Benarlah, kebenaran itu memang menyakitkan...
Tetapi, apakah aku harus menyalahkan takdir?
Jika dikira, rasanya berapa kali ya hidupnya baik-baik sahaja? Berapa kali ya dalam sehari hidupnya dipenuhi dengan suka gelak tawa? Rasanya Yusuf sudah hilang ingatan, ataupun memang dia rasakan bahawa hal itu tidak pernah ada sepanjang hidupnya.
Tubuhnya menegang. Matanya terpaku. Lidahnya kelu. Pertanyaan daripada seorang wartawan tadi membuatkan otaknya tidak dapat berfikir dengan waras.
Hubungan gelap?
Hairil Hakim? Hajar Nuwairah?
Fikiran Yusuf berkecamuk. Rasanya dunia sedang berputar-putar mengelilinginya. Ditambah kilauan cahaya dan pertanyaan bertubi-tubi daripada para wartawan, membuatkan Yusuf tegang tidak berkutik.
Hatinya. Jangan ditanya. Hancur- sehancurnya. Rasanya jika ingin mencantum semula tidak akan dapat dicantum lagi. Kerana kebenaran yang diterima, sangat jauh dari ekspetasi yang diharapkannya selama ini.
Tiba-tiba tangannya ditarik dari kerumunan. Nurhan menatapnya dengan penuh risau. "Ikut, paklong."
Yusuf mengikuti langkah Nurhan dengan tatapan kosong. Mengabaikan teriakan Nurhan yang menghalau para wartawan dengan bantuan para pengawal keselamatan perumahan mereka.
"Yusuf, Yusuf tak apa-apa? Ada yang cedera?" Tanya Nurhan sebaik sahaja mereka tiba di rumahnya. Sengaja Nurhan tidak membawa Yusuf pulang kerana takut ada sesuatu yang berlaku. Rumahnya adalah tempat yang paling selamat sekarang. Anak perempuan kebetulan tiada di rumah kerana menyertai kem di luar negeri. Jadi tidak ada masalah untuk dia membawa Yusuf untuk sementara waktu.
Yusuf masih mematung. Wajahnya tiada reaksi. Seolah-olah menjadi mayat hidup. Tanpa lengah, Nurhan memeluk erat tubuh remaja yang rapuh itu. Namun belum sempat Nurhan bertanya lagi, kata-kata Yusuf membuatkannya mati kata.
"Yusuf anak haram rupanya..."
Air mata Nurhan jatuh. Sungguh, dia hanya mampu mengusap lembut belakang dan mengusap halus rambut remaja itu. Sehingga dia menyedari, baju yang dipakainya basah. Tangisan remaja itu teredam, cuba menahan namun tidak dengan getaran badannya.
****
Hairil menekan pedal minyak keretanya laju agar sampai ke destinasi. Berita yang diterimanya sebentar tadi membuatnya hampir pitam setengah mati. Mana tidaknya, semua berita berkaitan dirinya dan masa silamnya tersebar begitu sahaja di mana-mana. Malah, ketika dia memandu pun, pihak berita dari siaran membahas tentangnya.
"Berita sensasi! Pelakon terkenal Hairil Hakim dikhabarkan mempunyai anak luar nikah bersama influencer Hajar Nuwairah..."
"Dikhabarkan kedua mereka sudah mengenal antara satu sama lain sejak sekolah menengah lagi..."
Tak guna! Macam mana berita ini boleh tersebar? Hairil berspekulasi bahawa ada paparazi menguntit pertemuannya bersama Hajar. Tetapi, bagaimana?
Bagaimana semua ini terbongkar dalam sekali pertemuannya dengan Hajar?
"Ya Allah... Semoga Yusuf tak apa-apa."
Dia baru sahaja menerima panggilan daripada Nurhan mengenai Yusuf. Jantungnya betul-betul luluh apabila mengetahui sang anak dikerumuni oleh para wartawan. Sekarang, telefonnya tidak henti-henti berdenting dengan ratusan notifikasi dan juga panggilan dari sang atasan agensi yang menaunginya. Sungguh, dia tidak mempunyai langsung waktu untuk itu.
KAMU SEDANG MEMBACA
Pelangi Selepas Hujan
Ficción GeneralApa itu bahagia? Bagi Yusuf, satu perkataan itu tidak pernah dirasai ataupun dialami sepanjang hidupnya. Kisah Yusuf tidak semanis kisah orang lain seperti buku cerita kanak-kanak yang dari awalnya bahagia sentiasa. Sejak lahir, dia tidak tahu siap...