BAB 60

2.1K 188 33
                                        

PAKAIAN YANG TERAKHIR dia masukkan ke dalam beg sebelum zipnya ditarik. Zinnirah mula meliarkan matanya ke arah hujung bilik yang awalnya kosong namun sekarang sudah terisi dengan katil bayi buat anak mereka.

Sungguh cepat masa berlalu. Baru saja Zinnirah merasakan waktu-waktu seronok membeli barangan bayi bersama Absyar waktu di Negeri Sembilan berbulan yang lalu. Baru saja dia melayan karenah manja suaminya yang setiap kali mahu tidur, perlu dia peluk. Baru saja dia dapat menikmati ubat-ubatannya dalam dos yang sedikit asbab kandungannya. Dan baru saja dia merasakan tendangan kecil itu dari dalam perutnya.

Kini, Zinnirah sedang menghitung hari untuk melahirkan cahaya mata mereka. Perut yang memboyot itu membuatkan dia semakin mengah tatkala melakukan aktiviti hariannya.

"Allah..."

Sesekali dahinya berkerut apabila terasa kontraksi yang agak kuat. Namun, dia cuba mengawalnya seperti yang sudah diajarkan oleh doktor peribadinya, Doktor Absyar Abid.

Perutnya dielus lembut sambil menghembus nafas perlahan. Bibirnya itu pun terkumat kamit membacakan doa dan surah seperti apa yang Absyar amalkan.

Suaminya itu tak pernah sehari pun terlepas daripada membacakannya Surah Yusuf, Surah Maryam dan Surah Luqman sambil mengelus lembut perut sang isteri. Tika itu, Zinnirah merasakan dirinya sangat disayangi dan perasaan terharu membuak-buak.

"Yang..." panggil Absyar sambil membawa beg kelengkapan anak mereka.

Zinnirah terus berpusing ke arah Absyar dengan senyuman nipis.

"Dah siap?" soal Absyar yang sudah menghampiri isterinya. Kepala Zinnirah yang sudah bertudung, dia usap perlahan sebelum duduk melutut di tepi katil. Perut si isteri di pegang dengan senyuman yang terukir.

"Assalamualaikum anak ayah. Anak ayah sihat? Kita dah nak pergi hospital tau kejap lagi, ibu dah nak kena warded. Anak ayah anak yang baik kan? Tolong mudahkan urusan ibu ya, baby. Ayah doakan semoga urusan ibu dan baby Allah mudahkan dan lancarkan. Semoga semuanya selamat. Semoga ibu dan baby sihat bila selesai semuanya nanti. Baby jangan degil-degil ya? Mudahkan urusan ibu ya sayang. Bila baby keluar nanti, ayah bagi baby hadiah kalau baby jadi anak yang baik," pesan Absyar panjang sebelum melabuhkan satu ciuman hangat pada perut Zinnirah. Ciuman lama itu berakhir apabila terasa tendangan anak kecil itu pada pipinya.

Absyar tertawa kecil.

"Garang betul anak kita ni yang, sampai pipi abiy pun dia tendang," adu Absyar sambil menggelengkan kepalanya. Zinnirah turut tertawa kecil walaupun rasa sebak mula menghurung jiwa apabila mendengar perbualan Absyar dan anak mereka itu.

Jiwanya sentiasa hangat dengan kasih sayang lelaki itu. Dia sentiasa rasa dihargai dan dikasihi apabila bersama Absyar.

"Ji takut abiy," kata Zinnirah apabila rasa itu sedang menghantuinya sejak beberapa hari yang lalu. Dia takut untuk melahirkan. Dia takut jika hari itu merupakan hari terakhirnya di atas muka bumi ini.

"Abiy ada. Abiy akan teman sayang dalam labour room nanti. Abiy akan sentiasa doakan sayang. Sayang pun jangan lupa berdoa banyak-banyak, okey? Kita mohon bantuan daripada Allah supaya Dia dapat memudahkn segala urusan kita, okey sayang?" nasihat Absyar lembut sambil mengusap pipi isterinya. Zinnirah mengangguk lesu tanda faham.

"Tak nak sedih-sedih dah, kejap je lagi kita dah nak bertukar status," kata Absyar lalu melabuhkan ciumannya pada kedua-dua belah pipi Zinnirah.

"Abiy suka cium pipi Ji," kata Zinnirah lalu menolak wajah suaminya.

"Sebab gebu," usik Absyar lalu lantas berdiri.

"Jom gerak," ajak Absyar yang sedang menghulurkan tangan pada isterinya itu.

Badai Bahagia [✔]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang