Prolog

1 0 0
                                    

Aku tahu dia kaya. Tapi tak pernah terlintas sekalipun di minda, keluarganya memiliki rumah banglo sebesar ini di kawasan bandar. Dan aku yakin, ini bukan satu-satunya rumah yang mereka punya.

Kereta diberhentikan betul-betul di hadapan laman rumah. Kedudukan parkir seperti tidak kena, tetapi lelaki ini seperti tidak peduli. Sebab ini rumah dia kah? Tidak kisah mahu parkir di mana pun?

"Jom," ajaknya. Aku hanya mengangguk kekok lalu membuka tali pinggang keledar. Keluar saja dari kereta, seorang lelaki yang setia berdiri dari tadi di pagar rumah langsung mengambil kunci yang dihulurkan. Masuk ke dalam kereta dan memarkir dengan kemas di kawasan letak kereta. Sebaris dengan Honda yang baru diparkir itu, bersusun beberapa lagi kereta berjenama. 

Aku telan liur. Terasa mahu patah balik. Ini bukan seperti apa yang aku bayang. Bukan pula seperti apa yang aku rancang. 

Lelaki ini, aku sudah mengenalnya sejak zaman belajar. Baik buruk perangainya sudahku hafal dan hadam. Tidak pernah aku kekok berdiri di sebelahnya. Malah, setiap saat di sisinya memberikan aku kekuatan yang lain daripada yang lain.

Namun hari ini dia seperti orang yang sangat lain. Bukan kerana sikapnya, tapi kerana aku telah melihat satu sisi hidupnya yang sangat lain daripada apa yang aku biasa lihat. Ini realiti perbezaan kami yang aku gagal kenalpasti sepanjang perkenalan.

Bagaimana pula dengan keluarganya? Jika ditolak status sosial, masihkah diriku diterima baik?

***

"Baizura buat apa sekarang?" tanya ibunya dengan nada ceria. Sudah hampir satu jam aku beramah mesra dengan keluarganya di ruang tamu seluas rumahku di kampung. Bahuku yang awalnya tegang kerana kekok kini kendur dan selesa. Layanan hangat mereka melenyapkan rasa gemuruh yang hampir saja membuatku berlari pulang. Sama seperti dia, kini aku serba sedikit rasa diterima.

"Zura screenwriter bu. Banyak cerita dia tulis keluar panggung tau. Drama pun ada," dia menjawab bagi pihakku. Nadanya penuh semangat. Tiap satu filem dan drama disebut dengan tepat. Tak sangka dia mengingati kesemuanya. Tidaklah banyak. Cuma hasil kerja ku tidaklah begitu popular untuk diingati.

Perasaan ku ditengah antara rasa terharu dan serba salah. Terharu kerana dia seperti berbangga menjelaskan tentang diriku kepada keluarganya. Padahal jika dibandingkan, kerjayaku tidaklah sehebat dia dan keluarga.

Ibu bapanya merupakan doktor pakar yang terkenal di Malaysia. Bukan sebarang doktor, mereka juga merupakan ikon pakar motivasi yang berpengaruh. Sudah setaraf dengan selebriti. Ke mana saja mereka pergi, pasti akan dikenali.

Pada satu sudut kecil yang merasa bersalah, aku seperti tidak jujur jika hanya membiarkan dia menjawab bagi pihakku. Kerana dia juga belum tahu, aku tidak lagi bekerja. Aku telah membuat keputusan untuk berehat dari industri ini. Mungkin untuk jangka masa yang panjang. Atau mungkin untuk selamanya.

Aku memandang wanita dihadapanku ini. Khusyuk mendengar anaknya bermegah dengan kerjayaku yang tidak seberapa. Ah, aku masih tidak tahu mahu menggelarkannya apa. Terlalu hebat jika aku memanggilnya sekadar makcik. Terlalu formal jika aku memanggilnya dengan gelaran rasmi- Datin. Atau mungkin aku panggil saja doktor?

"Jadi sekarang, Baizura tengah buat cerita apa? Ke rahsia?" tanya wanita itu berseloroh. Aku turut tertawa dengan gurauannya. Kini, biarlah aku menjawab jujur.

"Saya sekarang tengah berehat doktor..." terangku sebelum dipotong.

"Eh, panggil je makcik. Macam dekat tempat kerja pula panggil doktor."

Aku mengangguk lalu menyambung. "Saya berehat sekejap dari kerja."

"Rehat? Kamu nak travel ke? Cari ilham?" Seloroh wanita itu.

Melihat aku yang terdiam lama, wajah wanita itu menampakkan kerutan gusar.

"Kamu sakit?" dia bertanya.

Kini anak lelaki kesayangannya memberikan sepenuh perhatian kepada ku. Dia juga turut berwajah risau. Aku tidak pernah memberitahunya apa-apa tentang pemberhentian seketika ku ini. Pasti dia terkejut apabila aku mengatakan aku ingin berehat tanpa berita apa.

Sakit? Tapi aku tak terlihat sakit. Jadi bagaimana aku ingin mengatakan bahawa aku sedang sakit?

Tapi mereka semua ini doktor bukan? Pasti mereka faham.

Aku menggenggam buka tanganku yang pucat. Sejuk. Bibir kering aku jilat sedikit sebelum menjawab. Kelopak kulit bibir yang kering sedikit basah. Tapi nanti kan kering lagi, hingga jariku gatal mencabut kulit itu satu per satu hingga berdarah.

"Saya pergi hospital haritu. Doktor diagnos saya ada MDD. Saya tak dapat buat kerja dengan normal macam selalu. Jadi saya nak berehat sekejap untuk fokus pada rawatan." Aku cuba menjawab tenang. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa gementarnya aku untuk menjawab sejujur itu. Selama ini jawapan itu tidak pernah menerima reaksi baik daripada yang meminta jawapan.

Tapi dihadapan aku ini, doktor kesemuanya. Mereka profesional. Pasti mereka faham.

Walaupun sekarang aku menyaksikan mereka berpandangan sesama sendiri dengan riak yang tidak menyenangkan. Bukan kerisauan seperti tadi.

Aku pandang dia. Dalam. Bola mataku tidak beralih seinci pun dari matanya. Cuba membaca apa di dalam kepalanya. Selebihnya, aku berharap agar diberikan kekuatan.

Nanti Bila Kita SembuhWhere stories live. Discover now