BAB 1

286 22 3
                                    

DIA memerhati kesan lebam di tepi bibirnya. Sudah beberapa kali kesan lebam itu ditutupi dengan alas mekap sejak pagi tadi. Selepas dioles lagi dengan solekannya, dia pasti lebam itu boleh ditutupi sama seperti sebelum-sebelum ini.

Rambut dibetulkan dan bibir dioles gincu, dia merenung wajah sendiri di biasan cermin. Dia sangat pasti tiada siapa yang akan perasan dan juga tiada siapa yang akan menegur.

"Kenapa bibir?"

Rupanya dia silap. Dia lupa tentang lelaki yang seorang ini.

Tubuhnya tegak. Spontan kekura jari telujuk menyentuh hujung bibir dengan rasa gementar dek mata tajam lelaki itu. Tubuhnya spontan saja menghimpit dinding lif di belakang. Dan dia menunduk, mengelak wajahnya terus direnung si bos yang matanya bak helang mencari mangsa.

"Itanya you ni, Nailah, kenapa bibir you?"

"I jatuh, Encik Mu'adz." Mata langsung tak pandang wajah si lelaki. Nailah tiba-tiba rasa gugup.

"Again? Last week dah jatuh tangga, dua hari lepas jatuh bilik air. Jadi kali ni you jatuh apa pula?" Riak wajah Mu'adz seakan tidak percaya dengan jawapan yang diberikan Nailah.

Nailah bermain jemari sendiri. Dia bukan takutkan disebabkan Mu'adz adalah bosnya, tapi dia takut kerana dia tahu si bos ini bagaikan boleh mengagak apa yang berlaku. Terasa apa yang berlaku pada dirinya diketahui lelaki itu.

"So, I nak tunggu you jatuh apa pula next time? " Soalan Mu'adz berbaur sindiran.

Nailah diam.

"Jangan sampai I datang jumpa suami you."

Kaku.

Mata Nailah terus statik di wajah garang Mu'adz.

"I hidup berbelas tahun dalam situasi serupa dengan you. Luka di bibir you tu, walau sekilas saja I pandang, buat I teringatkan arwah mama I. I bukan bodoh tak boleh bezakan kesan jatuh dengan kesan kena pukul."

"Encik Mu'adz..." Nailah memang dah agak lelaki ini pasti tahu.

"Keluar dari hubungan sebegini selagi you boleh, Nailah. Jangan jadi macam mama I. Nanti akan ada certain time, you dah tak boleh nak lari ke mana. Jangan jadi macam mama I," pesan Mu'adz. Apabila pintu lif terbuka, dia menahan pintu.

"After you." Sopan saja Mu'adz bersuara. Matanya sempat melirik kesan luka di hujung bibir Nailah. Dan memori pahit dalam hidupnya seakan kembali berputar, bagaikan tertayang di layar matanya ketika ini.

Nailah segera keluar dan dia berharap hari ini dia tidak akan bertemu lagi dengan Mu'adz hari ini. Dia tidak mahu lagi hendak bersoal jawab. Cukuplah kesan lebam di bibir menjadi rahsianya seorang.


MUJUR seharian ini, tiada siapa yang perasan dengan lebam di bibirnya. Malahan teman di sebelah mejanya pun, langsung tak bertanya. Jadi mekapnya hari ini berjaya menutup apa yang dia ingin tutupi.

Naik sahaja dari kafeteria bersama teman meja sebelah, Tasnim, dia sudah perasankan ada plastik putih dengan nota kuning kecil yang terlekat di situ. Nota yang hanya ada emoji smiley. Plastik putih itu ditarik dan dijatuhkan ke riba lalu tangan mengagau isi di dalamnya.

Tiub kecil untuk luka itu dibelek dan diangkat sedikit. Dan ada nota lain di situ juga. 'Suami you sepatutnya belikan lipstick untuk you, bukan ubat untuk kesan lebam di bibir.'

Hati perempuan Nailah tersentap. Kalau lah Amsyar menghargainya begini. Dalam dia teringatkan si suami, terasa bagaikan ada magnet memaksa dia mengangkat kepala. Statik pandangan matanya lurus memandang susuk lelaki yang keluar dari bilik dan berjalan di antara kubikel.

Mu'adz.

Anak mata Nailah terus mengekori langkah lelaki itu sehingga susuk itu menghilang.

"Kau yang dah ada laki pun bukan main suka tengok Encik Mu'adz."

Nailah tersentak dan dia menoleh arah suara itu. Bibirnya melorek senyum nipis. Malu tertangkap begini dengan statusnya yang diketahui semua orang.

"Boyfriend orang memang handsome, kan?" ujar Tasnim tiba-tiba.

Nailah dalam tak sedar mengangguk dengan kata-kata Tasnim itu. Mengiakan hakikat yang lelaki milik orang memang menarik perhatian perempuan lain.

Sama seperti Amsyar.

JIKA BUKAN KAMUWhere stories live. Discover now