1

6.8K 821 62
                                    

                TERSENGGUK-SENGGUK kepala dek kerana menahan rasa mengantuk yang amat. Hampir sahaja dia tersembam ke bawah apabila mata tiba-tiba terlelap tanpa tersedar, namun tindakan refleks lebih pantas membetulkan posisi duduknya semula. Ada dinding pameran di belakang ruangan menunggu, bolehlah dia bersandar sekejap sementara bas tiba.

Mengantuknya. 

Dah beberapa hari dia mengalami insomnia, kepala sering rasa terganggu dengan masalah yang harus dihadapi sejak jawatannya telah dirampas oleh pekerja muda baru itu. Sofea namanya. Dia dahulunya seorang wartawan daripada stesen News Viral, akan tetapi kini pangkatnya dipindahkan ke bahagian penulisan artikel. Semuanya berubah dalam sekelip mata.

Hanya kerana satu benda.

Iaitu cantik.

Ya, dia akui. Dimata sesiapa pun, Sofealah yang paling cantik sekali. Wanita yang pandai bersolek, pandai bergaya dan pandai membodek dengan bicara manis bibir merah traffic lightnya tu. Kerana cantik, Sofea dapat naik pangkat.  Kerana cantik juga, Sofea menerima layanan serupa puteri ditempat kerja.

Tidak macam yang seorang itu. Sufi. Siapa lagi kalau bukan dia? Sufi Leila nama diberi. Memang sedap apabila didengar, tetapi malang sekali nama itu tidak menggambarkan betapa cantiknya Sufi Leila. Dia... biasa-biasa sahaja.

Seorang yang berkaca mata nerd. Bertudung bawal yang sentiasa dikenakan bersama baju kurung. Bukannya tak reti bergaya, malah dia kalau bergaya boleh kalahkan kecantikan ratu cantik Malaysia tau! Cumanya...

Heh, M-A-L-A-S.

MALAS.

Tempek bedak dan lipbam sahaja dah cukup manis bagi Sufi. Rupa itu mungkin ada. Tetapi tarikan, hmm...

Orang gila pun belum tentu mahu.

Haih,

Kenapalah dunia ini selalu berpihak kepada yang cantik dan sempurna? Kalaulah dia secantik Sofea yang digilai netizen, staff dan bos. Tentu jawatan itu masih lagi menjadi miliknya. Tapi...

Terkadang tertanya-tanya juga satu soalan, seronokkah bila menjadi kegilaan orang? Setiap saat ada surat misteri berbaur ayat cinta terbang ke atas meja, setiap minit juga dapat sejambak bunga mawar, jiwa keperempuanan siapa sahaja yang tak suka dilayan sebegitu hari-hari, kan? Malah lebih bersemangat hendak ke kerja lagi adalah.

Pin! Pin!

Bunyi hon yang ditekan sebanyak dua kali menyentakkan Sufi yang hampir terlelap sekali lagi. Terkebil-kebil matanya melilau ke sekeliling kawasan, seakan memproses apa yang baru berlaku. Dek kerana terkejut punya pasal sehingga tercampak fail yang dipeluk sejak tadi. Berterbangan kertas-kertas ringan itu ke udara sebelum jatuh menimpa tanah.

"Hoi, Cik Adik! Nak naik bas ke tidak ni?" Tegur pemandu bas itu dengan nada sedikit meninggi. 

Aduh, berapa lama agaknya dia termenung sampaikan Pak Cik itu macam nak mengamuk kerana terpaksa menunggu?

"Ke... kejap! Aduh, jatuh pula." Cepat-cepat Sufi bangkit daripada kerusi. Akibat tindakan kelam-kabutnya, Kaca mata yang senget hingga menyentuh hidung itu pula yang jatuh ke tanah. Alahai, kenapalah malang sangat dia sejak beberapa hari ni?

"Kejap ya pak cik!" Jerit Sufi dengan nada kelam-kabutnya.  Langsung dia mencangkung di atas tanah, mengambil kembali kaca mata petak yang jatuh pada hujung kasutnya lalu dipakai. Barulah pandangan kabur sebentar tadi kembali terang-benderang dengan jelas.

"Cepat sikit sebelum pak cik tutup pintu bas ni!"

Makin panik Sufi apabila pemandu bas itu mula menakut-nakutkan dia. Sudahlah susah nak dapatkan grab pada jam sekarang.  Kalau kena tinggal, alamatnya kena jalan kaki beribu batulah jawabnya! Elok sampai pintu rumah, turun 5 kg.

UNKNOWN Where stories live. Discover now