"SENYUM, masuk dalam lepas tu borak-borak, balik. Kau boleh golek atas katil sampai tahun depan." Itu zikir Jasmin sejak setengah jam yang lalu. Sesungguhnya, memang Jasmin tersangat malas nak keluar rumah dan berjumpa dengan orang.
Tapi itulah, sudah seminggu dia cuba mengelat tapi hari ini memang langsung tak dapat dielakkan lagi. Jasmin kena juga jumpa dengan Syiqa dan Put.
Dia dah habis alasan nak tolak ajakan mereka untuk keluar meluangkan masa bersama-sama. Nak tipu lebih-lebih pun tak boleh sebab mereka kenal dengan umi Jasmin. Si Syiqa tu duduknya tak jauh mana pun dengan rumah Jasmin.
Asyik terserempak aje dengan Umi Wafa. Jumpa dekat kedai runcitlah, dekat dobilah. Lepas tu lagi, Umi Wafa mana boleh simpan mulut. Semua dia nak cerita dekat orang.
Jasmin tak ada kerja dekat rumah. Siang malam termenung atas katil. Umi Wafa dah penat tengok Jasmin macam orang yang tak ada hala tujuan hidup dan bermacam-macam lagi.
Syiqa tak perlu perah idea nak risik keberadaan Jasmin dengan bertanya ayat yang panjang-panjang. Cukup sekadar, "Min mana? Tak ikut ke?"
Sur!
Habis semua rahsia yang Jasmin susah payah simpan daripada Syiqa dan Put terburai dengan jayanya. Kurang asam betul Umi Wafa ni! Itulah sebabnya Jasmin terpaksa menapak juga keluar rumah untuk bertemu dengan mereka berdua pada hari ini.
"Min!!"
Jasmin pasang topeng baru ke muka, topeng pura-pura gembira. Lebar bibir dia tersenyum sebaik nampak kelibat Syiqa. Mereka berbalas pelukan. Terasa suam badannya didakap si gadis tinggi bak galah itu.
"Weh! Rindunya!" Jerit Syiqa masih belum mahu lepaskan Jasmin keluar dari tawanan tangannya. Sungguh-sungguh dia rindu dekat Jasmin. Bukan main susah nak jumpa dengan si introvert itu sekarang ni.
Sudahlah dia jarang muat naik apa-apa hantaran di media sosial. Kalau hantar mesej, balasnya lambat-lambat pula. Macam orang hidup dalam gua!
"Kau sihat, Syiqa?"
"Sihat! Alhamdulillah. Kau? Sihat tak, Min?"
Angguk. Jasmin depangkan tangan dia untuk dilihat Syiqa. Biar dia nilai sendiri rupa paras Jasmin, sihat ke tidak. "Alhamdulillah. Sihat juga. Put mana? Tak sampai lagi?"
"Dah sampai lama dah!"
Jasmin rasa bahunya padat dipeluk dari belakang. Terkejut tapi segera dia sedar yang mendakapnya itu Putz Idris. "Kau ni Put, terkejut aku!"
Put lepaskan pelukannya. "Sekali-sekala terkejutkan orang yang bukan main susah nak jumpa ni, seronok juga."
Mereka ambil tempat di meja berkerusi empat yang telah pun ditempah oleh Syiqa. Duduk sahaja mereka, mata Jasmin dah dapat tangkap dua objek yang terbaring molek di atas meja makan tersebut.
Ada dua buku. Satu tertulis nama Putz Idris dan satu lagi Syiqa Stella. Buku baru, yang betul-betul baru. Hangat lagi sebab tak sampai sebulan keluar di pasaran tapi semua stok dah licin. Cari dekat kedai buku pun tak ada sebab telah habis terjual. Sekarang buku-buku tersebut sedang diulang cetak oleh pihak penerbit.
Put nampak Jasmin pandang bukunya dan Syiqa. Terus dia tarik buku itu dan letak depan sahabatnya yang dulunya cukup banyak bercakap. Entah kenapa sejak dua tiga tahun kebelakangan ini mulut dia tiba-tiba senyap. "Nah, Min. Untuk kau!"
Jasmin kaget apabila tiba-tiba disua buku tersebut. "Eh, apa pula ni?"
"Bukulah. Ni memang aku bawa untuk kasi kau."
YOU ARE READING
Cerita Kita (Sudah Terbit)
Romance"Nak daun pandan ke?" -Alim "Haah, umi saya suruh minta daun pandan sikit. Boleh ke?" -Jasmin Alim dan Jasmin, mereka berjiran. Kerana secekak daun pandan, mereka berkenalan. Dan mungkin juga, perlahan-lahan berkongsi perasaan lewat pertemuan-pertem...