CERITA PANDAI MENIPU

66 2 4
                                    


GANGGUAN

MALAM itu Kabil bekerja lebih masa. Dia terpaksa pulang lewat malam. Dekat-dekat pukul 12 malam dia baru tiba di rumahnya. Kalau nak ikutkan hati memang dia tidak mahu buat kerja lebih masa pada hari itu, di sebabkan isterinya pulang ke rumah mak mertuanya, dia merelakan sahaja tulang empat kerat diratah dengan kerja-kerja yang melambak di kilang papan itu.

Setiba di halaman rumah, enjin motor terus dimatikan. Kakinya pantas memijak tanah kemudian menolak motosikalnya masuk ke dalam garaj. Kabil menyeluk poket seluarnya saat dia terpandang pintu yang terkunci rapat. Dia meraba-raba keseluruhan poket yang dalamnya penuh dengan duit syiling disekalikan dengan kotak rokok bersama kunci rumah yang tiada pengikat itu. Sedang leka mencari, Kabil berasa tidak selesa. Tubuhnya kurus kering seolah-olah diperhati oleh seseorang.

Hatinya bagai tak tenang. Lagi dia berlama di situ lagi rosak fikiran yang tidak baik bermain dalam kepalanya. Mahu saja dia tembus pintu solid yang tertutup rapat, namun semua itu mustahil. Manusia seperti dia tak akan pernah ada kebolehan seperti itu. Kabil meliarkan bebola mata ke sekeliling. Mencari-cari akan siapa yang sedang memerhatinya. Bulu roma ditengkuknya sudah berdiri tegak. Satu-persatu terangkat bak tiang cerucuk bangunan yang baru sahaja dibina. Laju-laju tangannya menyentuh tengkuknya. Disapu perlahan agar sedikit selesa.

Usai mencari beberapa detik, dihulurkan hujung kunci ke dalam lubang kunci itu. Dipusing kunci itu hingga terbuka pintu. Lega. Mahu cepat-cepat dia masuk ke dalam. Tapi, terlupa yang kasutnya masih kemas terpasang di kaki. Setelah itu, kasut yang disebelah kanan dilepaskan dahulu.

"Assalamualaikum," perlahan suaranya memberi salam.

Kaki kanan sudah mula melangkah masuk. Tinggal kaki kiri yang masih dalam percubaan menanggalkan kasut.

"Sup!" suatu libasan angin mengena badannya. Seperti ada suatu kelibat yang datang menghampirinya. Mungkin 'dia' mahu memberitahu keberadaannya di situ.

Cepat-cepat dia terus menutup pintu itu dengan rapat. Hilang sedikit rasa takut yang menyerang tubuhnya. Dia hembus nafas panjang. Peluh renik yang tumbuh di dahi dikesat hingga kering. Kemudian Kabil menoleh.

"Astaghfirullah..." dia terperanjat. Seekor kucing hitam melintas depan matanya dengan laju. Dan hilang begitu sahaja setelah beberapa saat menjelmakan diri. Kabil hairan. Tidak pernah dia membela kucing. Cuma jiran-jiran di kawasan rumahnya sahaja yang banyak memelihara. Tapi, semuanya dikurung di dalam sangkar. Kucing mereka ada banyak baka-baka mahal dan perlu dijaga dengan baik. Jadi, dari manakah kucing hitam itu datang? Atau ia hanya menyinggah untuk beritahu sesuatu? Kabil garu kepala. Belum pernah lagi dia lihat kucing itu.

Setelah banyak buang masa berfikir, Kabil terus masuk ke dalam bilik. Dia rebahkan punggung di birai katil. Terasa badannya sungguh letih setelah seharian bekerja. Dia membetulkan badannya beberapa kali. Kejap ke kiri, kejap ke kanan dan sekaligus meluruskan tulang belakang. Bunyi tulang-tulang seakan mahu patah. Dia rasa sedikit lega. Dapat juga menenangkan diri setelah beberapa jam tanpa rehat.

Kabil kemudiannya bangun. Dia capai kain tuala yang kemas terampai di sudut hujung bilik. Apabila merasakan badannya sedikit melekit dan berbau, dia terus mahu ke bilik air membersihkan tubuh. Tak elok kalau dibiarkan lama. Kabil melepaskan baju yang dipakai. Matanya terpejam saat baju itu dicampakkan ke tepi. Tiba-tiba...

"Allahuakbar..." Kabil terkejut buat kali yang kedua.

Matanya melihat langsir yang sedang mengibas kencang. Tingkap pula tak tertutup. Mungkin dia lupa tutup sewaktu dia mahu ke tempat kerja. Cepat-cepat Kabil menghampiri dan tutup dengan kemas. Takut kalau-kalau ada benda yang cuba masuk ketika itu.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 24 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

CERITA PANDAI MENIPUWhere stories live. Discover now