Pada suatu hari, ketua kampung di kawasan perumahan mereka, Pak Karim, telah mengumumkan bahawa akan diadakan satu aktiviti rewang di dewan serbaguna. Tujuannya adalah untuk menyediakan hidangan bagi sambutan majlis rumah terbuka Hari Raya yang akan diadakan di situ pada hujung minggu. Semua penduduk dijemput untuk bersama-sama bergotong-royong, sebagai tanda kesepakatan dan semangat kejiranan yang kuat.
Zaqwan, yang terkenal dengan sikapnya yang mesra dan peramah, dengan gembira menyambut jemputan itu. Dia memutuskan untuk turut serta bagi membantu memeriahkan majlis dan menunjukkan sokongan kepada komuniti mereka. Pagi itu, setelah bersiap dan bersarapan bersama Ira, dia melangkah keluar dari rumah dengan perasaan bersemangat.
"Saya pergi dulu, sayang. Kalau ada apa-apa, telefon saya, ya?" pesan Zaqwan kepada Ira.
Ira mengangguk sambil tersenyum. "Baik, abang. Selamat bergotong-royong!"
Zaqwan melangkah keluar dan menuju ke dewan serbaguna yang terletak di tengah-tengah kawasan perumahan mereka. Setibanya di sana, dia melihat beberapa jiran sudah berkumpul, termasuk beberapa orang wanita yang sibuk memotong bawang dan menyiapkan bahan-bahan masakan.
Sambil melambai tangan kepada mereka, Zaqwan terus mencari tempat untuk menyumbangkan tenaganya. Dia melihat Pak Karim berdiri di sebelah trak pikap, memunggah karung beras dan bahan masakan lain yang dibawa untuk acara tersebut.
"Assalamualaikum, Pak Karim!" sapa Zaqwan sambil mendekati Pak Karim.
"Waalaikumsalam, Zaqwan! Bagus awak datang. Mari, mari, kita perlukan banyak tenaga muda hari ni," balas Pak Karim sambil tersenyum lebar.
Zaqwan ketawa kecil dan membantu Pak Karim mengangkat karung beras. Mereka bersama-sama memindahkan bahan-bahan ke dalam dewan serbaguna. Ketika itulah, Zaqwan terlihat Sharrul di sudut lain dewan, sedang membantu mengatur meja dan kerusi. Sharrul kelihatan begitu bersemangat, berbual-bual mesra dengan beberapa jiran lelaki yang lain.
Zaqwan tersenyum melihat kesungguhan Sharrul. Dia mendekati Sharrul sambil membawa satu lagi karung beras di bahunya. "Sharrul! nampak macam sibuk betul tu!"
Sharrul berpaling dan tersenyum lebar apabila melihat Zaqwan. "Oh, Zaqwan! Ya, saya rasa seronok dapat sertai rewang macam ni."
Zaqwan mengangguk. "Betul tu. Lagipun, kita boleh tolong-menolong dan eratkan hubungan kejiranan."
Mereka berdua terus bekerja bersama-sama, memindahkan bahan-bahan dan membantu menyiapkan tempat untuk majlis nanti. Suasana di dewan serbaguna semakin meriah apabila semakin ramai penduduk tiba. Terdapat kumpulan wanita yang mula menyiapkan bahan-bahan masakan, manakala kumpulan lelaki sibuk mendirikan khemah dan mengatur meja makan.
Setelah selesai mengatur meja dan kerusi, Zaqwan dan Sharrul bergerak ke kawasan dapur, di mana mereka membantu memotong sayur-sayuran dan mengupas bawang. Sharrul dengan cepat menyesuaikan diri dengan tugas-tugas tersebut, menunjukkan kepantasan dan kemahirannya.
"Awak nampak macam biasa buat kerja dapur, Sharrul," tegur Zaqwan dengan nada bergurau.
Sharrul ketawa kecil. "Hehe, biasa saja, Zaqwan. Dulu masa belajar di universiti, saya selalu rewang dengan kawan-kawan di kampus. Jadi, dah biasa dengan kerja-kerja macam ni."
"Saya pun sama. Dulu masa bujang, selalu juga tolong-tolong mak dan kakak-kakak kat rumah. Kalau tak reti, memang kena marah lah," balas Zaqwan sambil tersenyum.
Mereka terus berbual sambil bekerja, dan sepanjang pagi itu, mereka semakin akrab. Zaqwan senang hati melihat sikap Sharrul yang peramah dan mudah mesra dengan orang lain. Sharrul pula merasakan dia diterima dengan baik dalam komuniti baru ini, dan kehadirannya dihargai oleh jiran-jiran yang lain.