BILA KAHWIN DENGAN PENGGANGUR

140 8 0
                                    

"ASSALAMUALAIKUM...."
   
Salam dijawab dalam hati. Mendekati Raid tangan lelaki itu disalam. Kemudian Raid balas dengan cium ubun-ubunnya. Perkara biasa bagi mereka suami isteri. Awal-awal kahwin Nailah sangat teruja dilayan begitu. Biasalah waktu itu semua manis belaka.

Tapi sekarang...

    "Macam mana interview? Ada berita gembira? Abang dapat kerja?" Tiga soalan ditanya serentak. Ini lebih penting. Setiap kali Raid balik rumah Nailah harap ada berita gembira yang akan disampaikan. Tapi melihat wajah sunggul itu, dia sudah tahu apa jawapan.

    "Kalau lulus mereka akan hantar email atau call."
    Ayat untuk sedapkan hati dia. Ini bukan temuduga pertama lelaki itu. Dalam seminggu dua tiga kali suaminya pergi temuduga kerja. Tapi sehingga kini, langsung tiada berita gembira. Nailah di rumah tunggu dengan penuh harapan.

    "Lusa abang try pergi company lain pula. Insya-Allah ada rezeki abang nanti."

    Tidak membalas Nailah heret kaki masuk dapur. Dia tidak peduli apa yang Raid buat untuk dapat kerja. Dia cuma mahu tahu hasilnya.

"Abang!" Ditolak tangan lelaki itu yang melingkari pinggang. Tidak rasa mahu bermesra saat ini.
"Pergilah mandi dulu."

    "Boleh Ila urut abang? Dah lama Ila tak urut." Raid meminta. Sebelum ini setiap kali balik, nampak saja dia penat laju tangan Nailah mengurut leher dan kakinya. Wanita itu tahu apa yang perlu dibuat.

    "Kan Ila tengah masak ni. Abang tak nampak ke?"

    "Abang rindu Ila."

    "Abang!" Marah Nailah apabila pipinya dicium.
Sedar sudah meninggikan suara, tangan meraup muka. Itu bukan ayat menggoda, tapi memang setiap kali sampai rumah, Raid akan membisikkan ayat itu di telinga. Cuma sekarang, Nailah tak tahu apa kena dengan dirinya. Mudah sangat marah.

    Raid melepaskan pelukan. Tangan naik menggosok ubun-ubun isteri. "Sorry, abang tak sempat bawak balik apa-apa makanan untuk Ila."

    "Tak payah beli apa-apa. Kita kena berjimat." Ayat seolah berjauh hati.    

    "Jom, kita masak sama-sama. Abang tolong."

     "Abang please, jangan kacau Ila masak." Kerana suaranya yang tegas, dilihat Raid terus keluar. Kemudian Nailah mengeluh mengenangkan sikapnya sebenar tadi.

    Apa punca dia tiba-tiba berubah?

    Selesai memasak, Nailah mula menghidang. Ayam masak merah. Ada tiga ketul dalam satu mangkuk. Cukuplah untuk mereka berdua makan. Dalam pinggan lain ada timun yang dipotong halus. Hanya itu lauk makan malam. Kemudian kaki diheret ke ruang tamu.

"Abang, jom makan." Dipanggil Raid yang duduk sambil menghadap laptop. Entah apa sedang dilayari lelaki itu pun dia tak tahu. Apabila Raid bangun, Nailah pula yang duduk di sofa.

"Jomlah makan sekali."

"Ila tak lapar."

"Takkan abang nak makan sorang-sorang?"

"Takde masalah pun makan sorang." Mata hala ke TV yang sedang menyiar berita. Bukan Nailah fokus pun dengan apa yang dilihat sekarang.

"Ila tak pernah biar abang makan sorang. Tengah malam abang lapar pun Ila bangun masak dan teman abang."

Nailah harap Raid akan terus ke meja makan tapi sebaliknya lelaki itu melabuhkan duduk di sebelah. Dia tahu Raid tidak akan makan tanpanya.

"Abang tahu Ila marah abang."

Apabila Raid buka mulut terus lelaki itu dipandang. Buat kali pertama Raid mengaku. "Dah tiga bulan selepas abang kantoi sampai sekarang abang masih tak ada kerja." Diluah apa yang terpendam di hati.
Cerita tiga bulan lepas mula merubah hidup mereka. Kali pertama ditipu Raid. Lelaki itu berpenampilan kemas, bersiap pergi kerja sedangkan waktu itu Raid rupanya sudah tak bekerja. Betapa hebat lelaki itu menyembunyikan rahsia.

"Abang tahu Ila akan kecewa kalau tahu abang kena buang. Sebab tu abang rahsiakan."

Itu alasan Raid bagi. Ya, Nailah kecewa. Tapi bukan kecewa sebab tahu suaminya dibuang kerja tapi kecewa kerana Raid merahsiakan hal sebenar.

"Ila tahukan abang tengah usaha cari kerja?"

"Tapi mana hasilnya? Nothing! Dan 10 bulan abang tak kerja. Abang tahu tak duit abang makin kurang?"

"Itu ke yang Ila risau?"

"Bulan ni abang tak bayar duit kereta Ila. Bulan depan macam mana?"

"Hanya duit kereta. Yang lain semua cukup. Masih sama. Takde apa kurang sekalipun abang tak kerja. Cuma abang tak boleh nak mewahkan Ila macam dulu. Kita kena berjimat."

"Jimat?" Tergelak sinis. "Selepas tiga tahun abang mewahkan Ila, sekarang abang nak ajar Ila hidup susah?"

"Tak lama pun. Sementara abang dapat kerja. Sekarang ni kita hidup dengan duit saving abang. Jadi nak tak nak kita kena berjimat. Abang tak nak duit saving habis sebelum masanya. Tapi untuk setahun ni, insya-Allah masih cukup."

Nailah tetap gusar. Itu kiraan kasar. Apa-apa boleh jadi. Raid banyak tanggungan yang perlu dibayar setiap bulan. Rumah, kereta dua buah, insurans, makan, bil utiliti, personal loan, mak ayah mereka dan banyak lagi. Dan itu semua lebih RM 4000!

"Ila tak boleh kita terusan macam ni. Tiga bulan Ila sabar. Ila bagi peluang abang cari kerja. Tapi apa Ila nampak? Abang cuma ke hulu ke hilir tanpa buat apa-apa kerja. Sampai satu tahap Ila yang kena bagi abang pinjam duit."

"Hanya sekali abang pinjam duit Ila. Itu pun bukan abang buat makan, cuma isi minyak."

Terus Nailah meraup rambut. Tak pernah-pernah dia guna duit simpanannya. Sekarang dia terpaksa keluarkan untuk kelangsungan hidup.

"Dan abang dah ganti balik duit Ila."

"Sekarang ni Ila nak abang buatlah apa kerja pun, janji abang ada duit. Buat grab ke, jadi runner ke. Tapi masalahnya abang tak nak. Dalam keadaan sekarang pun abang nak pilih kerja."

"Abang bukan pilih. Abang cuma tak nak bazir masa buat kerja tu semua. Abang ada fokus apa yang abang nak buat. Ila jangan risau, kita takkan miskin. Memang abang tak kerja, tapi abang masih mampu bagi Ila makan."

Geram terus Nailah angkat punggung lalu masuk bilik. Kalau dia tak mengalah, mereka boleh gaduh.

KHILAF NAILAFWhere stories live. Discover now