Bab 1 Cacat Pendengaran

302 30 4
                                    

AKU hidang lauk-pauk di atas meja. Nasi dicedok ke dalam pinggan. Air sirap dituang ke dalam gelas. Selesai semuanya, aku melangkah ke tepi tangga.

"Abang, jom makan!" Launganku bergema di ruang tamu.

Tanpa menunggu jawapan Dani, aku kembali ke meja makan. Aku enggan buang masa menunggu di tepi tangga. Bukan aku dengar pun jawapan Dani.

Sebelum turun ke dapur tadi, aku tinggalkan alat bantuan pendengaran atau hearing aid di dalam bilik. Tak praktikal kalau aku pakai peranti itu ketika memasak sementelah suamiku boleh berbahasa isyarat biarpun tak begitu mahir.

Aku mengalami kecacatan pendengaran dan memakai hearing aid sejak kecil. Waktu kecil dulu, aku selalu mengelak daripada memakainya. Tapi kata doktor, kalau tak pakai, aku akan mengalami masalah dalam pembelajaran. Aku tak mampu berkomunikasi dengan orang ramai dan emosi aku akan terganggu. Nak tak nak, aku terpaksa pakai dan sampai sekarang, peranti kecil itu bagaikan teman karib aku.

Biasanya aku akan bawa ke mana aku pergi. Tapi bukan setiap masa alat elektronik itu melekap di telingaku. Tengok situasi juga. Aku akan gunakannya jika keadaan mendesak. Kalau setakat pakai saja-saja, memang taklah.

Aku lebih suka tenggelam dalam dunia yang sepi daripada sakit telinga mendengar hiruk-pikuk alam semesta. Lagipun, jika tak sering dipakai, aku dapat jimatkan baterinya. Tak perlulah aku cas selalu.

Dani turun ketika aku sedang termenung di meja makan.

"Kenapa tak makan?" tanyanya dalam bahasa isyarat. Dia tarik kerusi di depan aku dan duduk.

"Ada tunggu abang," jawabku.

Aku memang sangat lapar. Tadi aku memang terfikir nak makan dulu tapi rasa macam tak beradab. Selama ni aku selalu makan dengan dia. Tiba-tiba malam ni nak makan sendiri. Nanti mesti dia fikir ada yang tak kena dengan aku.

"Lain kali tak payah tunggu I. Kalau dah lapar, makan je." Kali ini Dani tak guna bahasa isyarat. Mungkin mengharapkan aku memahami kata-katanya dengan hanya melihat gerak bibir.

"Hah?" Aku terpinga-pinga. Tadi, aku tak pandang dia kerana sibuk mencedok lauk ke dalam pinggan.

"Malaslah nak ulang. Lain kali pakai aid." Masam muka Dani berbahasa isyarat dengan aku.

Aku tak membalas. Enggan memanjangkan perbualan. Faham dia tengah naik angin. Karang bergaduh pula kami di meja makan.

Aku bukan tak nak pakai hearing aid. Aku rasa tak selesa bila alat kecil itu sentiasa melekap di telingaku. Dan macam yang aku kata tadi, aku perlu jimatkan baterinya untuk kegunaan hari esok. Sementara memasak di dapur, aku cas dulu baterinya. Senang aku nak guna bila keadaan memerlukan.

Kami kan tinggal berdua saja. Buat apa nak guna hearing aid jika dia boleh berbahasa isyarat. Dia agak mahir berbahasa isyarat. Mungkin dah sama hebat dengan aku.

Lagipun, kami bukannya berbual sangat. Selepas makan, kami akan habiskan masa dengan aktiviti sendiri. Dani akan menghafal dialog dan aku pula sibuk menulis skrip. Kami ni nama saja pasangan suami isteri tapi dalam sehari, boleh dikira berapa ayat yang keluar dari bibir kami.

Kalau punya anak, kehidupan kami tentu tak sesunyi ini. Belum ada rezeki kami untuk punya anak. Tak tahulah bila rezeki itu akan berpihak kepada kami. Apa pun, aku hanya berserah kepada Ilahi. DIA yang maha mengetahui apa yang terbaik untuk kami berdua.

"Dah tahu cacat, buatlah macam cacat. Ni masih berlagak tak sedar diri."

Aku melihat mulut Dani menggumam sesuatu tapi kerana tak dengar, kata-katanya aku abaikan. Jika ianya penting, dah tentu Dani akan berusaha menjelaskannya dengan bahasa isyarat atau menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium perbualan kami.

Ebook DUNIA TAK LAGI SUNYIWhere stories live. Discover now