MINYAK disapu pada pergelangan tangan. Diurut lembut tangan wanita kesayangannya itu.
"Kita report polis ya ibu? Tiya tak nak tengok dah ibu asyik sakit macam ni. Bukan sekejap kita macam ni. Bertahun dah." Tangannya menggenggam kemas kedua belah tangan Puan Jelita. Wanita yang bersusah-payah menjaganya sendirian.
Puan Jelita membalas genggaman anak gadisnya. "Ibu tak nak libatkan sesiapa, Tiya. Biarlah ini antara ibu dengan ayah je. Ibu masih kuat lagi,"
"Tapi sampai bila? Sampai bila kita nak terus hidup macam ni? Tiya kesian dekat ibu yang kena hadap semua ni." cantas Atiya. Bersungguh dia memujuk ibunya.
Hanya mereka berdua yang tinggal di dalam rumah itu. Itu pun kerana Atiya sedang cuti. Kalau tidak, Puan Jelita hanya bersama Kak Suri, pembantu rumah. Ayahnya entah tinggal di mana bersama isteri barunya. Namun di siang hari, pasti saja muncul di hadapan pintu untuk mencari Puan Jelita.
Wanita itu melekapkan tapak tangannya di pipi kanan Atiya dan diusap dengan ibu jari. Matanya yang sedikit berair merenung penuh kasih. "Ibu tak apa, sayang. Janji anak ibu okey, ibu tak kisah. Lagipun tak kisahlah seteruk mana pun ayah tu, dia tetap ayah Tiya. Tiya masih kena hormatkan dia, sayangkan dia."
Wajah Atiya kosong mendengarnya. Jari telunjuk melukis bulatan di tapak tangan berkedut ibunya. Buat seolah tak dengar dua ayat terakhir Puan Jelita. Makannya, lengannya dicubit kuat.
"Ah, ibu!"
"Dah, pergi tidur sana. Tak usah fikir tentang ibu. Tahulah ibu nak buat apa. Ibu kan ultraman."
Tertawa Atiya dibuatnya. Dia kucup belakang tangannya ibunya sebelum keluar dari bilik tidur utama. nafas tanpa sedar dihela kuat.
Tuhan, Kau lindungilah ibu aku dan berikan syurga buatnya. Tanpa dia, aku bukan sesiapa di dunia ini.
HUZAIR bersandar malas pada sofa. Kedua belah kaki elok melunjur memenuhi ruang sofa. Tangan kiri memeluk bantal di badan manakala tangan kanan memegang alat kawalan TV. Ditonton bosan dongeng indonesia yang disiar. Pagi begini memang itu ajelah yang paling menarik.
"Assalamualaikum." Suara ayu yang melaung menangkap telinga lintah Huzair. Tegak tubuhnya sesaat sebelum menoleh pada tingkap rumah. Sekali lagi suara itu kedengaran memberi salam.
Laju dia bangun meninggalkan segala di tangan dan cermin panjang di sebelah pintu rumah dilihat. Diuruskan rambut yang agak serabai kerana masih belum mandi. Baju dicium sedikit. Hm masih wangi.
Nafas ditarik dalam dan dia lebarkan bibir membentuk senyuman sebelum pintu dua muka itu ditarik menampakkan pemilik suara tadi. Makin melebar senyuman sebaik bertentang mata dengan si gadis.
"Waalaikumussalam, Jelita."
YOU ARE READING
Teruntukmu Bidadari
Romance"Layak ke gelaran ayah tu untuk ayah?" Kerana ayahnya, Atiya mula membenci semua lelaki. Bagi dia, semua lelaki sama. Awal-awal berayat manis, kemudian akhirnya menyakiti. Menganggap sekiranya dia dilayan dengan penuh kasih sayang, maka semuanya aka...