BAB 1

223 19 0
                                    

DIA berjalan menuruni anak tangga sambil menggaru kepala, membuat rambut yang panjang mengurai itu menjadi agak serabai. Sudah seperti rambut pontianak.

Tiba di tingkat bawah, matanya memandang ke ruang tamu. Kosong. Mana pergi semua orang ya? Sunyi sepi je rumah itu. Dia menapak ke pintu utama. Menjengah ke luar, kelihatan beberapa buah kereta mewah elok terparkir di garaj. Bermakna semua orang ada di rumah. Tetapi mana? Di ruang rehat atas tadi pun tiada sesiapa. Takkan semua orang dah tidur? Awal lagi ni.

Tutup semula daun pintu utama, dia mengatur langkah ke dapur. Mahu minum. Ketika dia semakin hampir dengan dapur, telinganya mendengar sayup-sayup suara orang sedang berbual. Diamati suara itu, dia yakin itu suara mummy dan daddynya.

“Aku tak jadilah pergi Malaysia. Aku hantar Andri ke sana.”

Mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut daddynya itu, sepasang matanya yang tadinya kuyu terus menjadi bulat.

“Apa daddy? Papa nak pergi Malaysia?” Dia menyoal, seraya melangkah masuk ke dalam dapur itu.

Andi dan Nasya yang sedang elok berpelukan di hadapan singki tersentak dengan kemunculan tiba-tiba anak dara mereka itu. Leraikan pelukan, keduanya pusingkan tubuh.

“Elsa dengar, daddy kata papa nak pergi Malaysia. Betul ke?” soal Elsa, dengan wajah tidak bersalahnya walaupun telah mengganggu adegan romantik orang tuanya itu.

“Tak. Mana ada.” Andi laju menafikan. Dia bergerak ke peti sejuk. Setin air buah dicapai daripada rak minuman.

“Daddy jangan menipu ya. Elsa tak pekak lagi. Mummy, betul ke papa nak pergi Malaysia?” Elsa ajukan pula soalan kepada mummynya yang masih berdiri di hadapan singki itu.

“Elsa bila turun? Tadi mummy jengah bilik kamu, elok je tengah tidur.” Nasya sengaja tidak menjawab soalan anaknya itu.

“Mummy sengaja nak ubah topik kan?” soal Elsa, bersama mata yang mengecil memandang wajah mummynya itu.

Andi dan Nasya hanya mendiamkan diri. Mereka tahu perangai anak dara mereka itu. Pantang dengar jika Andri nak ke mana-mana, pasti mahu ikut. Perangai dari kecil sampai ke besar tak berubah. Nak berkepit je dengan bapa saudaranya itu.

“Tak apalah. Elsa nak pergi rumah papa.” Elsa keluar dari ruang dapur itu. Hilang terus niatnya yang mahu minum tadi.

“Elsa! Hei, dah malam ni! Jangan keluar!”

Jeritan daripada Andi tidak dihiraukan. Kakinya mendaki anak tangga dengan laju. Tiba di tingkat atas, dia terus ke bilik tidurnya. Almari pakaian dihampiri. Buka pintu almari, sehelai hoodie ditarik daripada penyangkut lalu disarung terus ke tubuh. Kemudian, tudung sarung berwarna hitam dicapai dan disarung ke kepala. Bergerak ke meja solek, telefon bimbit yang sedang dicas dicapai lalu dimasukkan ke dalam beg silangnya. Usai itu, dia keluar dari biliknya itu.

“Nak ke mana kak malam-malam gini?”

Elsa yang mahu turun ke bawah menoleh ke arah gerangan yang menyoal. Elfian, adik lelakinya. “Nak pergi rumah papa. Bye!” Tidak menunggu, dia terus memijak anak tangga turun ke bawah.

“Elsa Aurora!”

Tingkah Elsa yang sedang memakai kasut terhenti tatkala namanya disebut. Menoleh, raut wajah orang tuanya menyapa pandangan.

“Nak pergi mana? Malam ni. Bahayalah,” ujar Nasya, berdiri di muka pintu sambil memandang ke arah anak daranya itu.

“Nak pergi rumah papa. Tak merayap pun. Nanti Elsa balik semula. Bye mummy!” Tangan Nasya dan Andi dicapai, lalu disalam hormat. Kemudian, Elsa terus berlari ke keretanya. Hidupkan enjin, tidak menunggu lama terus dipandu keretanya keluar dari pekarangan rumah keluarganya itu.

Hanya sepuluh minit perjalanan, keretanya sudah tiba di hadapan pintu pagar rumah bapa saudaranya. Elsa capai telefon bimbitnya. Lalu dia sentuh satu simbol bulat pada skrin telefonnya itu. Beberapa saat kemudian, pintu pagar rumah di hadapannya itu terbuka perlahan-lahan. Telefon dicampak ke tepi. Elsa memandu keretanya masuk ke dalam pekarangan rumah agam itu.

Matikan enjin, buka pintu dan dia keluar dari perut kereta. Berlari dia menuju ke pintu utama.

“Kak Elsa? Ada apa datang malam-malam ni?”

Elsa pandang gerangan yang berdiri di muka pintu utama itu. Andrya. “Papa mana?” soalnya seraya membuka kasut yang dipakainya dan diletakkan di rak kasut tepi pintu.

“Kat atas. Bilik kerja kot. Kenapa?”

“Nak jumpa papa. Hehe.” Masuk ke dalam rumah, Elsa terus menuju ke arah tangga untuk naik ke tingkat dua rumah itu yang menempatkan bilik kerja bapa saudaranya.

Bam!

Daun pintu berwarna coklat gelap itu dibukanya dengan kasar.

“Papa!”

Andri yang sedang duduk di sofa sambil menyiapkan kerja pejabatnya terkejut dek kerana bunyi dentuman dan jeritan kuat itu.  Mata yang tadinya memandang kertas A4 di tangan beralih.  Berkerut dahinya apabila melihat susuk tubuh yang masuk ke dalam bilik kerjanya itu.  Jam yang melilit pergelangan tangannya dikerling.
“What are you doing here?”

Elsa tidak menjawab soalan yang diajukan.  Bibirnya ukir senyum, melangkah menuju ke arah Andri.  Punggungnya dihempas di atas sofa, bersebelahan dengan Andri. 

“What are you doing here, Elsa Aurora?” Andri mengajukan soalan sama. Kertas di tangan diletakkan di atas meja kopi di hadapannya.  Cermin mata yang dipakai ditanggalkan.

“Papa…  Miss you…” Dengan selamba, Elsa menyandarkan kepalanya di lengan Andri. 

Kening Andri terjongket sedikit.  Ni kalau dah manja gini, adalah tu agenda.  Adalah tu yang dimahunya.

“Papa tak rindu girlfriend comel papa ni?” soal Elsa, mendongak sedikit memandang Andri. 

“Baru petang tadi jumpa, nak rindu apanya.” Mendatar Andri menjawab.  Telefon di sebelah komputer riba dicapai.

Elsa tersengih menayang giginya yang tersusun rapi itu.  “Papa…”

“Hmm?”

“Tadi kan, Elsa dengar daddy kata papa nak pergi Malaysia. Betul ke?” soal Elsa, merenung wajah Andri tidak lepas.

Jari Andri yang sedang menaip sesuatu pada telefon terhenti.  Kepalanya menoleh ke sebelah. “Jangan cakap…”

“Nak ikut boleh?”

Senyap. Kelopak mata Andri tidak berkelip memandang Elsa.

“Boleh tak papa?  Nak ikut papa pergi Malaysia.” Elsa merengek manja. 

“No.  Papa kat sana lama.  Bukan sekejap.  Awak tu ada kelas kat sini,” ujar Andri, bersama gelengan kecil.

“Alaaa, ponteng jelah. Apa susah. Bolehlah papa.  Nak ikut. Elsa dah lama tak pergi sana.”

“No.” Andri menyambung semula kerjanya.

“Papa…. Please…”

“No, Elsa Aurora.” Tegas Andri berkata.  Mencerlung matanya memandang wajah anak buahnya itu. 

Elsa cebik bibir.  Kepala yang menyandar di lengan Andri tadi dialih.  “Papa tak sayang Elsa dah ke? Sebelum ni, boleh je kalau Elsa nak ikut papa ke mana-mana. Ni, kenapa tak boleh,” ujarnya perlahan.  Kepala menunduk. Jari bermain sesama sendiri.

Terlepas satu keluhan berat daripada Andri apabila Elsa berkata sebegitu.  Dia mula dah… Drama!

“Tak apalah.  Balik dulu.” Elsa bangun daripada duduknya. Cecair jernih yang bergenang di tubir matanya dikesat dengan hujung lengan baju.  Baru saja dia mahu mengatur langkah, lengan kirinya dipegang. 

“Elsa…”

“Elsa nak balik.” Elsa tarik tangannya daripada pegangan Andri. Kemudian, langkah diatur laju ke arah pintu bilik itu.

“Elsa Aurora!”

Tidak menghiraukan panggilan Andri, Elsa terus keluar dari bilik itu. 

Hilang saja susuk tubuh gadis itu, Andri mengeluh kasar. Telefon bimbit dicapai. Lalu didail nombor abangnya.

“Hello.”

“Woi, apa hal kau bagitahu budak tu aku nak pergi Malaysia?” Andri terus menjerkah abangnya dengan soalan.

“Mana ada aku bagitahu. Dia terdengar perbualan aku dengan Sya kat dapur tadi. Dia ada kat rumah kau ke?”

“Iyalah! Merajuk budak tu aku tak bagi dia ikut,” bebel Andri. Kepalanya diurut.

“Anak sayang kau kan? Pandai-pandai handle. Cau.”

Tut…

Andri ketap gigi menahan rasa geram. Campak telefon ke atas meja kopi, dia bangun daripada duduk dan berlari ke arah pintu untuk mengejar anak buahnya tadi.

“Nak pergi mana awak?” Afya yang baru naik ke tingkat atas rumah itu menyoal pelik melihat suaminya seperti kelam kabut.

“Elsa mana?”

“Kat bawah, dengan Rya,” jelas Afya.

Andri angguk kecil.  Bergegas dia turun ke bawah. Melihat Elsa berada di ruang tamu bersama Andrya, dia hela nafas lega.  Langkah diatur ke ruang tamu.  Dia berdeham kuat, untuk menarik perhatian dua gadis itu terutamanya Elsa.

“Papa…”

Andri senyum ke arah anaknya.  Kemudian, dia pandang Elsa.  Sugul saja wajah gadis itu. Andri mengambil tempat di sofa tunggal.

“Rya, akak balik dululah.  Nak rehat.” Elsa capai beg silangnya yang berada di atas meja kopi.

“Elsa, duduk.”

Niat Elsa yang mahu bangun terbantut apabila mendengar suara garau Andri. Dia pandang sekilas wajah Andri.

“Betul ni nak ikut papa?” soal Andri setelah hampir seminit dia diam.

“Tadi kata tak boleh.  Dah kenapa pulak nak tanya,” gumam Elsa.  Bantal segi empat di sisinya dicapai lalu dipeluk.

Andri hela nafas perlahan.  “Bila papa tanya, jawab betul-betul.”

Elsa gigit bibirnya sendiri.

“Nak ikut ke tak nak?” soal Andri. 

Elsa angguk kecil.

“Jawab guna suara.” Tegas Andri.

Elsa mengeluh kecil.  “Nak.” Perlahan saja suara yang keluar. 

“I can’t hear you.  Again.”

“Nak.” Kali ini, Elsa kuatkan suaranya sedikit.

“Again!” arah Andri.

Spontan wajah Elsa yang tadinya menunduk terangkat.  “Papa…  Sengaja ke ni?”

Kening Andri terjongket sedikit.  Sesaat kemudian, tawanya meletus.  “Yalah.  Dua minggu tahu kat sana. Malaysia panas. Jangan nanti sibuk nak balik sini.  Faham?”

“Betul ni boleh ikut?” soal Elsa inginkan kepastian.

Andri angguk.  “Dah kat sana, jangan merengek nak balik sini.  Faham?”

“Baik papa.  Promise.” Elsa angkat tangan kanannya gaya berikrar. 

“Nanti papa bagitahu daddy awak.” Sejurus itu, Andri bangun.

“Papa!”

Langkah yang diatur Andri termati.  Tersentak dia apabila tubuhnya dipeluk tiba-tiba. 

“Terima kasih.  Sayang papa,” ujar Elsa sebaik pelukan dileraikan.  Bibirnya tersenyum lebar, sekaligus menampakkan lesung pipit di pipinya. 

Andri berdeham pendek.  “Pergi tidur.”

“Hmm?  Elsa nak baliklah.”

“Dah malam gini nak balik?  Tak payah mengada.  Tidur sini je,” ujar Andri.

“Baik.  Goodnight pa.  Lebiu.” Buat kesekian kalinya, Elsa peluk tubuh Andri.  Setelah itu, dia berpatah semula ke sofa. 

Andri geleng kepala.  Pelik lahai.  Andrya yang merupakan anaknya pun tidak begitu sekali perangai.  Elsa yang bukan anaknya pula yang terlebih manja.  Pelik. 

MY LOVE, EDAN! (EBOOK)Where stories live. Discover now