ℙ𝕣𝕠𝕝𝕠𝕘𝕦𝕖 : 𝐒𝐡𝐚𝐝𝐨𝐰 𝐨𝐟 𝐭𝐡𝐞 𝐏𝐚𝐬𝐭

3 0 0
                                    

      Bunyi deruan angin malam menyelinap melalui tingkap yang sedikit terbuka. Di bawah selimut tebal, Sophea meronta, dahinya berkerut, tubuhnya resah seperti dikejar bayangan dari masa lalu. Dalam mimpinya, dia kembali ke tempat asing yang terasa begitu akrab—suasana hangat dengan suara lembut yang memanggil namanya.

“Sophea... anakku, datang ke sini. Jangan takut.”

Seorang wanita, berwajah lembut tetapi penuh misteri, menghulurkan tangan. Di sekelilingnya, wajah-wajah lain yang terasa begitu dekat—keluarga kandungnya. Mereka tersenyum mesra, namun senyuman itu terselubung oleh rasa cemas dan tergesa-gesa. Bayangan langit yang gelap, suara jeritan yang tidak jelas, dan siluet makhluk-makhluk asing mengintai di kejauhan membuatkan Sophea terasa takut, seperti ada bahaya yang sedang mendekat.

"Apa yang sedang berlaku, ibu? Kenapa semua orang kelihatan takut?"

Sophea bertanya dalam mimpinya, tetapi wanita itu hanya tersenyum pahit.

"Kami tiada banyak masa, Sophea. Kau mesti lari... dan jangan pernah kembali."

Tiba-tiba, bunyi dentuman kuat memecahkan suasana. Tangannya direntap kasar, dan dalam sekelip mata, semuanya menjadi gelap.



---




Sophea terbangun dengan nafas tercungap-cungap, peluh membasahi wajah dan tengkuknya. Matanya meliar, cuba menyesuaikan diri dengan kegelapan bilik. Dadanya berdegup kencang, seperti mimpi itu lebih daripada sekadar mainan tidur. Tangannya mengusap wajah, cuba menenangkan dirinya.

“Mimpi… hanya mimpi,” bisiknya perlahan, cuba meyakinkan diri sendiri. Tetapi ada sesuatu yang tidak kena—mimpi itu terasa terlalu nyata, seolah-olah sebahagian daripada dirinya yang hilang cuba kembali.

Sophea memandang sekeliling bilik kecilnya. Poster saintifik dan nota kajian bertampal di dinding. Rak bukunya penuh dengan jurnal penyelidikan—semuanya mengingatkannya tentang kehidupannya sekarang sebagai saintis yang bekerja di makmal milik keluarga angkatnya. Dia sudah terbiasa dengan identiti barunya, atau sekurang-kurangnya itulah yang dia fikirkan.

Namun, ada sesuatu dalam mimpi itu—suara wanita itu dan bayangan keluarga yang muncul dalam ingatannya—yang membuatkan Sophea rasa tidak tenang. Selama ini, dia diajar bahawa dia telah hilang ingatan akibat kemalangan yang berlaku sewaktu dia kecil. Dia dibesarkan oleh keluarga angkatnya dengan penuh kasih sayang, tetapi anehnya, mimpi tadi membuka pintu kepada memori yang dia tidak pernah tahu wujud.

"Siapa mereka?" soalnya pada diri sendiri sambil memandang keluar tingkap, seolah-olah jawapan kepada persoalannya tersembunyi di langit malam.

Bunyi ketukan lembut di pintu memecah lamunan Sophea.
“Hei Sophea, kau okey?” Suara Jiwoon, adik lelakinya, kedengaran lembut dari sebalik pintu.

“Yes... I’m fine,” jawab Sophea, cuba mengawal nada suaranya.
"Cuma mimpi buruk."

Jiwoon mendiamkan diri sejenak sebelum berkata, “Kalau kau perlukan apa-apa, aku ada dekat bilik sebelah.”

Sophea hanya mengangguk walaupun Jiwoon tidak dapat melihatnya. Selepas bunyi langkah Jiwoon menjauh, Sophea menghela nafas panjang dan membaringkan semula tubuhnya di atas katil. Namun, mata Sophea terus segar, seperti hatinya tahu bahawa mimpi tadi bukan sekadar mimpi. Ia adalah petanda tentang sesuatu yang jauh lebih besar—sesuatu yang selama ini tersembunyi di dalam dirinya.

𝐓𝐡𝐞 𝐃𝐢𝐯𝐢𝐧𝐞 𝐒𝐞𝐜𝐫𝐞𝐭𝐬 - 𝐵𝑇𝑆 [OG]Where stories live. Discover now