CHAHAYA mengeluh panjang.
Sejak sinar mentari menerobos ke bahagian terumbu karang di timur Selat Banda, dia hanya duduk terpunduk di situ. Di atas batu besar berhampiran timbunan batu karang berwarna warni. Sekadar merenung jauh, menatap laut lazuardi.
Sesekali dia menjeling, ke arah sekumpulan ikan kecil yang berenangan di celahan batu karang. Yang sedang ralit berdesas-desus sesama sendiri.
"Eh tuanku puteri sedang buat apa agaknya di situ sejak tadi tak bergerak-gerak? Biasanya bagindalah yang sibuk ke sana ke mari bertanyakan kita kalau-kalau ada apa-apa yang boleh dibantu. Semenjak beberapa hari ini hanya duduk termenung saja di situ."
"Alah, baginda sedang memikirkan nasib diri yang masih belum lagi mendapat apa-apa kuasa sakti juga pencapaian yang membolehkan baginda menerima gelaran khusus ketika berlangsungnya pertabalan baginda nanti."
"Oh, betul juga. Sebaik saja masuk peralihan angin timur laut nanti akan berlangsung pertabalan baginda yang pertama. Patutlah mukanya bercemberut saja."
"Si bongsu ini memang berbeza daripada kakanda-kakandanya yang lain. Sebelum pertabalan berlangsung, mereka sudah menunjukkan kesaktian dan potensi masing-masing. Ada yang pandai menguruskan laluan-laluan agar tidak bertembung dengan pemangsa di bahagian selatan Selat Banda. Ada yang berkebolehan membawa kesuburan pada terubu karang sehingga di sini bertumbuh banyak lumut-lumut dan makanan lain bagi warga di sekitar. Tak lupa kakanda sulungnya yang baru saja diangkat menjadi pahlawan terbilang di Lautan Langka kerana berjaya menumpaskan kaum Teles yang selalu berbuat kacau."
"Ah, Putera Mahkota Endra. Sudahlah berwibawa dan saksama. Kacak pula orangnya."
Ikan-ikan itu menjerit teruja sesama sendiri.
Chahaya berdeham kuat.
Kali ini jelingannya tambah tajam, dengan riak muka penuh kesebalan.
Sekumpulan ikan kuning yang ralit berdesas-desus tadi segera menghindar. Renung dingin daripada sang puteri itu hanya akan menjemput badai sengketa dan sungguh, mereka juga takut padanya.
"Tahu pun takut. Kalau aku ada kuasa sakti nanti, pasti akan aku kunci mulut ikan-ikan yang becok itu!" Chahaya berdesis seraya menyelak rambut keemasannya yang beralun dibawa alur air.
"Dengan ikan-ikan kecil seperti itupun tuanku mahu bertengkar?"
Chahaya berpaling.
Sesosok makhluk dengan tubuh separuh manusia dan separuh gurita menghampirinya.
"Veda." Chahaya menelan air liur sebaik saja penasihat kanan ayahandanya datang menghampiri.
"Sejak matahari menyising di langit luar sehingga tenggelam, tuanku hanya banyak menghabiskan masa di sini. Kenapa tuanku puteri? Ada apa-apakah yang mengganggu hati tuanku sehingga saban hari berduka hati seperti ini?" Veda mengatur tentakel-tentakelnya lalu berlabuh di sebelah Chahaya.
Sekali lagi keluhan terzahir dari bibir mungil nan merah seorang puteri duyung itu.
"Kau tahu tidak lama lagi hari pertabalanku yang pertama akan tiba, bukan? Sehingga hari ini aku masih belum membuat apa-apa bakti kepada laut yang membolehkan aku mendapat gelaran yang muluk-muluk."
"Ah, hanya kerana hal itu saja tuanku termenung sebegini setiap hari?" Veda mengangkat keningnya yang tebal berwarna ungu.
"Hanya? Maksud kau perkara yang aku bimbangkan ini kecil dan remeh saja? Begitu?" Chahaya melemparkan pandangan jengkelnya kepada Veda. Geramnya pada desas-desus yang didengar dari ikan-ikan kecil tadi malah datang kembali.

ANDA SEDANG MEMBACA
DUYUNG
FantasíaKisah persahabatan di antara penjaga lautan bernama Chahaya dengan waris kerajaan daratan Dewangga bernama Ranjana. Chahaya menyelamatkan Ranjana yang hampir mati lemas dan kemudian membantu raja itu mendapatkan kembali kerajaannya daripada cengkam...