Melbourne, Australia
BAGASI Samsonite berwarna merah hati diletakkan dengan cermat di sisi sebelum tangan kanan Nara naik menekan loceng rumah yang laman rumahnya memang memikat pandangan mata dengan rumput menghijau yang dijaga rapi dan turut dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga berwarna-warni. Nara tidak menunggu lama kerana muncul Kak Wan; jiran sebelah rumah sewanya ini dengan senyuman manis yang sudah menghiasi bibir.
"Nara dah nak gerak pergi airport ke ni?" Pandangan mata Kak Wan jatuh pada bagasi yang ada di sisi Nara. Rasa-rasanya sudah beberapa kali dia berpesan kepada Nara yang mereka sekeluarga mahu menghantar Nara ke lapangan terbang pada hari ini.
"Haah, Kak Wan. Nara dah book Uber tadi." Jawab Nara dalam senyuman.
"Auntie Nara!" Suara ceria yang menyapa pendengaran telinga Nara membuatkan anak matanya terarah kepada Hadif; anak sulung Kak Wan yang sudah berlari mendapatkan dia dan diikuti oleh Abang Zafran; suami Kak Wan yang sedang mendukung Medina yang baru berusia dua tahun.
Melebar senyuman Nara apabila pinggangnya dipeluk kemas oleh Hadif. Sejak Nara mengambil keputusan untuk bekerja di Melbourne sebaik sahaja dia menamatkan ijazahnya di The University of Melbourne hampir tujuh tahun lepas; sudah hampir lima tahun dia mengenali keluarga Kak Wan Aimi Fathiya yang mesra disapa dengan panggilan Kak Wan yang turut menyewa di sebelah ruma sewa dia di kawasan perumahan ini. Suami Kak Wan; Abang Zafran bekerja sebagai arkitek sementara Kak Wan pula merupakan ahli farmasi di salah sebuah hospital di Melbourne. Pasangan suami isteri ini yang pada mulanya ramah menegur dia sehinggalah hubungan mereka rapat kerana Nara dilayan mesra seperti ahli keluarga sendiri membuatkan Nara terasa yang dia mempunyai keluarga baru di bumi kanggaru.
"Eh, Nara nak gerak pergi airport ke ni?" sapa Abang Zhafran dengan dahi yang berkerut sedikit memandang bagasi besar milik Nara sebelum dia saling berpandangan dengan isteri di sisi.
"Nara dah book Uber, bang." Laju Kak Wan memberitahu membuatkan Nara sudah mengoyak sengih memandang pasangan suami isteri ini.
"Laaa, kita orang kan nak hantarkan Nara pergi airport. Tak payah susah-susah Nara kena book Uber."
"Tak susah mana pun nak book Uber tu, Abang Zhafran. Semuanya di hujung jari je. Buka je app Uber, lepas tu pilih kita nak pergi mana dan tekan book dan dah siapppp. Lagipun, Nara tak naklah kacau Kak Wan dengan Abang Zhafran nak luangkan masa dengan Hadif dan Medina hujung minggu macam ni." Pandangan mata Nara jatuh semula pada Hadif dan Medina.
"Ada je jawapan dia kan?" Kak Wan sudah menggeleng perlahan memandang Nara tetapi Nara hanya melebarkan sengihan. Kadang-kadang dia naik segan dengan layanan keluarga Kak Wan yang terlalu baik.
"Auntie Nara nak pergi mana?" soal Hadif sambil menarik perlahan hujung blaus yang dipakai oleh Nara.
"Balik kampung auntie dekat KL." Nara merendahkan sedikit tubuh menghadap Hadif yang sedang memandang dia dengan sepasang mata bulatnya.
"Balik Malaysia ke?" soal Hadif lagi dan Nara angguk dalam senyuman.
"Nanti auntie balik sini tak?"
Soalan polos Hadif membuatkan senyuman Nara melebar.
"Risau sangat Auntie Nara dia tak balik sini dah." Usik Kak Wan; tersenyum memandang telatah si anak sulung yang sememangnya rapat dengan Nara dari kecil.
"Mestilah auntie akan balik sini balik dan jumpa abang long." Nara menggosok perlahan kepala Hadif dan barulah putera sulung Kak Wan yang berusia tujuh tahun ini tersenyum.
"Jangan nanti bila Nara balik KL ni Nara terjumpa jodoh; terus Nara lupa dah nak balik sini." Usik Abang Zhafran.
"Setakat Nara balik dua minggu ni, tak adanya jodoh nak memunculkan diri sepantas tu." Jawab Nara bersahaja.
"Eh, jangan confident sangat ya. Kalau dah jodoh, sekejap lagi pun dia boleh muncul." Laju sahaja Kak Wan menyokong suaminya.
Nara lepas tawa memandang Kak Wan dan Abang Zhafran yang nampak serius. Memang parti pakatan suami isteri betul!
"Rasa-rasanya jodoh tak muncul ni Kak Wan. Yang muncul sekarang ni; Uber yang Nara dah book tadi." Nara mengalihkan pandangan mata ke arah sebuah kereta yang menghampiri dia. Terus Kak Wan dan Abang Zhafran ketawa serentak memandang kereta yang sudah berhenti.
"Kak Wan, Abang Zhafran, Nara gerak dululah ya." Tangan kanan dihulur untuk bersalaman dengan Kak Wan sebelum tubuhnya dipeluk erat. Terasa hangat pelukan Kak Wan yang menepuk-nepuk perlahan belakang tubuhnya. Hadif yang ralit memerhatikan mereka turut sama ikut memeluk uminya dan Nara juga.
"Safe flight to KL, Nara. Sampaikan salam kami pada keluarga Nara ya." Pesan Abang Zhafran apabila Nara membuka pintu kereta.
"Insya-ALLAH," jawab Nara lambat-lambat sebelum memboloskan tubuh ke dalam perut kereta. Apabila kereta mula bergerak perlahan-lahan, dibalas lambaian tangan Kak Wan dan Hadif yang sedang melambai ke arah dia sebelum tubuh disandarkan pada kusyen kereta. Satu persatu raut wajah ahli keluarganya yang di Kuala Lumpur menerjah kotak ingatan.
Sudah lama dia tidak balik ke tanah air untuk menjenguk keluarganya sendiri. Kali terakhir dia pulang ialah pada hujung tahun lepas kerana kakaknya; Najla berkahwin. Kali ini adalah kali pertama dia mahu balik pada tahun ini disebabkan telinga dia sudah tidak larat mendengar Nina; sahabat baiknya yang akan bebelkan dia supaya balik menjenguk mummy dan daddy setiap kali mereka menelefon satu sama lain. Disebabkan itulah dia merancang untuk menghabiskan separuh daripada baki cuti tahunannya di Malaysia daripada melancong seorang diri seperti yang selalu dilakukannya. Tambahan pula ayah Nina yang kini sedang mengusahakan resort di Pulau Langkawi menjemput dia datang untuk majlis doa selamat minggu hadapan. Boleh juga dia makan angin di Pulau Langkawi.
Kedua-dua belah mata dipejam rapat dan nafas ditarik dalam-dalam apabila kereta semakin laju bergerak di atas jalan raya. Nawha Rayfa; kau nak balik rumah sendiri aje pun. Apa yang susah sangat kan?
YOU ARE READING
Sunshine Untuk Nara (Bakal Terbit)
ChickLitKata orang, jangan terlalu benci seseorang kerana takut nanti terjatuh suka. Nara bukanlah benci pada Kid tetapi lelaki berlesung pipit itu, suka sangat mengusiknya sejak kali pertama mereka bertemu di Pulau Langkawi. Nara jatuh ke dalam bendang bua...