D U A

12 3 2
                                    


Sejak pertemuan pertama di kafe, wajah War terus-menerus menghantui fikiran Yin. Ada sesuatu yang sangat menarik tentang lelaki itu, sesuatu yang tersembunyi di sebalik pandangan tajamnya. Malam-malamnya dihabiskan memikirkan War, meneka apakah rahsia yang disimpan di balik senyum dinginnya.

Hari ini, Yin kembali ke kafe tempat mereka bertemu, berharap akan terserempak dengan War sekali lagi. Namun, setelah sejam menunggu, War tidak kelihatan. Yin akhirnya bangun, bersiap untuk pulang dengan perasaan kecewa. Tiba-tiba, pandangannya tertangkap pada sosok lelaki yang dikenali melintasi tingkap kafe – War, berjalan cepat seolah-olah sedang menghindari sesuatu.

Tanpa berfikir panjang, Yin keluar dari kafe dan mula mengikutinya dari jauh.

War berhenti di lorong sepi di belakang sebuah bangunan usang. Dia melihat sekeliling dengan penuh waspada, dan Yin menyembunyikan dirinya di balik dinding, menahan nafas. Yin tidak pasti mengapa dia mengintip, tetapi ada dorongan kuat dalam dirinya untuk terus memerhatikan lelaki itu.

Tiba-tiba, seorang lelaki lain muncul, menghampiri War dengan wajah tegang. Dari tempat persembunyiannya, Yin dapat mendengar serpihan perbualan mereka.

"Kau tak sepatutnya kembali ke sini, War," lelaki itu berkata dengan nada keras.

"Aku tak ada pilihan," balas War, suaranya dalam dan tenang. "Ada sesuatu yang belum selesai. Kau tahu itu."

"Kau gila! Kalau mereka dapat tahu kau ada di sini, kau tahu apa yang akan berlaku!"

"Biarkan saja!" War menjawab sinis.

"Aku dah lama tak peduli dengan apa yang orang fikir tentang aku." Sambungnya lagi.

Yin terdiam, perasaan ingin tahunya semakin membuak-buak. Apa sebenarnya yang berlaku? Siapakah 'mereka' yang dibicarakan? Dan apa yang membuatkan War begitu tidak peduli dengan nyawanya sendiri?

Lelaki itu menggeleng, kelihatan resah. "Kau patut pergi sekarang, War. Kalau kau sayangkan nyawa kau, ini bukan tempat untuk kau."

"Dengar sini..." War berkata dengan nada rendah tetapi tegas. "Aku akan buat ni dengan cara aku. Jadi, tolong jangan halang aku."

Yin tidak dapat mendengar lagi perbualan mereka yang seterusnya kerana mereka bergerak semakin jauh ke dalam lorong gelap. Namun, dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam percakapan mereka... sesuatu yang mungkin War sembunyikan... mungkin rahsia yang telah lama menghantui hidupnya seperti yang dikatakan tempoh hari.

Malam itu, Yin tidak dapat tidur. Perbualan yang didengarinya tadi bergema dalam kepalanya, menyebabkan beberapa hasutan negatif berlegar-legar di mindanya tentang siapa War yang sebenar.

Pencuri ke dia? Perogol bersiri? atau... pembunuh??

**
Keesokan paginya, Yin membuat keputusan untuk bertanya secara terus kepada War. Walaupun rasa bimbang menyelubunginya, dia tahu dia tidak akan berasa tenang selagi tidak mendapat jawapan.

Yin menunggu di kafe sehingga akhirnya War muncul, wajahnya tetap dingin seperti sebelumnya. Setelah beberapa saat, War melihat Yin, kelihatan sedikit terkejut tetapi tidak menunjukkan reaksi berlebihan.

"Yin, kau di sini lagi?" soal War sambil duduk di meja.

Yin menarik nafas dalam-dalam, menahan segala kekeliruan yang menghambatnya.

"War, semalam... aku nampak kau di lorong belakang bangunan usang," kata Yin perlahan, matanya menatap tepat ke arah War. "Aku dengar perbualan kau dengan lelaki itu."

War kelihatan terkejut, tetapi dengan cepat menenangkan dirinya. Wajahnya kembali dingin.

"Kau mengintip aku?" soalnya dengan nada tajam.

Yin teragak-agak, tetapi tetap berterus-terang. "Aku tak berniat! Aku cuma... aku cuma nak tahu. Siapa kau sebenarnya, War? Apa yang kau sembunyikan?"

War menghela nafas panjang, wajahnya kelihatan berat. Dia menunduk sejenak, seolah-olah sedang memilih kata-kata yang sesuai sebelum akhirnya dia bersuara.

"Ada benda yang kau takkan faham, Yin," katanya, nadanya lembut tetapi penuh misteri. "Kadang-kadang, perkara yang kita sembunyikan ada sebabnya. Dan mungkin... kau tak patut tahu apa yang ada di sebalik semua ini."

"Tapi kenapa?" Yin membalas, suaranya terdesak. "Kau cakap seolah-olah aku tak patut dekat dengan kau. Tapi kenapa? Apa yang buat kau begitu?"

War memandangnya lama. "Kalau kau tahu, hidup kau mungkin akan berubah, Yin. Apa yang aku lalui bukan sesuatu yang mudah difahami. Dan percaya atau tidak, aku cuba lindungi kau."

"Aku tak perlukan perlindungan kau, War. Aku cuma nak tahu siapa kau sebenarnya je. Aku tak tahu kenapa, tapi selepas kali pertama kita berjumpa, aku rasa tertarik... Kau ada aura yang buatkan aku tertarik nak kenal kau lebih dalam."

War tersenyum nipis, seakan-akan tersenyum pada dirinya sendiri. "Kalau begitu, bersedia untuk kecewa. Sebab kadang-kadang, semakin dalam kau gali, semakin banyak bayang-bayang yang akan muncul."

Dia bangun, bersedia untuk beredar lagi. Yin memegang lengannya, tidak mahu melepaskan peluang ini.

"War, tolonglah," Yin merayu. "Aku cuma... aku rasa ada sesuatu tentang kau yang aku perlu tahu."

War menatap Yin untuk beberapa saat, matanya penuh dengan sesuatu yang sukar dibaca. Akhirnya, dia melepaskan tangannya dari genggaman Yin dengan lembut.

"Yin, percayalah. Kadang-kadang ada bayang-bayang yang lebih baik dibiarkan dalam kegelapan."

Dengan itu, War melangkah keluar dari kafe, meninggalkan Yin yang masih terkeliru. Tetapi dalam hatinya, Yin tahu ini bukan pengakhiran. Dia tahu dia akan berusaha untuk mencari kebenaran di sebalik segala rahsia yang War sembunyikan.

**

**

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
SHADOWS OF THE LOSTWhere stories live. Discover now