Kegelapan itu Kini Seakan Mengekoriku

2 0 0
                                    

Isnin yang panjang tiba. Kurasakan waktu berlalu tanpa perkara-perkara yang menyeronokkan. Sapa dan soal kulontar dengan tidak bermaya. Kutahu sahabat-sahabat lainku perasan akan perubahan sikapku. Entah bagaimana hendak kuungkapkan kepada mereka bahawa aku baik-baik sahaja dan mereka perlu menjalani hari tanpa kerisauan yang mendalam terhadapku.

"Kaulihat dia, dari tiada senyum bertambah murung. Aku sudah mati akal hendak memujuknya." Rengek Dian, temanku dengan teman lain sambil membilas baju cuciannya.

Suasana petang Isnin itu riang namun terik. Seakan-akan memaksudkan marah Tenang kepada takdir. Tidak, bukan takdir dia tolak hanya sahaja kurang bersetuju. Perselisihan faham sementara, kelak dia akan pasrah bahawasannya perancangan manusia itu tidak pernah berkuasa.
Kedudukan ampaian asrama sekolah itu bersebelahan dengan kolah mandi. Cukup mempersiapkan para penuntut dengan kebersihan yang dijamin. Beratap juga berzink di sekeliling kawasan mandi, menutupi pandangan orang yang tidak dikehendaki. Tempat itu menjadi antara pertemuan pagi buat Meriyem dan Tenang disebabkan dorm mereka berdua dipisahkan oleh warden.

Tenang tahu alasan warden mengasingkan tempat tidur dia dan Meriyem. Ini atas keinginan sahabat lain untuk melatih keupayaan sosial dan komunikasi Tenang. Permintaan berkenaan diakui penting oleh Tenang sendiri. Dia kera sumbang. Dia sedar itu.

"Kadangkala kita seakan mahu marah namun perasaan simpati dan ihsan mengetuk pintu hati. Semacam memberi tahu bahawa positif lebih baik dari negatif." Luah Meriyem kepadaku suatu hari.

Keningku berkerut. Memikirkan bicaranya dengan berhati-hati agar tidak salah memberi balas.

"Bukankah jika kaususun ayatnya, menjadi begini? Positif itu lebih positif dari negatif." Balasan yang kurang simpati dariku namun lebih empati. Aku tidak berhasrat untuk mencari tahu dengan lebih mendalam kepada siapa amarah Meriyem ditujukan.

Kuteka mungkin marahnya khusus buat musuh tradisinya, Ruhna. Bukan gadis namun jejaka di kelas 5. Kami masih di kelas 4 tika itu. Jejaka yang membuat dia memerah seperti rum ungu. Manis namun membahayakan jiwa.

Sedikit tentang Ruhna, dia sudah lama meminati sahabatku Meriyem. Bahkan satu sekolah mengetahui hasrat hatinya untuk menjadi pendamping Meriyem. Namun, begitu tinggi usahanya menggapai ke tahap itu, semakin jauh Meriyem darinya. Kuteka, Meriyem pasti ada alasannya tersendiri. Alasan yang tiada siapa tahu.

Jika kufikirkan, Ruhna laki-laki yang baik. Anaknya rajin solat kerana aku sering melihatnya lewat di surau sekolah. Rajin, tidak pernah meninggalkan amanahnya. Taat, patuh pada rukun sekolah dan tetangganya. Jika diberikan sesetengah gadis, sudah tentu tiada yang mampu menolaknya. Tapi jika diberikan kepadaku, aku juga menolaknya seperti Meriyem. Kerana dia jejaka yang terlalu ambisi.

Oh, mungkin kerana itu Meriyem menolaknya.

Terlalu ambisi.

"Mungkin perlu kaunyatakan alasan secara langsung kepadanya. Biar dia lebih memahami dan berundur dari terlalu mencuba." Kali ini kuberikan solusinya.

Meriyem berhenti dari menjemur kainnya sambil menggaru bahunya. Dia mendagu di dawai ampaian sambil menatapku. Sepertinya matanya diselubungi pertanyaan.

"Kufikirkan kau tidak mengerti topik perbualan ini. Nasib." Dia rupanya memujiku kerana pantas menangkap tujuan rungutannya.
Kembali pada amarah yang ditolak oleh simpati, aku lebih memilih untuk langsung berterus-terang tanpa membuat pihak yang satu lagi menghidu ruang-ruang harapan yang langsung tidak wujud. Jika dia membiarkan sahaja Ruhna hidup dalam fantasi bahawa suatu saat kelak pintu rasa Meriyem terbuka, maka segala bebelan dan rungutnya pasti sia-sia. Padaku lebih baik segera dari terpaksa memerah bicara untuk menolak sesuatu yang lebih parah.

"Kau sudah tahu hendak diapakan?" Soalku tanpa silu.

Kubilas kuat kain terakhir.

"Entahlah, mungkin aku ingin mencuba sesuatu baharu. Mengekspresikan simpati dari benci. Kau rasa bagaimana?" Soalan dibalas dengan soalan olehnya.

Tanpa memandang wajahnya, kuiyakan sahaja keinginannya itu. Sementelah hatiku menjerit bahawa perkara itu tidak menjamin kemungkinan terbaik.

"Nang!" Helwa menjerit kecil di telinga kiriku.

Aku tergamam seketika. Fikiran realitiku kembali. Di hadapanku bukan lagi wujud Meriyem namun orang lain yang mengambil alih tempat jemurannya.

Kumenghela nafas lemah.

Helwa menegurku untuk tidak terlalu jatuh dalam kesedihan. Kesedihan bukan perkara yang boleh dilanjut-lanjutkan, kerana menurutnya kesedihan membuka ruang untuk kegelapan mendiami hati. Alasan dan nasihat yang kuakui benar.

Kegelapan itu kini seakan mengekoriku. Berselindung di balik lokar, di dalam kolah, di tepi Helwa.

Setelah itu, kuturuti langkah Helwa menuju dorm. Kerana, bilikku dan dia bersebelahan sahaja.

Helwa tidaklah terlalu rapat denganku namun dia selalu mencuba untuk ada. Ada pada saat-saat yang aku sendiri tidak sangka. Dia abstrak. Dia tidak beranting pada satu dahan. Dia menjalar dan menumbuh. Bersaing dari penjalarannya dengan ramai orang. Dia tidak bersahabat rapat dengan mereka yang dijumpainya, namun berkemungkinan dia diingati oleh hampir seluruh pelajar di sini. Kutafsir sikapnya sebagai abstrak yang berjaya. Berjaya memberi kesan pada setiap tempat yang disinggahi. Cukup untuk orang melihat dan merasai pengalaman dengannya namun tidak sehingga dia dibeli. Kerana, dia Helwa yang tidak pernah berhenti hanya di satu tempat. Tidak sepertiku. Meriyem seolah-olah dahan bagi rantingku.

"Gugur dan berdaun semula di dahan sama" Bisikku sendiri.

"Petang ini, kuteman kau makan di dewan. Tujuanku tidak ada hari ini. Jadi bolehlah." Helwa sempat menitip bicara sebelum dia hilang dari pandanganku.

Aku sekadar mengangguk dan menapak ke bilik.

Ada Apa di Dalam Gelap? (AADG)Where stories live. Discover now