Bab 2 Curang?

135 26 4
                                    


SELESAI urusan dengan team penulis skrip di Writers' Room, aku bergegas ke Taman Tun Doktor Ismail. Hari ini Dani ada penggambaran drama Hatimu Milikku di sebuah banglo di sana.

Sengaja aku tak beritahu Dani tentang kedatanganku. Nak buat kejutan kononnya. Aku siap bungkuskan makanan yang aku beli di restoran mamak untuk dia. Waktu senggang nanti, bolehlah dia makan. Takut sangat suami kesayanganku kelaparan.

Aku tak masuk ke dalam rumah. Hanya menunggu di dalam kereta. Malas nak ganggu kru produksi yang sedang sibuk. Biarlah mereka buat kerja dengan tenang tanpa gangguan.

Sejam kemudian, dua orang pelakon dan kru penggambaran mula keluar dari rumah. Dah habis shooting ke? Soalan itu berlegar di minda aku. Aku tarik nafas lega. Kaki yang lenguh, aku luruskan.

Baru nak menolak pintu kereta, tanganku terhenti. Tak jadi aku keluar bila ternampak Dani berjalan dengan seorang perempuan. Berjalan bersama itu aku tak hairan. Aku bukan jenis orang yang kuat cemburu.

Tapi yang jadi masalahnya, tangan perempuan itu memaut mesra pinggang suamiku. Dani pula tak mengelak malah nampak gembira melayan si perempuan. Siap cuit-cuit hidung lagi. Eh...dah kenapa dengan Dani? Lupa ke dia dah bergelar suami orang?

Aku pandang lama wajah perempuan yang bersama Dani. Cantik. Seksi. Gayanya berjalan terliuk-liuk sangat menggoda iman lelaki.

Sebelum ini, aku tak pernah nampak muka perempuan tu. Pelakon baru ke?

Dani dan perempuan tu berjalan menuju ke kereta. Dah sah mereka datang bersama. Mujur mereka tak menyedari kehadiranku. Aku memang letak kereta jauh sedikit dari rumah. Pun begitu, apa yang berlaku di depan mata, tetap boleh nampak dengan nyata.

Patut ke aku tegur Dani sekarang? Aku menimbang. Belum sempat buat keputusan, cermin keretaku diketuk perlahan. Aku palingkan muka. Ariq, kru syarikat produksi Megamas sedang menayang gigi sambil pandang aku. Pantas aku turunkan cermin kereta.

"Puan Adra buat apa kat sini?" tanya Ariq dengan sengih yang masih belum hilang.

"Err...tak ada apa-apa. Saja datang tengok-tengok." Sengih aku pula dah macam badut. Dibuat-buat.

"Ooh..." Terangguk-angguk kepala Ariq.

"Saya balik dululah." Kalut aku meminta diri. Aku enggan berbual panjang dengan Ariq. Risau Dani perasan kereta aku.

Tanpa menunggu jawapan Ariq, aku naikkan cermin. Pantas aku hidupkan enjin kereta. Dalam kiraan lima detik, kereta aku menghilang.Tak nampak bayang.

LAMA aku menunggu Dani di ruang tamu. Dari petang hingga ke malam, Dani masih tak nampak muka. Aku hidupkan suis TV tapi aku lebih banyak termenung daripada menonton. TV pula yang banyak tengok aku. Benak aku masih terkenangkan peristiwa petang tadi. Masih terbayang-bayang tangan wanita seksi yang melingkari pinggang Dani.

Sampai di rumah petang tadi, aku terus capai telefon bimbit dan tekan carian Google. Sebaik tajuk drama Hatimu Milikku ditaip, wajah Dani dan wanita seksi itu muncul di muka skrin.

Si wanita memegang watak pelakon pembantu dalam drama itu. Qistina Alisya namanya. Nama bukan main sedap. Muka pun cantik. Sayangnya hati dia tak seindah nama dan rupanya. Perempuan ni tak tahu ke Dani dah beristeri? Kalau tahu, mengapa masih menggatal dengan suami orang? Itu yang aku tak faham. Sakit hati aku dibuatnya.

Tapi, bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Dani juga bersalah dalam hal ini. Kalau dia tak melayan, perbuatan curang itu tak terjadi. Curang itu kan pilihan sendiri. Tiada sesiapa memaksa.

Mungkinkah Dani dah main kayu tiga di belakang aku? Terkelip-kelip mata aku memikirkannya.

Andai itu terjadi, sukar untuk aku menerimanya. Kami baru saja berkahwin. Usia perkahwinan kami belum pun sampai setahun. Dah ada badai yang melanda. Salah siapa? Silap Dani yang tak setia atau aku yang tak pandai menjaga suami?

Pukul 12.00 malam, kelihatan cahaya lampu menerangi porch. Dani dah balik. Biasanya, aku akan bukakan pintu untuk dia tapi kali ini aku biarkan saja. Dani ada kunci, pandai-pandailah masuk sendiri.

Sebelum dia masuk, aku bangun menuju ke dapur. Tak nak dia nampak aku tercongok di ruang tamu. Karang dia bising aku tak bukakan pintu. Aku ambil gelas, penuhkan dengan air suam dan teguk hingga tinggal separuh.

Dani menjengah dapur ketika aku sedang mencuci gelas di singki. Aku buat tak tahu.

"Tak nampak ke I balik tadi?" Dia berbahasa isyarat. Masam mukanya merenung aku.

Aku buat muka terkejut dan angkat bahu.

"Tak. Ada tak tahu. Ada kat dapur. Dah lama ke abang balik?" Bukan Dani saja pandai berlakon, aku pun pandai.

Dani mendengus. Soalan aku tak dijawab. Langkah diatur ke meja makan.

"You tak masak ke?" Berkerut dahi Dani melihat meja makan yang kosong.

"Tak. Balik tadi dah petang. Letih sangat. Tak sempat masak." Muka aku dah sehabis jujur.

Hari ini aku memang tak masak. Biasanya, selepas bersolat maghrib aku dah berperang dengan periuk dan kuali tapi kali ini aku tak ada mood nak memasak. Tahap kerajinan aku menurun ke skala 1. Aku cuma masak mi segera untuk hilangkan perut yang berkeroncong.

Pelik aku tengok Dani. Bukan ke tadi dia bersama Qistina. Takkanlah mereka berdua tak makan.

Entah-entah Dani tak bersama Qistina tapi sambung shooting di tempat lain. Mereka berdua tiada hubungan istimewa pun. Aku saja yang berfikir bukan-bukan. Hati aku mula rasa was-was.

"Ada ingat abang makan kat luar. Tu sebab Ada tak masak. Pukul berapa abang habis shooting tadi?" Aku menyelidik.

"Ni baru habis shooting. Ingat balik nak makan tapi you pulak tak masak." Masam muka Dani menyindir aku.

Aku ketap bibir. Faham jadual kerja seorang pelakon tak tentu masa. Bergantung kepada keadaan dan budi bicara pengarah. Balik rumah, badan dah letih. Perut pula mengaum minta diisi. Tengok meja makan kosong, mestilah dia mengamuk.

 Timbul rasa bersalah di hati aku kerana menyimpan syak wasangka tadi.

"Abang tunggu kejap, Ada masakkan makanan untuk abang. Mi sup boleh ke?" tanya aku.

Itu masakan yang paling mudah dan cepat. Mi kering masih ada sebungkus di dalam kabinet. Letak sedikit bebola daging, sayur dan pecahkan telur. Siap.

"Masak jelah apa-apa. I nak mandi dulu." Dani tak tunggu jawapan aku. Sekejap saja dah menghilang ke tingkat atas.

Tanpa berlengah, aku keluarkan bebola daging dari peti ais. Bawang dikupas. Sepuluh minit kemudian, mi sup spesial aku siap terhidang di atas meja. 

*********************************

Terima kasih kawan-kawan sudi baca. Terima kasih untuk komen dan votenya juga.

Ebook DUNIA TAK LAGI SUNYIWhere stories live. Discover now