TERKEDEK-KEDEK Armel mengejar langkah Laila dengan skirt ketat dan kasut tumit tingginya.
Tup...tap...tup...tap...tup...tap...
Lantang bunyi tapak kasutnya memijak lantai stadium. Sampai dia terasa nak buka kasut dan berjalan berkaki ayam.
Dari tadi kepalanya tunduk memandang lantai. Malu nak angkat kepala pandang keliling. Tahu orang tengah pandang dia lain macam. Mana ada orang datang menonton perlawanan bola sepak dengan berkasut tumit tinggi? Dia satu-satunya!
Haisy...menyesal dia tak ikut cakap Nina tadi. Awal-awal Nina dah pesan supaya pakai sneakers. Tapi, dia yang degil dan suka ikut kepala sendiri. Hah...sekarang kan dah malu. Padan dengan muka dia!
"Hati-hati, cik adik...tergolek nanti!" Kedengaran suara seorang pemuda menegurnya.
Armel tak pandang muka pemuda itu. Terus melangkah tanpa menoleh kiri dan kanan.
"Tak ada kasut yang lagi rendah ke kak?" Pemuda lain bertanya.
Armel tetap buat pekak telinga. Kalau dia menjawab, panjang pula cerita.
"Cepat, Mel. Game nak start dah!" Laila berhenti melangkah untuk menunggu Armel.
"Ya, kejap!" Armel angkat sedikit skirt ketatnya agar dapat melangkah lebih laju. Mujur dia pakai sarung kaki. Kalau tak, mesti dah terlihat auratnya kepada umum.
Nina dah jauh di depan. Melilau matanya mencari tempat duduk mengikut nombor yang tertera di atas tiket. Jumpa apa yang dicari, pantas tangannya melambai ke arah Armel dan Laila.
"Weh...sini!" Nina melaung.
Melihat Nina dah sampai, semakin laju langkah Armel. Mujur dia tak terpelecok mengejar langkah Laila.
Sampai di tempat yang dituju, nafas lega dihela. Punggung jatuh di atas kerusi
"Itulah...kan aku dah cakap tadi, pakai jeans, T-shirt dan sneakers je. Skirt ketat dan high heels tu tak sesuai pakai ke stadium." Nina pulangkan paku buah keras.
Muncung Armel panjang sedepa. Dekat sini pun Nina nak berleter. Dah bagus dia nak ikut Nina ke stadium. Ikutkan hati, malas dia nak temankan Nina.
Dia bukan peminat bola sepak. Tak faham mengapa orang boleh taksub dengan permainan ini sehingga kadang-kadang boleh bergaduh sesama sendiri. Orang yang mati di dalam stadium pun ada. Puncanya hanya sebiji bola.
"Aku dah nampak Aqil Mursyid!" Tiba-tiba saja Nina memekik sambil bertepuk tangan. Tepat matanya memandang ke tengah padang.
Mengecil mata Armel pandang Nina. Sejak dari rumah lagi nama Aqil Murshid itu tak lepas dari bibir Nina. Apa yang hebat sangat dengan pemain itu? Entah! Dia tak berminat mahu ambil tahu.
Pandangannya jatuh ke tengah padang. Kelihatan para pemain kedua-dua pasukan sedang melakukan aksi pemanas badan.
"Harap-haraplah Aqil dapat score sebiji malam ni." Tak habis lagi Nina meratib nama pemain bola sepak pujaan hatinya.
"Mudah-mudahan. Dah lama dia tak score kan," sambut Laila.
"Haah," balas Nina.
Terangkat kening Armel. Macam tak percaya Laila tahu perkembangan pemain pujaan Nina. Takkanlah Laila yang lemah lembut berminat dengan sukan yang dipelopori kaum lelaki ini. Macam pelik saja.
Nampaknya, antara mereka bertiga cuma dia yang tak tahu apa-apa pasal bola sepak.
"Yang mana satu Aqil?" Armel tunjuk minat mahu mengenali pujaan hati Nina.
YOU ARE READING
PENAMAT MIMPI CIK LENA (EBOOK)
RomanceBLURB PENAMAT MIMPI CIK LENA Armel Nadia bukan peminat bola sepak. Bila didesak teman-temannya ke stadium untuk menonton perlawanan bola sepak, dia jadi stress. Siap pakai skirt ketat dan high heels untuk tunjuk protes! Akibat kebosanan, Armel ter...