Minggu-minggu berlalu dengan cepat. Hubungan antara Zafran dan Qaisarah semakin rapat. Di hospital, setiap kali Qaisarah merasa penat atau tertekan, Zafran selalu ada, seolah-olah dia dapat membaca emosi Qaisarah tanpa dia perlu berkata apa-apa. Mereka mula berbual lebih banyak tentang kerja, tentang pesakit-pesakit, tetapi perlahan-lahan, topik peribadi mula menyelinap masuk.Zafran selalu tahu apa yang perlu dia katakan. Dia sentiasa berada di tempat yang betul pada waktu yang betul, membuatkan Qaisarah merasa bahawa hidupnya yang selama ini kelam kini mulai bermakna. Perasaan di hatinya semakin sukar untuk disangkal Zafran bukan sekadar rakan sekerja atau seorang doktor. Dia adalah sesuatu yang lebih.
Namun, di sebalik setiap momen indah bersama Zafran, Qaisarah tak dapat lari dari kehidupan kelam di rumahnya. Setiap kali dia melangkah pulang, Puan Faridah ada di sana, menunggu untuk melepaskan kemarahannya yang tak bertepi. Setiap malam, Qaisarah terpaksa mendengar cercaan, menelan hinaan, dan menjalani hidup seolah-olah dia hanyalah bayang-bayang yang tak wujud di dalam rumah itu.
Satu petang, ketika Qaisarah baru saja pulang dari hospital, pintu rumahnya terhempas kuat. Puan Faridah berdiri di ruang tamu, wajahnya dipenuhi kemarahan.
"Kenapa lambat balik? Kau ingat ni rumah siapa, hah? Ini bukan tempat kau buat suka hati, Sarah!"
Qaisarah terdiam. Dia sudah biasa dengan kata-kata seperti itu. Tetapi hari ini, sesuatu dalam dirinya terasa lain. Dia tak tahu kenapa, tapi mungkin kerana Zafran, mungkin kerana dia mula merasakan bahawa hidupnya bukan hanya sekadar menjadi hamba dalam keluarga ini.
"Aku bekerja, mak," jawab Qaisarah perlahan, tapi nadanya lebih tegas dari biasa.
Puan Faridah terkejut mendengar nada suara Qaisarah. Selama ini, anak tirinya itu selalu menurut, jarang sekali membantah atau bercakap balik.
"Kau berani nak jawab, ya?" Puan Faridah menghampiri Qaisarah dengan langkah yang marah. "Jangan lupa siapa yang besarkan kau. Kau ni bukan siapa-siapa kalau bukan sebab aku! Jangan mimpi nak bersuara tinggi depan aku!"
Qaisarah menghela nafas panjang. Segala kekecewaan, segala rasa terhina selama bertahun-tahun mula mengumpul dalam dadanya. Dia sudah tak mampu lagi menahan.
"Saya tahu siapa saya," jawab Qaisarah, kali ini lebih tenang. "Tapi itu tak bermakna saya perlu tunduk sepanjang hidup saya."
Puan Faridah terdiam seketika, terkejut dengan keberanian baru Qaisarah. Wajahnya berubah menjadi lebih marah.
"Kau! Jangan kurang ajar dengan aku!"
Tangan Puan Faridah naik, siap untuk menampar Qaisarah, tetapi kali ini, Qaisarah tidak bergerak mengelak seperti selalu. Dia hanya berdiri tegak, menatap ibunya dengan pandangan yang dingin. Di saat itu, Qaisarah sedar sesuatu dia tak perlu takut lagi.
Namun, sebelum Puan Faridah sempat menyentuhnya, pintu rumah berbunyi. Seseorang mengetuk dengan kuat, dan sejurus selepas itu, pintu terbuka. Zafran berdiri di hadapan pintu, wajahnya tenang, tetapi ada bayangan tajam dalam matanya.
"Maaf, saya mengganggu," kata Zafran dengan nada lembut. "Saya datang nak jumpa Qaisarah."
Puan Faridah menurunkan tangannya perlahan, terkejut dengan kehadiran Zafran yang tiba-tiba. Wajahnya berubah menjadi cemas, seolah-olah cuba menutupi kemarahan yang baru saja meletus.
"Oh... Doktor Zafran... saya tak tahu awak akan datang," kata Puan Faridah dengan senyuman yang dipaksa. "Qaisarah ni... dia ni memang anak yang baik, cuma..."
Zafran tidak memberi peluang Puan Faridah untuk menghabiskan ayatnya. "Saya akan bawa Qaisarah keluar sebentar. Ada urusan di hospital yang perlu dibincangkan."
YOU ARE READING
Silhuet
RomanceQaisarah, seorang jururawat yang hidup dalam bayangan keluarga tirinya, menjalani kehidupan yang penuh dengan penghinaan dan penindasan. Di sebalik senyumannya yang lembut, tersembunyi luka lama yang tidak pernah sembuh. Namun, ketika dia bertemu Za...