Bab 4 (Unedited Version)

92 10 0
                                    

"AWAT jadi lagu ni?" soal Hajah Halimah; mami Nina yang sememangnya sedang menantikan ketibaan Nara selepas Nuqman menelefon dia tadi. Memanglah dia terkejut apabila Nara turun dari kereta dengan keadaan satu badan yang kotor dengan lumpur.

"Nara terjatuh dalam bendang tadi, mami." Jawab Nara segan selepas bersalaman dengan Hajah Halimah yang masih memandang dia dengan raut wajah yang nampak risau.

Kid yang sedang membawa keluar beg pakaian milik Nara hanya memasang telinga mendengar perbualan Hajah Halimah dan si cik adik yang sepanjang perjalanan mereka ke sini hanya mendiamkan diri di dalam kereta. Sepanjang perjalanan tadi, dia perasan Nara hanya memandang ke luar tingkap kereta seolah-olah memberi isyarat yang dia tidak mahu berbual. Tersungging juga senyuman di hujung bibir mendengarkan nama 'Nara' tadi kerana nama dah bunyi macam comel tetapi tuan punya nama garang betul.

"Laaa... Macam mana Nara boleh jatuh dalam bendang?" soal Hajah Halimah dan memandang Kid pula.

"Dia kena kejar dengan Diva tadi sampai terjatuh masuk dalam bendang, auntie." Jawab Kid dan meletakkan Samsonite merah hati itu di hadapan Nara.

Kali ini kepala Nara berpusing mencari Kid yang nampak bersahaja dengan kedua-dua belah tangannya menyeluk poket seluar jeans yang dipakai. Apabila pandangan mata mereka bertemu, Kid hanya menjongketkan kening ke arah dia membuatkan sepasang mata Nara membulat. Kalau mamat ni tak buat dia terkejut tadi; tak adalah dia buat aksi kuak lentang terjun masuk ke dalam bendang. Eh, geram pulak hati kita menengoknya!

"Nara terkejut sebab tiba-tiba muncul mamat sewel dari mana entah menegur." Jawab Nara selamba dengan pandangan mata masih melekat pada wajah Kid.

Terus Kid ketawa lepas.

"Mamat sewel mana yang berani kacau Nara ni?" soal Nuqman yang baru sahaja balik dan pandangan mata terus memandang Kid tetapi sahabatnya itu hanya mengangkat bahu. Terkumat-kamit mulut dia bertanyakan Kid kenapa Nara sudah kotor berlumuran dengan lumpur bendang.

"Sorry, Nara. Angah tak dapat nak jemput Nara tadi dan kena minta tolong Kid." Pandangan mata Nuqman beralih pula kepada Nara yang masih berdiri di sebelah mami dia. Disebabkan Nina dan Nara berkawan rapat dari zaman sekolah menengah lagi, memang dia meminta Nara memanggil dia dengan panggilan 'angah' juga.

Nara kembali memandang kawan Nuqman yang baru diketahui namanya itu.

"Eh, Kid dengan Nara mesti dah berkenalan tadi kan?" Nuqman memandang Kid dan Nara silih berganti memandangkan kedua-duanya senyap sejak tadi.

"Aku tak sempat nak kenalkan nama aku dan nak tanya nama dia sebab aku takut kena cop mamat gatal lagi."

Jawapan bersahaja Kid membuatkan pandangan mata Nara sudah melotot memandang lelaki ini semula. Dia ni kan! Ditahan mulut sendiri supaya tidak membalas disebabkan Hajah Halimah dan Nuqman ada di situ.

"Nama saya Wan Akid Muqri tapi awak boleh panggil Kid je." Barulah Kid kembali serius memperkenalkan diri sendiri selepas Nuqman menyiku pinggang dia berulang kali dari tadi.

"Nama saya Nawha Rayfa. Awak boleh panggil saya Nawha." Giliran Nara pula memperkenalkan diri.

"Bukan nama panggilan awak Nara ke?" soal Kid sedikit pelik dan memandang Nuqman yang sudah ketawa. Automatik dahi sudah berkerut memandang Nuqman. Dia ada salah tanya soalan ke?

"Awak panggil saya Nawha je. Mami, Nara nak masuk mandi boleh? Tadi ada orang tu cakap Nara dah sama macam orang-orang kat bendang." Tanpa menunggu lama, Nara terus menukar topik perbualan dan wajah Hajah Halimah di sisi dipandang.

"Jom, kita masuk dalam dulu. Lepas Nara mandi boleh kita minum petang sama-sama sebab mami dah goreng cucur udang tadi." Balas Hajah Halimah dan memimpin tangan Nara masuk ke dalam rumah.

Sunshine Untuk Nara (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now