ILHAM memulakan harinya sebagai seorang pensyarah. Sebagai pensyarah yang masih junior, dia sentiasa memerlukan komen-komen dari para pelajarnya dan juga dari tenaga pengajar yang sudah senior supaya dia dapat menambah baik kelemahanya ketika mengajar.
Disebabkan Ilham masih muda, ternyata ramai juga yang tertarik. Tetapi, Ilham tidak begitu gembira akan gosip yang mengatakan dia seorang pensyarah paling popular di universiti ini. Kerana rata-rata yang meminatinya adalah pelajar.
Ilham tak mahu nama baiknya tercemar jika gosip itu terus meliar ke arah yang bukan-bukan. Dia sendiri pernah mendapat mesej dari pelajarnya yang mengajaknya untuk membuat perkara yang kurang elok.
Pagi ini dia perlu mengajak pelajar semester tiga untuk subjek Linguistik. Sesi mengajar berjalan lancar. Di akhir kelas, Ilham memberikan tugasan kepada pelajarnya seperti yang telah ditetapkan. Diharapkan pelajar dapat membuat tugasan dengan baik. Ilham jenis yang tidak suka memberi markah secara percuma. Dia perlu bertegas jika melibatkan perkara-perkara seperti hal-hal akademik ini.
Biarlah jika pelajar kurang gemar akan dirinya kerana sikap tegas itu.
Masa begitu pantas berlalu, sekarang sudah jam 1:15 minit tengahari. Ilham mendapat mesej dari rakannya, yang juga menjadi tenaga pengajar di universiti ini. Rakannya, Osman mengajak Ilham untuk makan tengahari bersama.
Ilham menuju ke kafe yang berhadapan dengan Fakulti Sains Gunaan. Disebabkan Osman merupakan pensyarah yang mengajar di fakulti berdekatan itu, lagi pula Ilham tahu makanan di kafe itu memang sedap dan berbaloi dengan harga.
Menapak masuk ke dalam kafe, mata Ilham melilau mencari kelibat Osman. Matanya terhenti saat melihat seseorang melambai. Osman memilih tempat di sebelahan dinding kaca. Ilham melempar senyum dan berjalan ke arah meja.
"Assalamualaikum..."
"Waalaikumusalam..."
"Lama tunggu?" soal Ilham. Dia melabuhkan punggung.
"Tak. Aku pun baru habis mengajar tadi. Ni nak pesan apa?" Osman memanggil pelayan kafe.
Mereka melihat-lihat menu dan mula memesan makanan. Setelah pelayan berlalu pergi, mereka mula berbual tentang diri masing-masing. Walaupun mereka mengajar di universiti yang sama, amat jarang mereka berjumpa. Mereka berbual tentang pengalaman mereka mengajar yang sudah hampir lapan bulan ini.
Tidak lama kemudian, pelayan datang membawa makanan. Mereka berdua sambung berbual.
"Haritu ada juga pelajar aku hantar surat cinta. Mereka mesti patah hati bila dengar aku dah bertunang," ujar Osman sambil tersenyum. Selain Ilham, Osman juga antara pensyarah muda yang tidak kurang popular juga.
"Kau masih single lagi ke Ilham?" soal Osman.
Hampir tersembur makanan yang Ilham makan. Soalan maut betul!
"Tak laku, nak buat macam mana?" Air sirap limau Ilham cicip. Lega tekak.
Osman tersengeh. Tak mungkinlah jejaka tampan macam Ilham masih tak laku.
"Ke kau trauma?"
"Mungkin juga."
Mereka berdua menghabiskan makanan masing-masing sebelum melanjutkan kerja.