(7)

4 0 0
                                    

PANAS punggung Ben. Rasanya baru 10 minit dia duduk di sofa ini. Tetapi kenapa terasa begitu lama? Mungkin kerana debaran yang menanti. Sejak dia tiba di rumah ibunya. Tidak banyak perkara yang dibualkan. Ibunya juga seakan menahan sesuatu. Ben makin tak sedap hati. Walau dia sudah tahu perkara apa yang ingin dikatakan, tetapi tetap perasaan itu datang bertandang.

Kopi yang dibancuh oleh ibunya juga sudah tinggal suku.

"Ben... Mak bukan apa..." Terdengar nafas berat dari si ibu.

Ah, dah buka mulut! Ben sudah sedia. Mental dan fizikal!

"Bila kamu dah bersedia kahwin?"

Ben juga mengeluh. Panjang keluhan yang keluar.

"Ben hidup bujang sampai bila-bila kot..." Dirinya juga tidak tahu bila jodoh akan jatuh dari langit. Bukan dia tidak mahu mencuba. Tetapi hatinya seakan sudah tertutup rapat untuk menerima kehadiran orang baru. Pengalaman sudah mendewasakan Ben.

"Sebelum mak tutup mata. Ayah kamu tak sempat nak tengok kamu kahwin."

Ben datang mendekat. Dipeluk tubuh si ibu.

"Tengoklah macam mana mak..."

Dan untuk kesekian kalinya, ungkapan sama Ben katakan.


🧍‍♂️🧍‍♂️🧍‍♂️


Pukul 10 Malam.

PERJALANAN pulang terasa begitu lambat. Fikiran Ben kusut. Melihat wajah ibunya yang penuh pengharapan itu begitu meluluhkan hati. Kereta meluncur masuk ke kawasan RnR. Enjin kereta dimatikan. Ben keluar kereta dan melihat orang-orang di sekitar. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.

Dia melangkah ke sebuah kedai untuk membeli air dan makanan. Ada satu kedai yang menjual nasi berlauk. Setelah selesai membeli, tempat duduk dicari. Tidak jauh darinya, di sudut hujung kedai ada tempat duduk. Ben melabuhkan punggung. Terdengar bunyi suara orang sedang berbual dan kanak-kanak sedang ketawa sambil bermain di sekitar. Sedang dia menikmati makanannya, tiba-tiba saja sebiji bola berguling tepat dibawah mejanya. Ben melihat bola itu berhenti pada hujung kasut. Pandangan dihala, terlihat seorang budak lelaki memandangnya dengan wajah takut. Ben ukir senyum. Ketika itu seorang wanita bertudung satin menyapanya.

"Maaf ya encik, anak saya kacau encik makan." Dengan lembut nada wanita itu berkata.

"Eh, tak apa."

"Haikal, pergi ambik bola tu," arah wanita itu kepada anak lelakinya.

Ben mengangguk bersama senyuman.

Budak lelaki itu mengambil bola, sebelum kembali bersama ibunya. Wanita itu memberi isyarat untuk mengundurkan diri. Dari ekor mata, Ben memandang wanita itu sebelum hilang dari pandangannya.

Terasa getaran yang aneh dalam hatinya.

"Takkan aku jatuh cinta kot?"

Ben tersenyum dan mengelengkan kepala. Makanan dijamah sehingga habis sebelum dia meneruskan perjalanan pulang.


🧍‍♂️🧍‍♂️🧍‍♂️


Royal's Bookafe.

Perjumpaan tiga jejaka diadakan oleh Uddin. Ben dan Ilham tak tahu nak kata apa. Rupa-rupanya Uddin mengajak mereka kerana ada satu berita bahagia ingin disampaikan.

"Kau nak kahwin?" soal Ben. Dia memandang Ilham.

"Betul ke ni? Tiba-tiba je," ujar Ilham, ingin tahu.

Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba sahaja Uddin mahu tamatkan zaman bujangnya. Pelik bin ajaib sungguh. Itulah apa yang dua jejak ini rasakan.

"Yup. Aku dah jumpa si dia." Uddin berkata dengan penuh bahagia. Senyuman Uddin sudah cukup menunjukkan itu.

"Dengan siapa?" soal Ben lagi.

"Sofia."

"Siapa pula Sofia ni? Bila masa pula kau ada masa cari buah hati?" tanya Ilham sambil mencicip kopi Mocha miliknya.

"Pelanggan aku. Dia selalu datang sini. Nampak macam tiba-tiba, kan? Jodoh dah sampai.

"Baguslah kalau macam tu." Ben betulkan hoodie yang dipakainya. "Bila tarikhnya?"

"Bulan depan," ucap Uddin penuh yakin.

"Nampaknya gugurlah seorang bujang dari grup kita ni." Ilham geleng kepala sambil memandang Ben di sebelah. Ben pula mencicip teh hijau yang sudah mula dingin.

Cerpen: Tiga JejakaWhere stories live. Discover now