Bab 2

4.2K 501 40
                                    

        DI sebuah bangunan korporat milik Viral Tv, tepat jarum jam bergerak ke angka 10:30 pagi, masing-masing melepaskan nafas lelah. Akhirnya, waktu rehat dah tiba. Ada pekerja yang turun ke kantin yang berada di tingkat 3, bahkan ada juga yang memilih untuk tidur sebentar di meja kerja sendiri.

Kalau ada yang terlebih rajin, mereka akan sambung buat kerja seperti biasa. Pelik juga manusia seperti itu. Bukannya gaji dia akan naik pun. Bos di sini sudahlah kedekut. Serupa dalam poketnya cuma ada lima sen sahaja setiap masa.

Dan Sufi pula, lebih memilih untuk berehat sahaja di meja kerjanya. Mula-mula ingatkan nak letak kepala atas meja sahaja, akan tetapi tiba-tiba sahaja kelopak mata terasa berat. Gamaknya kerana semalam dia tertidur lewat.

Semuanya gara-gara lelaki misteri semalam. Kalau dia tak kejar secara senyap-senyap, tak adalah Sufi fikir yang bukan-bukan.  Tengok! Sekarang dia juga yang dihantui dengan  perasaan serba-salah dan menanggung malu. Asyik tertanya-tanya bila lagi kesempatan yang dia ada untuk berjumpa dengan lelaki itu dan meminta maaf soal semalam.

Harapnya, dia ada peluang untuk berjumpa dengan lelaki tak dikenali itu sekali lagi.

"Sufi..." sayup-sayup kedengaran nama Sufi diseru lembut. Adakala tangannya menepuk-nepuk belakang bahu wanita itu dengan perlahan. Namun, perbuatan itu seolah-olah makin membuatkan Sufi jauh dibuai mimpi.

Bibirnya mencorek senyuman kecil. Sempat lagi anak mata hitamnya menatap seraut wajah Sufi yang jelas kelihatan penat. Mungkin disebabkan itu Sufi terlena di mejanya sendiri.

"Sufi Leila..." Bahu Sufi disentuh.

Akibat daripada sentuhan itu membuatkan bahu Sufi sedikit terhinjut kerana terkejut. Tubuh automatik menegak. Terkebil-kebil anak mata bulatnya melilau ke kiri dan ke kanan, tercari-cari empunya suara yang memanggil namanya tadi.

Dan ketika kepala Sufi menoleh ke belakang kerusinya, mata yang tadinya terasa berat terus menjadi ringan. Dibuka luas-luas sebelum Sufi bangkit daripada kerusi. Sekali lagi, Sufi terkejut.

"Akim?" Nama itu disebut Sufi.

Lelaki yang tercongok di hadapannya sekarang cuma menayang sengihan. Ya. Siapa lagi kalau bukan dia? Hakim Ezhar. Tetapi orang-orang disekelilingnya lebih selesa menggelarkan dirinya sebagai Akim. Mudah disebut dan senang untuk lekat dalam kepala otak. Macamlah Sufi tidak biasa dengan kehadirannya setiap kali tiba waktu rehat makan tengah hari.

"Maaf sebab ganggu awak. Lain macam nampak penat awak hari ni." Tegurnya.

Sufi tersengih kekok. Sesekali  tangan kanannya naik menyapu bibir. Takut-takut jika ada air liur basi yang tertumpah semasa dia tidak sengaja lelapkan mata tadi. Kalau ada, memang dia harus tanggung malu selama sebulan untuk bersemuka lelaki ini.

Tetapi...

Jelas sangat ke nampak yang dia tengah penat?

"Eh, mana ada saya penat. Pandai-pandai awak aje, Akim. Saya cuma bosan tak ada kerja sahaja. Sebab itu saya tidur. Selalunya waktu begini saya keluar dengan Tuah pergi temu ramah orang.  Tapi orang lain dah ambil job itu, kan? Apalagi yang saya boleh buat waktu sekarang." Ujar Sufi, ada senyuman kelat tubir di bibir Sufi. Sesekali dia menundukkan pandangan ke bawah.

Sejujurnya, Sufi masih lagi kecewa dengan sikap bosnya yang pilih kaseh. Langsung tak adil buatnya yang sudah lima tahun berkhidmat di Viral TV. Susah payah dia turun dan naik mahkamah, mengejar manusia-manusia yang tak lari daripada kontroversi dan sentiasa ada masalah dalam hidup. Tahu-tahu ini pengakhiran nasibnya.

Ingatkan gaji naik. Malahan pangkatnya dipindahkan ke bahagian penulisan artikel tanpa perbincangan terlebih dahulu. Job sebagai wartawannya telah dirampas oleh Sofia yang baru sahaja terlibat dengan stesen Viral TV tak sampai tiga bulan.

UNKNOWN Where stories live. Discover now