Bab 6 (Dipergunakan suami)

146 28 10
                                    

AKU sedang bersarapan ketika Dani masuk ke dapur. Aku buat-buat tak nampak. Luka hati aku dengan perbuatannya semalam sangat dalam. Rasanya ia tak akan sembuh sampai bila-bila.

Malam tadi dia balik pukul 12.10 malam. Ketika itu aku masih belum lelap. Aku sedar bila cahaya lampu keretanya menyinari jendela kamarku.

Ini bukan kali pertama dia balik lewat malam. Lagi lewat dari ini pun pernah. Tak tahulah apa dibuatnya di luar. Mungkin sibuk dengan 'projeknya' bersama Qistina. Otak aku mula menerawang. Ya ALLAH...ampunkan aku jika apa yang aku fikirkan ini tak benar.

"You tak masak ke?" Tergawang-gawang tangan Dani berkomunikasi dalam bahasa isyarat.

Aku geleng. Pagi ini aku memang tak masak. Selalunya aku rajin juga masak nasi goreng, mihun goreng atau nasi lemak untuk sarapan pagi. Hari ini cuma ada roti dan kaya. Jika sekadar mahu mengalas perut, bagi aku ia dah mencukupi. Bukan salah aku jika dia tak nak makan.

"Kenapa tak masak?"

"Malas." Aku jawab selamba.

Mencerun mata Dani pandang aku. Hairan agaknya melihat perangai aku berubah 360 darjah. Tak kuasa aku nak balas pandangan dia. Aku buat-buat sibuk menyapu kaya di atas roti.

"Macam mana dengan offer dari Diamond Pictures tu?"

Barulah Dani bertanya tentang tawaran yang aku dapatkan untuk dia. Semalam bila aku sebut pasal itu, dia tak berminat nak dengar. Mentang-mentanglah Diamond Pictures tu produksi baru dan tak gah macam Khalifah Pictures.

Aku keluarkan telefon bimbit dan majukan mesej WhatsApp yang aku terima daripada orang kanan Diamond Pictures kepada Dani.

"Try contact nombor tu." Itu saja jawapan aku. Aku mengelak daripada pandang muka dia. Nak panggil abang pun aku meluat.

"Kenapa I nak kena contact diorang pulak? Bukan ke offer tu dah confirmed?" Dani tak puas hati.

"Tak confirm selagi tuan badan sendiri tak call dan beri persetujuan. Kenalah jumpa diorang dan tanya details. Kalau setuju terus sign dokumen." Suara aku sambil lewa.

Hati aku semakin sakit dengan perangai dia. Tahu nak senang saja. Apa-apa masalah suruh aku uruskan. Kalau ada perkara yang dia tak puas hati, aku juga yang kena sembur. Cukuplah hampir setahun aku jadi hamba suruhan dia. Kali ini jangan harap dia nak pijak kepala aku lagi.

Merengus Dani dengar jawapan aku. Aku buat selamba badak. Dia ingat dia seorang yang pandai membuli? Aku pun pandai.

Aku terus bangun bila tamat urusan aku dengan dia. Dia nak makan? Masaklah sendiri. Nak air? Pergi bancuh sendiri. Hari ini cuma ada pakej layan diri sebab di rumah ni dah tiada orang gaji.

Dia nak marah? Gasaklah. Aku tak kisah. Aku akan pekakkan telinga. Kalau aku tak dengar, itu bukan satu dosa buat aku yang memang dah semula jadi pekak ini.

PUKUL 11.00 pagi, aku ke pejabat Khalifah Pictures. Dua hari lepas, aku sebagai head of scripwriter telah menyerahkan draf ketiga skrip filem Bebas kepada Khalif. Mungkin dia dah baca. Hari ini dia panggil aku untuk berbincang mengenainya.

Banyak juga yang dia tak puas hati dan minta aku 'cantikkan' plotnya. Aku terima semua tegurannya. Dia dah banyak mengarah filem pecah panggung. Dia tahu kekuatan dan kelemahan skrip. Lagi pula, dia yang keluarkan modal untuk buat filem. Justeru, skrip pun sepatutnya mengikut cita rasa dia.

Semua cadangan dan penambah baik daripada Khalif akan aku panjangkan kepada grup penulis skrip. Nanti kami akan olah semula skrip tersebut sehingga hasilnya memuaskan hati semua pihak.

"Awak nampak macam tak ceria je. Ada problem ke?" tanya Khalif.

Aku pandang dia pelik. Ketara sangat ke kekusutan di wajah aku sampai Khalif pun boleh perasan?

"Saya okey je."

"Awak tak nampak macam okey pun, Ada. Selalunya awak ceria je. Saya tanya sepatah, berpuluh-puluh patah awak jawab. Hari ni awak macam malas nak bercakap." Khalif lahirkan pandangan.

Keluhan pendek aku lepaskan. Aku memang perlukan bahu untuk bersandar. Tempat untuk meluahkan perasaan. Namun, berat mulut aku nak ceritakan masalah rumah tangga aku.

Bukan aku tak percayakan Khalif. Tapi selagi belum bersedia, aku tak akan kongsikan kepada sesiapa. Lebih-lebih lagi di mana-mana platform media sosial. Selagi boleh pendam aku akan pendam. Sampai hati aku dah tak mampu nak peram. Masa itu nanti baru aku meletup macam ledakan gunung berapi.

"Awak dengan Dani macam mana?" Khalif tak puas hati. Masih mahu mencungkil rahsia aku.

"Macam biasa je." Aku senyum hambar.

Gatal mulut aku nak bertanya tentang hubungan Dani dengan Qistina. Khalif ramai kenalan dalam industri filem. Takkanlah dia tak dengar cerita pasal Dani. Sedikit sebanyak mesti ada.

"Dani layan awak dengan baik?" Banyak pula pertanyaan Khalif.

"Macam itulah. Awak pun tahu dia macam mana." Senyuman tanpa gula aku ukir.

Dani pandai berlakon. Depan orang ramai bukan main baik dia melayan aku. Tapi hanya ALLAH yang tahu kisah sebenar rumah tangga kami.

Dalam hal ini, ada baiknya aku berselindung. Kalau aku jawab ya, nampak sangat aku berbohong. Kalau jawab tidak, lagi berjela soalan Khalif.

Khalif nampak macam tak puas hati. Bergerak-gerak bibirnya mahu berkata sesuatu namun sudahnya diam membisu.

"Awak sunyi kot, Ada. Sebab tu awak stress. Kalau ada anak, mungkin awak akan lebih ceria." Khalif kemudiannya beri pendapat tentang aku.

Aku ketap bibir. Senyuman tawar aku berubah pahit. Anak? Entahlah...

Aku tak mampu punya anak dengan Dani. Tak mampu bina keluarga bersama dia. Bukan sebab aku tak boleh hamil. Tapi...macam mana nak hamil jika Dani tak pernah sentuh aku? Ya... sepanjang perkahwinan kami dia tak pernah sentuh aku!

Dani dan aku tidur di bilik berasingan. Di malam pertama lagi dia dah beritahu, selagi belum bersedia, dia tak akan sentuh aku. Namun, dah hampir setahun usia perkahwinan kami, dia tetap tak bersedia menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Salah aku ke jika sampai sekarang aku masih belum hamil?

Agaknya aku tak menarik. Tak seksi macam Qistina Alisya. Sebab itu nafsunya tertutup buat aku. Salah Dani juga. Dah tahu aku tak cantik dan tak seksi, kenapa dulu beria-ia nak kahwin dengan aku? Atau...dia kahwin dengan aku kerana ada agenda tersendiri? Itulah yang aku nak selidik daripada Dani.

Tak pernah aku luahkan hal ini kepada sesiapa. Hatta kepada rakan-rakan penulis skrip yang merupakan kawan-kawan baik aku. Aku tak pasti Dani ada ceritakan kepada orang lain pasal kami. Mungkin dia ada beritahu kekasih gelapnya itu. Aku syak saja begitu.

*******************

Tahu nak senang je Dani ni kan. Khalif ni pulak sehijau daun.

Ebook DUNIA TAK LAGI SUNYIWhere stories live. Discover now