Jumaat. Inilah hari yang ditunggu Fina bila hari bekerja tiba. Bertemu hari jumaat bermakna berakhirlah minggu kerjanya. Dan esok dia boleh berehat dan healing di rumah.
Rumahku syurgaku.
Inilah ayat yang sentiasa meniti di bibir Fina bila diajak keluar oleh rakan-rakan lain bila hujung minggu tiba.
Bukannya dia tidak suka bersosial tapi melepak di dalam rumah dirasakan lebih seronok berbanding melepak di luar. Bebas nak buat pun. Tak perlu risaukan pandangan orang lain yang lebih melulu mencari perkara negatif berbanding positif.
"Esok kami nak pergi tengok wayang. Jom follow. Cerita best. Hero Malaya berlakon."
Fina mencebik. Kalau hero Hollywood sekalipun tak ada maknanya dia nak ikut. Tunggu saja masuk tv nanti. Tetap juga dia dapat tengok. Lagipun tengok di rumah lagi tenang. Siap boleh baring-baring sambil peluk bantal busuk kesayangan.
"Kau ni anti sosial lah. Jom la ikut. Lagipun kau dah lama tak keluar dengan kita orang."
Fina ketawa. Sesuka hati aje label dia sebagai anti sosial.
"Aku balik kampunglah minggu ni," tipu Fina sebab dia malas dipaksa untuk mengikut.
"Bukan ke kau baru balik dua minggu lepas?"
"Itu balik jumpa mak ayah. Ini balik sebab nak bertunang." Fina tahan senyum bila melihat wajah Munirah berubah.
"Wei!" Bahu Fina ditepuk kuat.
"Sakitlah. Terkehel nanti jatuh saham aku tau. Kurang hantaran aku, kau top up."
Munirah tersengih. Bahu Fina yang ditepuknya tadi digosok perlahan.
"Bertunang tak ajak."
"Buat kecil-kecil aje."
"Kecil pun kenalah ajak. Member kut."
Muka merajuk Munirah menggelikan hati Fina. Kalau betul-betul majlis tunang memang dia ajak. Masalahnya ni majlis tunang khayalan untuk mengelak diri daripada mengikut Munirah ke wayang esok.
"Kau kan dah ditempah sebagai pengapit aku. Masa majlis kahwin nanti baru kau datang. Tak surprise kalau kau tengok awal bakal suami aku. Orang kata basi kalau tengok awal."
"Bengong."
Fina mengekek ketawakan muka cemberut Munirah.
"Tu phone kau bunyi." Jari Munirah menunjuk ke arah telefon yang terdampar di atas meja Fina.
"Mama?"
Fina berderau tiba-tiba. Munirah dipandang.
"Kenapa kau tengok aku? Jawablah call mama kau tu. Mungkin nak bincang pasal majlis tunang kau."
Jari Fina kaku. Nak lorek skrin tapi jarinya terasa berat mahu melakukannya.
"Ya lah. Aku balik tempat aku dulu. Kedekut." Munirah beredar dan Fina masih berkeadaan seperti tadi sehinggalah telefonnya berhenti berbunyi.
"Apa pasal hati aku tak sedap ni? Berdebar pun ya."
Telefon Fina berbunyi lagi.
"Jangan-jangan ada sesuatu berlaku dekat kampung," monolog Fina sendirian.
"Assalamualaikum mama. Kenapa call ni?" tanya Fina sebaik saja menjawab panggilan daripada mamanya.
Mamanya tak akan hubungi dia ketika dia sedang bekerja, melainkan ada hal penting. Jadi Fina beranggapan ada hal penting yang mahu disampaikan Puan Farah padanya.