; Muzammil Al-Waqqas | Khawla Nur An'nissa