Masam wajah Fina melihat tetamu-tetamu yang hadir. Rupa-rupanya mereka semua sudah lama merancang. Hanya dia saja yang tak tahu. Patutlah majlis dilakukan secara tertutup. Rupa-rupanya bukan setakat majlis tunang tapi nikah sekali.
Kerana seorang ibu hari ini dia terpaksa menjadi isteri kepada lelaki yang pernah menolak cintanya dulu. Bukan main cakap tidak berminat dengannya. Tapi sekarang jilat ludah sendiri. Dasar muka tak malu.
Selepas upacara pembatalan air sembahyang tadi memang dia langsung tidak bersua muka dengan Aniq. Dia lebih memilih untuk duduk di sudut yang boleh mengelak daripada bertemu mata dengan tetamu yang hadir.
Bila hati tidak rela, perasaan pun tiada untuk meraikan tetamu. Lagipun majlis ini berlaku kerana penipuan mereka padanya.
"Jom ikut abang. Ayah dan ibu abang nak jumpa."
Fina tersentak. Huluran tangan Aniq padanya hanya dijeling saja. Jangan harap dia mahu sambut tangan Aniq. Tak ingin dan tak mahu sampai bila-bila.
"Cepat kita jumpa mereka, cepat mereka balik. Nanti Fina boleh rehat."
Fina mendengus. Dikeraskan diri di atas kerusi. Sibuk nak berabang dengannya. Geli telinga tahu tak.
"Fina..."
"Boleh tak awak jangan menyemak dekat sini. Saya rimas tengok muka awak."
Aniq mengeluh. Walaupun dia sudah bersedia awal berhadapan dengan kedinginan Fina, tapi sedikit sebanyak hatinya terasa. Dia tahu caranya ini salah. Tapi peluang apa yang dia ada selain mengikat Fina sebagai isteri.
"Sekejap saja. Lepas tu abang tak ganggu Fina. Please..."
"Ee... Menyampah betullah."
Fina bangun. Menghentak-hentak kakinya di lantai mengikut langkah Aniq.
"Ini ayah dan ibu angkat abang. Fina tahu kan yang abang dah tak ada mak ayah jadi dengan merekalah abang tumpang kasih."
Terkesan di hati Fina tapi jangan harap dia nak tunjuk reaksi simpatinya pada Aniq.
"Fina jaga Aniq baik-baik ya. Dia sayang sangat dengan Fina."
Pesanan Puan Nora membuatkan kening Fina terjongket naik.
"Tak sangka berjodoh juga kamu dengan dia. Ayah yakin Fina penganti yang layak untuk jadi mama Sufi."
Dang!
Jantung Fina berdegup kencang. Rasanya dia tak salah dengar tadi.
"Insya Allah ayah. Aniq yakin Fina boleh jaga Sufi dengan baik. Lagipun arwah sendiri nak Fina jadi mama Sufi."
Tanpa sedar langkah Fina mengundur ke belakang. Kepala digeleng berkali-kali. Memang dia tak salah dengar. Dan dia yakin dia dikahwini Aniq bukan kerana lelaki itu mahukan dirinya tapi untuk Sufi.
"Eh, kenapa ni?" Kalut Puan Nora bila melihat keadaan Fina.
"Tipu," sebut Fina perlahan tapi didengari Aniq dan keluarga angkatnya.
"Hah?" Puan Nora tersentak.
"Dari dulu sampai sekarang kau memang tak pernah pilih aku. Kau jahat Aniq. Kau jahat. Aku tak akan jadi mama pada anak kau. Aku tak nak!"
Suasana majlis yang riuh dengan suara para tetamu menjadi sepi apabila jeritan Fina bergema.
"Fina salah faham ni. Sebenarnya..."
"Diam!" jerit Fina lagi. Kala ini dia sudah tidak pedulikan sesiapa.
"Fina, saya..."
"Diamlah Aniq. Diam. Aku tak nak dengar kau cakap."