Sehingga lewat petang itu, bayang si Ros itu tidak juga kelihatan membimbangkan nek Mizah. Aku pun mendekatinya dan cuba menenangkannya.
"Siapa Ros tu nek?" soal aku kepada nek Mizah selepas ditekan rasa ingin tahu yang teramat sangat.
"Si Ros tu sepupu si Midi ni ha," jawab nek Mizah dengan wajah risau.
"Jelita ya nek?" soalku dengan otak yang sudah kosong.
"Jelita..tapi jelita kamu lagi. Kulit dia tu macam Midi saja," jawab nek Ros sebelum dia tertawa.
"Baik tak dia, nek?" soalanku tidak kian putus dengan wajah angan-angan yang makin menjauh.
"Hah? Baik. Baik sangat. Budak tiada dosa. Tak pernah bercinta, bersentuh bukan muhrim. Dengan Midi kamu tu pun, nek yakin dia tak pernah bersentuh. Walau pun selalu berkepit saja dua budak tu," kata-kata nenek buat mulut aku terherot.
Nek Mizah mengata aku ke ni? Malu pula aku rasa kalau nek Mizah tahu perangai aku yang sebenar.
"Ha tu dia si Ros," ujar nek Mizah teruja. Aku mengampu lengan nek Mizah yang sudah tidak larat itu sambil leher kupanjang-panjangkan untuk melihat si Ros itu.
"Mana dia?"
"Nenek...," seorang kanak-kanak lingkungan umur 12 tahun memasuki rumah itu. Tidak aku hiraukan. Aku masih menunggu Ros memasuki rumah. Seketika kemudian, seorang lelaki yang berusia lingkungan 50-an pula memasuki rumah itu.
"Ah..ini bukan Ros," fikirku lagi. Lalu aku menunggu pula lagi seorang gadis untuk memasuki rumah itu.
"Kamu tunggu apa lagi ni Lina?" soal nek Mizah, beransur ke dapur.
"Ros nek..?" soalku memandang dengan serba salah ke arah nek Mizah setelah yakin yang tiada lagi tetamu yang akan naik.
"Ni ha si Ros," jawab nenek sambil memeluk anak perempuan berumur lingkungan 12 tahun itu.
"Eh,tapi. Bukankah tadi.."
Nek Mizah terus berlalu ke dapur. "Nenek bergurau. Dah kamu nampak macam cemburu saja," ujar nek Mizah membuat aku melopong malu.
Ros kemudiannya datang menyalami tanganku. "Isteri abang Midi ek?" tanya dia comel. Aku mengangguk mengiyakan.
Tak sangka pula Ros yang aku cemburukan tu adalah budak 12 tahun. Sia-sia aku marahkan abang Midi rupa-rupanya.
"Assalamualaikum," ucap abang Midi yang baru pulang.
Ros berlari menyambut abang Midi. Tangan abang Midinya disalami. "Abang dapat tak teddy bear yang Ros nakkan tu?" tanya Ros. Abang Midi membuka kunci keretanya dengan kunci remotenya.
"Nah sana, pergi ambil sendiri," ujar abang Midi sambil berlalu ke arahku. "Dah puas awak cemburukan budak 12 tahun?" soalnya sewaktu berlalu di sebelahku. Membuatkan aku terperanjat. Tanpa aku sedar, aku memegang erat lengan baju abang Midi.
"Saya nak cakap dengan awak sekejap."
"Kita makan dahulu, kasihan nenek tunggu si Ros tu dari tadi," ujar abang Midi, berlalu ke arah nek Mizah.
Malam itu selepas solat Isya' yang diimami oleh abang Midi, aku mengikut abang Midi ke kamar, meninggalkan nek Mizah dan Ros. Manakala pak cik yang membawa Mizah pulang, kembali ke rumahnya yang berada selang 3 rumah dari rumah nek Mizah.
Abang Midi menggantung kopiahnya ke penyangkut yang tersangkut di muka pintu itu. Sedang aku membuka telekungku, menayangkan rambutku yang ikal kehitaman.
Aku terkejut mendapati abang Midi memandang tajam ke arahku. Segera aku berpaling ke belakang dan melipat kain sembahyangku. Sudah berbulan abang Midi tidak melihatku tanpa tudung.
Agaknya dia terkejut tengok aku yang makin chubby kerana asyik makan dengan Jefrey? "Ya Allah banyaknya dosa aku dengan abang Midi hanya kerana cemburukan budak 12 tahun," bisik hati kecilku.
"Lina nak minta maaf. Lina mengaku salah Lina.."
"Tak apa. Abang dah maafkan," kata-kata abang Midi begitu dingin. Membuatkan aku hampir mengalah.
"Abang tak payahlah susah-susah nak tidur kat bawah. Mari naik tidur dengan Lina," kataku saat aku melihat abang Midi membawakan bantalnya ke bawah.
"Taklah, bukan abang yang nak tidur kat bawah. Tapi Lina," ujar abang Midi membuat aku terperanjat.
"Lina?" soalku sambil membuat mata bulat. Abang Midi mengangguk.
"Tidur kat atas katil panas. Abang memang biasa tidur kat bawah. Ada permaidani tebal. Keadaan pun sejuk sikit," terang abang Midi, membuatkan aku turun dari katil dan ke permaidani bawah.
Aku cuba berbaring. Selesa.
Sebentar kemudian aku bangun. "Abang.." panggilku manja. Abang Midi berpaling bertanyakan kenapa.
"Tidur dengan Lina malam ni?"