JASMIN buka mata apabila kepalanya terhantuk sedikit kuat ke cermin tingkap. Bas yang dinaikinya tiba-tiba berhenti. Dia pandang sekeliling dengan mata yang kuyu. Bas tidak bergerak.
Dia keluarkan telefon dari dalam beg di atas riba. Skrin dibuka. Pukul berapa ni? "Baru pukul tujuh ke?"
Jasmin mengeluh secara spontan melihat angka yang tertera di kaca telefon bimbitnya.
Bila nak sampai ni? Dah lima jam dia duduk dalam bas. Tak tiba-tiba juga ke destinasi!
Daripada elok kemas terbentuk tudung dia sebelum naik bas, sampai dah tak serupa orang rupa dia sekarang.
"Apa yang lama sangat nak sampai? Pahang dengan KL bukan jauh mana. Ish!" Jasmin mengomel lagi. Beg sandangnya ditarik rapat ke dada lantas mata dipejamkan semula.
Tidur lagi bagus.
"YA. Saya dah turun dekat TBS ni. Tengah tunggu ERL nak balik Putrajaya." Jasmin berhenti sebentar di tepi tangga apabila terasa sukar untuk mendengar suara uminya di seberang talian sana.
"Ada lagi kut. Tren tu last pukul 11.40. Sekarang baru pukul 9." Jasmin perhatikan kawasan sekelilingnya. Dah tak ramai orang. Mungkin disebabkan hari yang sudah menginjak malam.
"Okey, nanti kalau dah sampai Putrajaya Central saya call umi."
Jasmin garu kepala yang tiba-tiba terasa gatal dengar pesanan penaja yang tidak berpenghujung daripada Umi Wafa. "Ya, umi. Saya tunggu dekat tempat selalu tu la. Dekat tepi tangga, tempat selalu abi pick up."
Tak tunggu lama, Jasmin matikan taliannya.
Telefon diselit ke dalam saku seluar palazo lalu beg bagasi yang tersadai di tepi dia tarik malas. Gontai langkah dibawa pergi ke stesen ERL Bandar Tasik Selatan. Beg sandang yang sedikit londeh di bahu dia betulkan sedikit.
Jasmin buang pandang ke arah laluan tren ERL yang berwarna oren akibat disimbah lampu jalan. Kemudian mata dialih naik memanjat dada malam yang langsung tidak berbintang. Sesekali angin menyapa pipi hingga hujung tudungnya sedikit terbuai.
Cepat-cepat dia keluarkan telefon dari dalam poket. Jasmin sumbat earphone dekat telinga. Sekejap aje suara merdu lelaki-lelaki dari Korea Selatan mendominasi corong telinganya.
The Rose, Sorry.
Senyum terukir sendiri tanpa dia sedar. Dia sambung perjalanannya menuju ke stesen ERL dengan pipi yang melebar seolah anak gadis yang sedang dilamun cinta.
Musik, berjalan kaki, lampu jalan, langit gelap, kereta api, sendirian.
Romantis!
SEBAIK kenderaan empat roda itu berhenti betul-betul dekat garaj, Jasmin tak tunggu lama untuk buka pintu dan turun.
Macam-macam bunyi keluar sebaik pinggangnya diluruskan.Ya Allah, lega sungguh dah sampai ke rumah setelah hampir sepuluh jam masa dihabiskan di atas jalan. Hari ni memang hari yang malang untuk Jasmin.
Sepatutnya empat jam dah boleh sampai, ini tidak... dekat atas bas sahaja makan masa selama lapan jam. Ada kemalangan la, ada orang tercicir bas la, jalan tutup la. Macam-macam!
"Dah, jangan nak berangan. Angkat beg tu cepat, masuk dalam."
Jasmin jeling Umi Wafa yang entah bila sudah masuk ke dalam rumah. Tinggallah dia bersendirian di ruang garaj yang malap itu. Seingat dia, dulu ada satu lampu yang bersinar cukup terang di hadapan rumah. Dah rosak kut. Lama sangat tak balik.
Jasmin tarik beg bagasi dia menuju ke pintu utama. Baru beberapa langkah, dia berhenti berjalan. Jasmin undur ke belakang, kemudian dia hadapkan badannya ke rumah sebelah.
"Bukan rumah ni kosong ke?" bisiknya perlahan.
Jasmin menjengket untuk mengintai penghadang tinggi yang diperbuat daripada pokok untuk memisahkan kediaman mereka dengan jiran sebelah. Ada sumber cahaya tanda rumah yang hampir dua tahun kosong itu kini sudah berpenghuni.
"Dah ada orang pindah ke? Umi tak cerita pun?" Omel dia perlahan lantas sambung tarik beg untuk masuk ke dalam. Nak jadi kepoh pun tak larat, Jasmin penat.
Esok ajelah.
YOU ARE READING
Cerita Kita (Sudah Terbit)
Romance"Nak daun pandan ke?" -Alim "Haah, umi saya suruh minta daun pandan sikit. Boleh ke?" -Jasmin Alim dan Jasmin, mereka berjiran. Kerana secekak daun pandan, mereka berkenalan. Dan mungkin juga, perlahan-lahan berkongsi perasaan lewat pertemuan-pertem...