BEBERAPA TAHUN KEMUDIANNYA
Masjid yang aku berada sekarang ni agak luas dan besar juga untuk melangsungkan majlis akad nikah kepada sesiapa sahaja. Tempatnya juga tidak terlalu panas dan banyak kemudahan yang disediakan. Tetamu yang dijemput agak ramai, nasib ruang parking letak kereta ada banyak dan tidak terlalu jauh.
"Baca doa qunut."
"Hah?" Tersentak aku dibuatnya bila tok kadi memecahkan kehenigan.
Tak ada sunyi mana pun sekarang ni, mungkin sebab aku nervous. Rasa bergetar lutut, nasib akad nikah kena duduk. Kalau berdiri? Aku pitam dulu terpaksa panggil ambulans.
"Oh, baik. Bismillahirrahmanirrahim..." Bacaan bermula, terketar-ketar suara aku. Mengimbau kenangan pula masa tasmik di bangku sekolah.
Habis saja bacaan, aku rasa ada yang menitik dari dahi.
Uish, peluh?
Tok kadi tergelak kecil. Pelik pula aku. Bacaan tak sedap ke atau aku kena buat ada irama sikit?
"Gementar sangat awak ni ya? Haih, biasalah pertama kali. Kalau kali kedua nanti, tak ada gugupnya melainkan tak bagi tahu isteri pertama."
Amboi, menggalakkan aku kahwin ramai pula?
Habis semua tetamu tergelak mendengar lelucon tok kadi. Ada juga sesekali aku toleh ke belakang memandang bahagian pengantin perempuan, masih tiada.
"Mana dia ni?" Aku bisik dalam hati.
Sekali lagi tok kadi menyelak helaian kertas di tangannya. Jelas ada butiran diri pengantin lelaki dan perempuan, serta dokumen-dokumen tertentu. Ada juga aku terdengar tetamu yang bertanya,
"Mana pengantin perempuan? Lama lagi ke?"
Sekali lagi, aku toleh ke belakang.
Alhamdulillah!
"Maaf semua, jalan sesak tadi." Lesya memegang tangan seseorang untuk iring masuk ke dalam masjid.
Jelas baju kurung moden berona putihnya serta selendang yang dilapisi veil jenis blusher mampu menutupi seluruh muka pengantin perempuan hingga ke paras dada. Muka si dia juga masih dapat dilihat tetapi agak sedikit terlindung oleh veil. Tidak mengapa, aku tahu dia cantik dan sempurna di mata aku.
Tok kadi ambil mikrofon yang dihulurkan oleh saksi, lalu bacaan doa dan khutbah nikah dimulakan. Aku mendengar dengan khusyuk sehingga penghujungnya.
Akhirnya, tiba penghujung sesi khutbah nikah yang disampaikan oleh tok kadi,
"Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk. Sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya, dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah dengan mempergunakan nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturahmi. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu."
"Untuk sesi akad nikah pula, saya serahkan kepada wali pengantin perempuan untuk nikahkan anaknya." Mikrofon bertukar tuan, kali ni aku berdepan dengan bakal bapa mertua aku.
Kami saling berhadapan, tangan dihulurkan. Akhirnya bersatu, lafaz akad nikah bermula.
"Adaam Fua'd Bin Azman."
"Saya." Sungguh gementar, ya Allah!
"Aku nikahkan engkau dengan anak perempuanku Teja Dahlia Binti Ahmad Nuh dengan mas kahwinnya bernilai 300 ringgit tunai."
YOU ARE READING
C | Destined For Her
Romance✧ Destined For Her | Ditakdirkan Untuk Dia ✧ Fua'd = Teja. Kehidupan mereka seperti y dan x yang saling memerlukan. Bagaimana pula dengan pertemuan mereka? Tidak dianggap asing. Cukup berkenalan sebegitu semasa di alam persekolahan. "Dah tu kalau ak...