Bab 1

8 2 0
                                    

"BASHEER, pernah tak sekali dalam seumur hidup kau berjumpa dengan seorang gadis yang sangat cantik, secantik bidadari? Bila terpandang buat pertama kali, mata kau langsung tak berkedip. Seperti bintang yang paling bersinar di tengah langit malam yang gelap gelita. Kecantikannya itu sukar diungkapkan dengan kata-kata. Dia seolah-olah ciptaan Tuhan yang paling sempurna sehingga membuatkan dunia kau terhenti seketika. Pernah?"

        Pertanyaan Fahmi mencetuskan kegerunan di hati sepupu-sepupunya yang lain. Mana tidaknya jika Fahmi berani bertanya soalan yang tidak berfaedah itu kepada Basheer. Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba topik pasal akhirat tadinya bertukar pasal perempuan. Jika daripada Fahmi, tidak hairan sangat. Setiap masa nak borak pasal perempuan walhal sudah berbini. Tidak pasal-pasal kena ceramah percuma dengan Basheer nanti.

         "Eh, engkau tak payahlah tanya soalan cenggitu dekat Basheer. Kau ingat Basheer mata keranjang macam kau ke?" bisik Akbar geram kepada Fahmi di sebelah, namun masih dapat didengar oleh Basheer yang sejak tadi berwajah kosong, sukar dibaca ekspresinya.

         "Alah, aku tanya je! Jawablah, Basheer!" Tidak peduli dengan teguran Akbar, Fahmi menyiku lengan Basheer, memaksa jejaka tampan itu menjawab.

        "Tak pernah," jawab Basheer sepatah, jujur dan ikhlas dari hatinya.

        Mereka saling berpandangan dengan wajah terkejut, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengari. Bukan terkejut dengan isi jawapan Basheer, tapi lebih terkejut kali ini Basheer mahu melayan pertanyaan Fahmi yang selama ini sering kali diserang berdas-das oleh mulut pedas Basheer kerana asyik berborak pasal perempuan.

         "Kau biar betul?" tanya Fahmi tidak yakin. "Cuba beritahu sikit kenapa?" Fahmi menyeret kerusinya mendekati kerusi Basheer.

         Basheer menghela nafas panjang sementara otaknya merangka ayat yang sesuai bagi menjelaskan kepada Fahmi. Disebabkan moodnya agak baik hari ini, dia sudi untuk menjawab soalan yang amat tidak penting untuk dibual itu demi memuaskan hati si Fahmi.

         "Aku tak pernah lagi bertemu dengan wanita yang benar-benar cantik. Bagi aku, cantik adalah sesuatu yang sangat subjektif, berbeza pada mata setiap orang. Bagi aku, kecantikan seorang wanita itu bukanlah terletak pada rupa parasnya semata-mata. Cantik yang sebenar-benarnya terpancar dari kesucian hatinya, mulia akhlaknya dan kuat pegangan agamanya yakni cerminan kecantikan hakiki. Jika dia memiliki semua itu, dialah wanita yang paling cantik di mata aku."

        Mereka terpana mendengar jawapan Basheer. Namun tidak pelik, Basheer seorang lelaki yang sentiasa menjaga ikhtilatnya. Basheer tidak pernah mengenali seorang perempuan dengan lebih dekat sebelum ini kerana dia sangat menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Tambahan pula, sikap garang dan tegas Basheer membuatkan tiada seorang pun perempuan yang berani mendekatinya.

        "Sebab tu ke kau tak kisah langsung dijodohkan dengan perempuan yang langsung kau tak kenal dan tak pernah tengok pun? Kau yakin ke dia akan menepati ciri-ciri cantik di mata kau tu?" tanya Fahmi lagi.

         "InsyaAllah pilihan umi aku adalah yang terbaik kerana umi aku tahu apa yang terbaik untuk aku. Jika umi sudah menjodohkan gadis itu kepada aku, InsyaAllah, aku cuba terima dia seadaanya."

         Fahmi angguk faham tapi dia masih tidak berpuas hati. Dia ingin bertanya lagi sementera sesi taaruf belum bermula.

         " Jikalau gadis yang umi kau jodohkan untuk kau itu tak sesuai dengan expectation kau sekeluarga macam mana pula? Yalah, kalau dia tak menepati ciri-ciri wanita cantik di mata kau. Mesti kau tak nak terima dia kan?"

        "Eh, kau ni! Tak payahlah banyak tanya. Tak sesuai betul kau nak tanya soalan begitu dekat rumah Haji Wahid ni. Nanti didengar keluarga bakal mentua Basheer. Malu keluarga kita," tegur Akbar, geram melihat Fahmi yang tidak henti-henti menyoal.

Beri Aku WaktuWhere stories live. Discover now