BERHENTI saja kereta, Armel tak berlengah, terus keluar. Macam lipas kudung dia melangkah ke pintu lif. Dia dah terlewat masuk ke pejabat. Bukan lewat sedikit. Hampir setengah jam!
Ini semua Laila punya pasal. Malam tadi Laila mengajak dia menonton Chinese Drama. Daripada satu episod ke satu episod matanya lekat di kaca televisyen. Habis Season 1, mereka sambung Season 2. Sedar-sedar dah pukul satu pagi.
Habis menonton, bukannya boleh terus tidur. Terkebil-kebil matanya menunggu ngantuk. Rasanya pukul tiga atau empat pagi baru terlelap.
Bangun pagi, mata dah serupa panda. Bengkak. Walaupun masih mengantuk, digagahkan juga untuk bangun dan bersiap ke pejabat. Dalam hal ini, dia tak boleh salahkan sesiapa. Semuanya salah dia. Dia yang berjangkit perangai Laila. Ketagih menonton Chinese Drama.
Sebaik melihat pintu lif hampir tertutup, semakin laju langkah Armel. Mujur hari ini dia pakai seluar panjang dan kasut bertumit satu inci. Oleh itu, laju dia berlari.
Walaupun nampak Armel mengejar lif, lelaki di dalamnya tak berusaha menghalang pintu daripada tertutup. Sakitnya hati Armel! Mujur tangan sempat menahan pintu lif. Kalau tak, lelaki ini memang kena maki 365 hari tak berhenti!
Dengan nafas termengah-mengah, Armel melangkah masuk. Muka lelaki yang di dalam kategori kacak itu direnung tajam. Geramnya dia! Dalam keadaan penat dan marah, dia lihat lelaki tampan di depannya dah macam zombie. Rasa nak cabut saja kasut dan ketuk kepala lelaki tak bertimbang rasa ini.
Selesai merenung, Armel palingkan muka. Tak lalu nak tengok muka lelaki ini lama-lama. Dahlah dia tengah mencungap. Karang termuntah pula. Tapi, dia rasa renungan lelaki itu tak berkalih dari wajahnya. Kalau terus dibiarkan, bimbang bocor pula dinding lif.
"Kenapa tenung ni?" Besar mata Armel menentang mata si pemuda. Lelaki ni tak tahu adab ke? Tengok orang macam nak telan. Entah-entah lelaki ni gila. Gila seks.
Cepat-cepat beg tangan diangkat dan diletakkan di dada. Kaki dipasang 'kuda-kuda'. Kalau lelaki ni berani buat perkara bukan-bukan, tahulah dia mengajarnya.
"Kita pernah jumpa ke? I rasa macam pernah tengok muka you." Memicing mata lelaki itu pandang Armel tanpa senyum.
Pantas Armel menggeleng.
"Tak. Kita tak pernah jumpa. I tak kenal you." Kalau pernah jumpa pun, Armel akan cakap tak pernah. Dia tak teringin punya sahabat yang pentingkan diri, macam lelaki ini.
Lelaki itu diam namun matanya masih lagi melekat di muka Armel. Sakit hati punya pasal, Armel lawan pandangan pemuda di depannya.
"Dulu you tak sekolah ya. Kalau sekolah, mesti ada belajar subjek Pendidikan Sivik. Dalam subjek tu kita diajar tentang sikap bertimbang rasa dan hormat menghormati. I rasa you tak ada sikap tu. Sebab tu you boleh tenung muka I macam orang tak ada adab." Masam muka Armel merenung muka pemuda tampan yang baru pertama kali dilihat mukanya. Sebelum ini tak pernah nampak.
"Sedapnya mulut you mengata I tak ada adab," bidas si pemuda dengan muka tanpa riak..
Eh...meningkah pula lelaki ni. Bila kata tak beradab, tahu pula marah. Sambil cebik bibir, Armel mengomel dalam hati.
"Kalau tak nak orang mengata, kena tundukkan pandangan tu. Jangan asyik nak tenung muka orang. Sebab tu..."
"You ni Cik Lena kan? Gadis yang tengah viral tu. Yang tidur masa tengok game bola." Si pemuda memintas dengan mata masih tak berganjak dari muka Armel.
"Eh...bukanlah." Armel tak mengaku. Kedua belah tangan digoyangkan laju-laju. Alahai... kenal pula lelaki ni dengan mukanya. Dia baru nak ceramahkan lelaki ni pasal adab sopan.
"You jangan nak tipu. I cam muka you." Si pemuda kacak tak percaya. Laju tangannya menyeluk poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbit. Setelah menekan kekunci, skrin telefon ditayang depan muka Armel.
"Ni you kan?" Tepat matanya merenung Armel.
Terkebil-kebil mata Armel menatap gambar seorang gadis sedang terlentok di bangku stadium. Patut ke dia menafikannya dan berkata itu pelanduk dua serupa? Kalau dia menyangkal, lelaki ni akan percaya ke? Kalau ketahuan berbohong nanti dicop kaki penipu pula.
"Kalau diam tu bermakna betullah kan?" Kerana Armel tak mengaku, si pemuda terus mendesak.
Armel diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Harap-harap lelaki ni akan berhenti bertanya jika dia buat-buat tak tahu.
"Bertuah I dapat kenal you. Bukan semua orang dapat jumpa orang yang popular macam you." Pemuda itu sengih pandang Armel.
Mencerun mata Armel. Lelaki ni perli dia ke? Bertuah apanya dapat kenal gadis yang 'bebal' macam dia? Tapi, manis pula muka pemuda ini bila tersenyum. Dalam diam, hati Armel memuji si jejaka berbaju biru.
"Tak sangka pula you kerja kat bangunan ni. I kerja kat Aras 11. You?" Si pemuda mengajak Armel bersembang.
"Aras 6." Armel jawab sambil lewa. Tak kuasa nak beramah tamah dengan lelaki ni.
"Ooh...di Dynamic Retail tu ke?"
"Haah." Armel mengangguk. Pandai lelaki ini meneka nama syarikat tempat dia bekerja. Di Aras 6 itu bukan hanya ada pejabat syarikatnya. Ada juga kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan.
"I kerja kat Wasilah Maju Sdn Bhd. Baru seminggu kerja kat situ. Sebelum ni I kerja kat Kuantan. Di cawangan syarikat yang sama." Mesra si pemuda yang pada awalnya disangka sombong ini bercerita tentang dirinya.
Malas nak membalas, Armel mengangguk. Sekurang-kurangnya dia beri respons pada cerita pemuda ini. Bukan menunjukkan diri tak beradab dengan buat-buat tak dengar.
Ting!
Lif berhenti di aras 6. Armel bersedia untuk keluar. Beg tangan yang dipegang, disangkutkan di bahu. Sebaik pintu lif terbuka, dia terus keluar.
Belum sempat melangkah jauh, hujung lengan bajunya ditarik si pemuda. Terkejut besar Armel. Haisy...apa ni main tarik-tarik? Beg tangannya diangkat tinggi. Kalau pemuda ini cuba buat yang bukan-bukan, dia dah bersedia dengan segala kemungkinan.
"Nama I Mikail. Nama you?" Pemuda itu memperkenalkan dirinya.
Armel palingkan muka. Sempat lagi pemuda ini keluar dari lif semata-mata nak tanya nama dia. Nak jawab atau tidak? Kalau dia jawab, tentu perbualan mereka panjang berjela. Dia dah lewat setengah jam. Kalau bersembang, mungkin akan jadi satu jam. Mengamuk Encik Amri bila dia lewat masuk ke pejabat tanpa sebarang kenyataan.
"Armel!" Sambil melangkah, Armel jeritkan namanya. Gasaklah kalau Mikail tak dengar. Setidak-tidaknya, dia cuba menjawab walaupun tak sepenuh hati.
Alah...apa yang nak dikalutkan? Mereka kan bekerja di dalam bangunan yang sama. Menara Astaka Yakin ini bukannya besar sangat. Esok lusa mereka akan bertembung juga.
*******************
Thank you for reading. Jangan lupa vote dan komen. Sayang semua!
YOU ARE READING
PENAMAT MIMPI CIK LENA (EBOOK)
RomantizmBLURB PENAMAT MIMPI CIK LENA Armel Nadia bukan peminat bola sepak. Bila didesak teman-temannya ke stadium untuk menonton perlawanan bola sepak, dia jadi stress. Siap pakai skirt ketat dan high heels untuk tunjuk protes! Akibat kebosanan, Armel ter...