Tujuh

11 9 0
                                        

_________

Hari-hari selepas kejadian itu berlalu dengan perlahan. Sara sering terbayang-bayang saat dia menyelamatkan lelaki itu. Kenangan bersama Haknyeon terus menghantuinya, tetapi kini, ada perasaan baru yang mengisi kekosongan itu, iaitu keberanian untuk meneruskan hidup.

Walaupun hatinya berat, Sara sedar dia tidak boleh terus terperangkap dalam kenangan. Dia ingin menghargai semua yang Haknyeon ajarkan padanya. Dengan tekad baru, dia mengambil keputusan untuk menghadiri sesi terapi yang disarankan oleh Arin.

"Sara, kau perlu berbincang dengan seseorang," kata Arin pada suatu malam ketika mereka berdua duduk di bilik Sara. "Kau tak boleh simpan semuanya sendirian."

Sara menarik nafas panjang. "Tapi... aku takut."

"Tak perlu takut. Ini untuk kebaikan kau. Kau nak buat Haknyeon bangga, kan?" Arin memberi dorongan.

Sara tersenyum lemah, memikirkan tentang Haknyeon. "Ya... aku nak buat dia bangga."

Setelah beberapa hari, Sara akhirnya pergi ke sesi terapi pertamanya. Dia duduk di hadapan kaunselor, terasa gementar dan tidak pasti di mana harus bermula.

"Bagaimana perasaan kamu hari ini?" kaunselor itu bertanya dengan lembut.

Sara terdiam sejenak. "Saya rasa... hilang. Seperti tiada hala tuju."

Kaunselor itu mengangguk, memahami. "Itu adalah perasaan yang biasa setelah kehilangan. Mari kita bincangkan tentang seseorang yang kamu ingat. Mungkin.. Haknyeon?"

Dengan perlahan, Sara mula menceritakan tentang Haknyeon, sifatnya yang baik, senyumnya yang mampu mencerahkan hari-hari gelap, dan bagaimana dia selalu ada untuknya. Dia bercerita tentang semua kenangan indah yang mereka ada, dan bagaimana kehilangan itu menjadikannya terasing dari dunia.

"Saya rindu Haknyeon, sangat-sangat" ujar Sara, air matanya mengalir. "Saya tahu dia nak saya bahagia. Sebab itulah saya perlu teruskan kehidupan."

Kaunselor itu tersenyum. "Itulah langkah pertama, Sara. Menerima kehilangan dan cuba untuk meneruskan hidup dengan cara yang membuatkan dia bangga."

Selepas sesi itu, Sara pulang dengan perasaan yang lebih ringan. Dia tahu perjalanan ini akan sukar, tetapi dia bertekad untuk menghargai kehidupan, bukan hanya untuk dirinya tetapi juga untuk Haknyeon.

_________

kamu.Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang