Ezra jengilkan mata pada Hanafi yang duduk di samping katil.
"Bukalah mulut. Jangan sampai aku suap bubur ni masuk dalam mata kau" Ujar Hanafi geram. Dia punyalah nak jadi rakan paling baik hari ini, Ezra pula tak reti nak hargai.
"Banyak-banyak makanan, kenapa bubur? Bukannya aku budak kecil. Aku ni nak masuk separuh abad" Ezra gelengkan kepala. Siap nak suap bagai. Dia di tembak di bahagian pinggang bukannya tangan.
"Sebab kau nak masuk separuh abadlah kena makan. Kau cerewet jangankan separuh abad, hari esok belum tentu kau bernafas."
Main kasar nampak.
"Buka mulut" Hanafi dekatkan sudu pada bibir Ezra.
Pasrah wajah Ezra seraya mulutnya dibuka kecil. Tak tunggu lama, terus disumbat masuk bubur itu ke dalam mulut Ezra.
Rasa nak marah. Kawan jenis apalah suap macam nak buat orang tercekik. Nasib bubur. Kalau ayam seketul, mahu tak mati tercekik Ezra di situ. Elok-elok sudah sedar, koma lagi setahun.
Bila lidahnya mengamati rasa bubur itu, bibirnya senyum tanpa sedar. Sedap. Sesuai dengan cita rasa dia.
"Sedap kan?" Hanafi jungkitkan kening berulang kali. Siap dengan muka bangga. Macam dia pula yang masak. Masuk dapur pun jarang. Siap ada FoodPanda Premium member.
"Beli mana?" Ezra juihkan bibir pada sebekas bubur di tangan Hanafi.
"Tak beli. Ini hasil tangan orang yang kau sayang" Disuap lagi sedikit bubur masuk ke mulut Ezra.
Dahi Ezra sedikit berkerut tapi mulut tetap dibuka menerima suapan demi suapan daripada Hanafi. Makanan sedap susah nak ditolak.
Orang yang dia sayang? Keluarga Ariths? Daniel? Rasanya jejaka itu saja yang tahu masak.
"Daniel?"
Aleeq yang duduk di atas sofa terbatuk-batuk mendengar tekaan Ezra. Patutlah Yumna salah faham yang Ezra gay. Banyak-banyak manusia yang boleh Ezra sayang, kenapa harus nama Daniel juga yang disebut.
"Kau sayang Daniel? Kau jangan macam-macam. Aku tahulah Daniel tu duda terlajak laris." Hanafi geleng kepala dengan muka kecewa. Berlakon nak kenakan Ezra. Asyik murung saja muka sahabatnya, sekali-sekala nak juga nampak muka kesal geram Ezra.
"Diamlah. Aku nak lagi" Ezra tunjuk bubur.
Senyum lebar Hanafi. Sukalah tu. Hasil tangan Yumna memang sedap. Ini kalau tak difikirkan perasaan Ezra, memang dia jadikan Yumna suri hati dia. Tapi Hanafi tak salahkan sesiapa, kadang perkara seperti ini yang akan tinggalkan pengajaran dalam hidupnya. Mungkin ada yang lebih baik buat dia di hadapan sana.
Hanafi ada hak untuk menyayangi. Walaupun sayangnya pada orang yang salah.
Setelah disuap bubur ke mulut Ezra, Hanafi letakkan bekas bubur di atas paha.
"Yumna yang masakkan."
Terhenti gerak mulut Ezra. Tubuhnya kaku tanpa sebab. Matanya bulat memandang Hanafi. Bubur yang tadi sedap ditelan jadi payah. Dia berdehem untuk betulkan tekak.
"Ke-kenapa dia masak untuk aku?" Soal Ezra.
Senyuman di bibir Hanafi lebar terukir.
"Untuk orang yang dia sayang apa salahnya?" Kedua bahunya diangkat tinggi. Hatinya sakit tapi perlahan-lahan dia akan belajar untuk melepaskan.
Terkebil-kebil Ezra di situ. Siapa sayang? Sayang? Hah?
"Maksud kau, Yumna masakkan untuk kau dan kau beri pada aku?" Ezra bertanya untuk memastikan. Manalah tahu, Hanafi salah susun ayat. Ayat Hanafi sebentar tadi buat salah faham.

YOU ARE READING
Ezakiel Ezra I : The Soulless Puppet
Non-FictionCERITA BERAT! (AKAN KEMBALI!) "It was the hardest goodbye. Thank you mi alma" Ezakiel Ezra. Nama yang diberi oleh Ryan Stello kepada Carl Leo Pierre sebagai identiti barunya. Carl merupakan anak angkat di dalam keluarga Pierre. Satu keluarga yang me...