DIA lebih takut kalau Amsyar diam begini. Dia tahu sang suami marah atau sedang mendera mentalnya. Dia lebih rela tubuhnya dijadikan sasaran kemarahan daripada melihat si suami diam tidak mempedulikannya. Dia takut akan kemarahan seperti ini.
"Kau yakin lelaki macam tu nak jadikan kau isteri dia lepas aku ceraikan kau?" Tiba-tiba saja Amsyar memecahkan kesunyian dengan soalan sinis begitu.
"Dia cuma bos saya." Segera Nailah menjawab tanpa berfikir lagi.
Amsyar berdecit dengan tawa kecil. Gelihati mendengar jawapan Nailah. Dia lelaki dan dia boleh tahu jika ada lelaki lain berminat dengan isterinya sendiri.
"Dia nak tidur dengan kau je, Nai. Kau jangan terbuai dengan perasaan. Sedar diri." Amsyar memerli.
Nailah gigit bibir bawah mendengar kata-kata Amsyar itu. Rasa terhina dengan tohmahan Amsyar itu. Seakan dia sekadar objek nafsu seorang lelaki, seperti yang sang suami sering lakukan kepadanya.
"Dia belikan kau ubat, dia belikan kau sarapan, kau ingat dia betul-betul suka kau? Dia cuma nak tidur dengan kau saja." Kata-kata Amsyar itu masih berbaur mengejek. Raut wajahnya juga kelihatan sinis memandang Nailah yang diam.
Tubuh Nailah tegak. Ketakutan datang menghimpit diri. Apa lagi yang Amsyar tahu? Pelik juga perihal sarapan yang dibelikan Mu'adz sampai ke pengetahuan sang suami. Macam mana dan bagaimana, dia sendiri tidak tahu.
"Nai, Nai. Kau ni terlalu naif." Amsyar datang mendekati Nailah yang duduk di meja makan. Rasa marahnya membuak setiap kali Nailah diam tidak meningkah kata-katanya. Diam tidak membalas. Diam yang seakan-akan mencabar kelelakiannya.
Berdiri di belakang Nailah, kedua tangannya naik menyentuh bahu sang isteri yang mulai tidak senang duduk. Lembut dia mengusap bahu sebelum turun menyentap kedua lengan dan dikilas tangan Nailah ke belakang kerusi.
"Sakit." Nailah mengerang. Terangkat duduknya cuba mengurangkan rasa sakit yang mulai menjalar sehingga ke bahu. Mungkin bahunya sudah terseliuh dengan tindakan Amsyar itu.
"Aku lagi sakit hati tengok kau dengan dia. Kau seronok kan ada jantan lain yang melayan kau macam tu. Macam aku ni suami yang tak mampu nak belikan kau sarapan."
"Nai tak makan pun. Nai sikit pun tak usik," beritahu Nailah.
"Depan aku pun kau berani berbual dengan dia, belakang aku? Aku rasa bukan semata makanan yang dia dibelikan yang kau makan, dia sekali pun kau lahap juga, kan?" Amsyar naik berang. Di dalam fikiran dia mulai membayangkan tubuh sang isteri diratah lelaki lain.
"Tak. Nai tak akan buat macam tu. Nai isteri orang, Nai tak akan berlaku curang." Suara Nailah mendayu. Tubuhnya mula menggeletar memikirkan nasibnya sebentar nanti. Pasti makin teruk dia akan dikerjakan.
"Aku tak percayakan kau, Nai. Sebab itulah aku tak benarkan kau bekerja, aku tahu ini lah yang kau akan lakukan. Aku tahu kau pasti akan berskandal belakang aku. Kau ni bini yang tak tahu diuntung. Aku kutip kau dan kau tak sedar diri." Amsyar cengkam kedua-dua pipi Nailah. Dia langsung tak menghiraukan keadaan sang isteri yang sedang menahan kesakitan.
"Sa... kit." Suara Nailah tersekat-sekat. Rahang mula memerit dek cengkaman tangan Amsyar yang makin kuat.
"Kalau sakit jangan buat benda yang mendatangkan kemarahan aku. Kau sakit sebab kau buat aku marah. Kau tak belajar ke dengan kesalahan kau sebelum ni?" Keras suara Asmsyar dan makin kuat tangannya mencengkam muka Nailah. Air mata sang isteri yang mengalir lesu di pipi langsung tak dihiraukannya.
"Nai... nai... minhak... maaaaff." Nailah cuba menzahir kata lagi, namun setiap kali dia ingin bersuara, makin terasa sakit rahang pipinya.
"Pergi mati dengan minta maaf kau tu." Spontan Amsyar menolak tubuh Nailah ke belakang.
Semuanya berlaku sekelip mata tanpa Nailah dapat berfikir dan dia langsung tak sempat berpaut ketika tubuhnya hilang imbangan dan jatuh ke belakang bersama kerusi. Pandangan jadi kelam, air mata terus merambu keluar tanpa suara.
"Aku tak akan ceraikan kau Nailah." Amsyar masih tak puas. Melihatkan si isteri yang terlentang di lantai dengan kerusi, langsung tak mendatangkan rasa belas.
"Nai tak minta cerai." Jelas suara Nailah sedang ketakutan. Melihatkan sang suami yang berdiri di tepi tubuhnya dengan wajah bengis, dia sanggup lakukan apa saja demi nyawanya.
"Kalau kau minta pun, aku tak akan ceraikan kau." Amsyar ketawa sinis. Sebelum berlalu sempat kakinya menyepak tubuh Nailah.
"Bini tak guna." Dan terlepas sekali lagi sepakan di perut.
Selepas beberapa ketika, Nailah gagahi diri untuk bangun, namun dia terbaring semula. Lama dia merenung siling memikirkan nasib diri. Dulu abah kata, inilah pilihan jodoh yang terbaik buatnya dan dia percaya. Sekarang dia tak tahu siapa yang patut dipersalahkan. Mungkinkah dia yang terlalu gopoh menerima cadangan bapanya dulu?
Nailah mengeluh dengan rasa sakit yang tak tertahan. Digagahi juga diri untuk bangun, dia duduk seketika dam matanya terarah di satu sudut. Memandang arah kedipan lampu merah yang mungkin sudah merakam apa yang Amsyar lakukan. Yang bakal menjadi bukti kepada perbuatan durjana Amsyar. Benar apa yang Mu'adz katakan padanya, dia perlu lari dari perkahwinan ini.
Dia nekad.
YOU ARE READING
JIKA BUKAN KAMU
RomanceKisah Nailah, si isteri yang dicurangi dan didera, ingin lari dari si suami, Amsyar. Namun kaki terikat apabila jatuh hati dengan abang sendiri, Amzar.