"Meow! Meow!"
Diya menoleh apabila mendengar suara kucing tanpa henti dari tadi. Kakinya melangkah keluar dari pintu dapur kafe. Dia berjalan di lorong yang kecil dan sunyi itu mencari arah dari mana suara kucing tersebut.
"Meow! Meow! Meow!"
Semakin lama semakin kuat dan keras suara kucing itu seperti sedang meminta pertolongan. Sebaik sahaja dia tiba di hujung lorong, dia melihat dua orang lelaki . Seorang daripada mereka sedang mencengkam batang leher seekor kucing dan ditenggelamkan ke dalam air.
"Hoi!" Dia menjerit kepada kedua-dua lelaki tersebut. Kakinya berlari anak untuk mendapatkan kucing itu.
"Kau orang buat apa ni ha?! Kau lepaskan kucing tu!" Marah Diya.
Kedua-dua lelaki itu hanya mentertawakannya. Lelaki yang memegang kucing itu menceburkan kucing itu ke dalam air lagi di dalam sebuah tong. Diya mendekati lelaki itu dan menarik tangan si lelaki tersebut untuk menyelamatkan kucing itu daripada mati lemas.
"Kau orang ni bodoh ke?! Tak ada otak?!" Ternaik satu oktaf suaranya. Dia mengelap bahagian muka kucing itu dengan kain tudung yang dipakai olehnya.
"Berani betul kau datang sini eh, perempuan!"
Salah seorang lelaki tersebut menapak mendekatinya. Diya menapak ke belakang perlahan-lahan ingin menjauhkan diri daripada mereka. Seorang lagi lelaki ketawa sinis. Matanya meliar sekeliling arah, melihat jika ada manusia di sekitar mereka.
"K-kau orang jangan dekat dengan aku!" Diya memberi amaran. Tangannya masih memeluk erat kucing yang dia selamatkan tadi.
Prang!
Dia terlanggar sebiji tong drum dan jatuh terjelepok di atas jalan. Kucing yang tadi berada dalam dakapannya sudah berlari jauh meninggalkannya akibat ketakutan.
"Ni kalau dapat makan minah ni, sedap ni!"
Mata lelaki-lelaki tadi menjamah setiap inci tubuh Diya. Dia ketakutan. Dia mengesot berundur ke belakang perlahan-lahan sambil tangannya meraba-raba di atas jalan mencari sesuatu untuk dijadikan senjata mempertahankan dirinya.
"Apa kau dah kebulur sangat ke? Mak bapak kau tak bagi kau makan cukup sampai kau nak makan dia?"
Suara seorang lelaki menerjah gegendang telinga Diya. Dia melihat seorang lelaki memakai jaket hitam dan berseluar jeans hitam sedang berdiri di belakang kedua-dua lelaki tersebut bersama sebuah helmet hitam ditangannya.
"Kau siapa? Hero nak selamatkan perempuan ini ke?"
Kedua-dua lelaki itu melepaskan tawa besar. Mereka tidak mempedulikan lelaki yang berlagak sebagai hero itu. Seorang daripada mereka menapak ke arah Diya.
"Aku siapa? Aku bapak kau! Sini aku ajar kau! Kalau kau nak hilang tangan, kau cubalah sentuh dia!"
Diya mendengar suara garau itu memberi amaran keras. Hujung bibir lelaki itu ternaik sedikit seraya memberi amaran. Mata pula memandang tepat ke anak mata Diya.
Oops, terbuat eye contact pula!
Diya pantas mengalihkan anak matanya. Jantung rasa berdebar. Dia cuba untuk bangkit dan melarikan diri namun tidak semena-mena badannya disambar daripada belakang.
"Argh!"
Dia menjerit kuat. Namun tidak lama, dia merasakan seperti tangan yang menarik badannya itu terlepas. Dia menoleh ke belakang. Lelaki-lelaki jahat itu sudah terbaring dalam keadaan tertiarap di atas jalan tar di lorong yang sunyi itu. Lelaki berjaket hitam itu pula sedang menekan badan seorang penjahat dengan lututnya, manakala seorang lagi sudah pengsan tidak sedarkan diri.
"Biasa lagi dia! Kecil-kecil taknak mampus, dah besar menyusahkan orang! Buat malu kaum sajalah kau dua orang ini!"
Diya melihat tangan lelaki itu memukul-mukul punggung si penjahat seperti sedang memukul anak kecil seraya berkata-kata. Dia tergelak kecil melihat aksi itu sebelum pandangannya bertaut dengan si penyelamat hidupnya.
Mata itu! Dia suka melihat mata itu yang membuat jantungnya berirama kencang!
"Sini tangan kau! Berani kau sentuh dia, eh!" Tangan si penjahat dipulas kuat oleh si lelaki penyelamat dan prakk!
"Arghh!" Si penjahat menjerit kesakitan. Tulang tangannya terkulai bengkok.
Mata Diya terbuntang luas. Macam itu je dia patahkan tangan anak orang! Dia berdiri kaku di situ apabila lelaki si penyelamat itu menapak ke arahnya. Mata mereka bertatapan lama.
"Cik okey?" Lelaki itu bertanya.
Diya hanya mengangguk. Dia benar-benar terpaku melihat lelaki di hadapannya itu. Dia sedang merakam wajah itu dalam ingatannya.
"Te... terima kasih tolong saya," ucap Diya sopan. Tapak tangan yang melecet dibersihkan.
"Tangan okey tak tu?" Lelaki itu bertanya lagi.
"Okey, luka sikit je. Tapi ma-macam mana dengan mereka berdua ni?" Diya gusar melihat dua lelaki yang terbaring di atas jalan itu.
"Saya uruskan mereka. Cik pergi balik ke tempat kerja cik dan rawat luka kat tangan tu. Nice to meet you, my destiny." Ayat terakhir lelaki itu ditutur perlahan namun dapat didengari dengan jelas oleh telinganya.
My destiny?
Diya melekapkan tangan ke dada. Jantungnya berirama kencang. Dia menghantar pemergian lelaki itu yang menggendong kedua-dua penjahat tadi di atas kedua-dua belah bahunya dengan anak mata.
*****

YOU ARE READING
𝐓𝐚𝐤𝐝𝐢𝐫 𝐓𝐞𝐫𝐢𝐧𝐝𝐚𝐡 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤𝐤𝐮 (𝐂)
Romance[SIRI PERTAMA 4 BERADIK] ❗️Dalam proses edit❗️ Singkat. Itu adalah perkataan yang sesuai untuk permulaan kisah cinta antara Diya dan Adha. Namun tidak bagi Adha kerana dia sudah lama menyukai gadis itu. Dengan bantuan Najmi, kisah cinta mereka berdu...