Bab 8 (Si Hijau Khalif)

196 25 6
                                    

SELESAI berbincang dengan grup penulis, aku keluar dari bilik mesyuarat. Sejurus pintu ditolak, aku nampak Khalif sedang berdiri tak jauh dari situ. Berkerut dahi aku. Dia ada urusan di sini ke? Atau sedang menunggu seseorang?

Senyuman Khalif merekah bila nampak aku.

"Awak buat apa kat sini?" tanya aku.

"Saya tunggu awak." Khalif senyum.

Memicing mata aku. Pelik saja aku dengar ayat dia. Tak pernah lagi dia datang bertemu aku kecuali jika ada hal penting.

Atau dia memang ada hal penting. Sebab itu datang jumpa aku.

"Saya belum sempat draf skrip. Kitorang baru je habis meeting. Kalau ya pun bawa-bawalah bersabar," rungut aku yang mengira dia datang kerana mahu melihat draf terbaru skrip filem Bebas.

"Saya datang bukan sebab tu."

"Habis tu?"

"Saya jumpa kawan kat area sini. Kebetulan dah ada kat sini, saya datang jumpa awak sekali."

Dahi aku berkerut. Macam mana dia tahu aku ada mesyuarat di bangunan ini? Mungkin aku ada beritahu dia sebelum ini. Entahlah aku pun dah lupa.

"Kita pergi minum kejap?" Khalif mengajak.

Aku teragak-agak. Aku boleh saja keluar dengan dia. Tapi, faham-faham sajalah mulut orang. Aku tak nak kisah aku keluar berdua dengan Khalif tersebar di media sosial. Kalau Khalif orang biasa-biasa, aku tak peduli sangat. Ini semua orang kenal dia. Karang sekejap saja fitnah tersebar merata.

"Kita minum kat kafe je. Orang kat sini semua dah kenal kita. Takkan mereka tak tahu kita jumpa atas urusan kerja." Khalif meyakinkan aku bila melihat aku serba salah.

"Okeylah." Aku bersetuju.

Betul kata Khalif. Setakat keluar berdua di tempat terbuka, apa salahnya? Kami bukannya ada hubungan istimewa. Kawan biasa saja.

Selepas memesan makanan, Khalif pandang aku.

"Awak macam mana sekarang?"

"Okey je."

"Alhamdulillah."

Aku tenung lama muka dia. Kadang-kadang aku pelik dengan perangai Khalif. Dia asyik menanya aku okey atau tidak. Kalau jumpa aku, mesti nak bertanya pasal Dani. Haisy...aku ni bukannya budak kecil yang perlu sentiasa diberi perhatian. Aku dah dewasa. Pandailah aku uruskan diri sendiri.

Mungkin di dahi aku ni ada cop 'insan bermasalah'. Sebab itulah dia selalu risaukan keadaan aku.

"Hari tu saya jumpa Dani."

Ayat itu buat tubuh aku mengeras macam patung.

"Dia dengan siapa?" Secara spontan soalan itu meluncur dari mulut aku.

Kening Khalif bertaup. Pandangannya tepat ke muka aku.

"Seorang. Kenapa?"

"Tak ada apa-apa." Aku kalih pandang ke tempat lain.

Saja aku tanya soalan itu. Manalah tahu kalau Khalif nampak Dani dengan Qistina. Bolehlah aku korek cerita pasal kecurangan suami aku.

"Dia tanya saya pasal filem Bebas. Then, dia minta saya bagi apa-apa watak dalam filem tu. Jadi extra pun tak apa."

Aku senyum senget. Kemaruk sangat Dani nak berlakon dalam filem Khalif. Ingat lakonannya bagus sangat ke? Macam tak tahu Khalif ini cerewet orangnya. Kalau dah dicop 'kayu' sampai bila-bila nama Dani akan dipangkah Khalif.

Ebook DUNIA TAK LAGI SUNYIWhere stories live. Discover now