HARI Ahad merupakan seksaan bagi marhaen Kota Indera Petra. Masing-masing bermalas-malasan. Pergerakan masa dirasakan lambat dan mereka mengharapkan esok datang menginjak dalam masa beberapa saat seterusnya ke hujung minggu yang lama. Kalau boleh, mereka mahukan setiap hari adalah hari hujung minggu di Kota Indera Petra.
Ahad. Hari perkumpulan para marhaen. Dataran luas akan dibanjiri marhaen tidak kira bijak atau kurang bijak. Kelas yang membezakan mereka adalah pakaian seragam mengikut tugas masing-masing. Majoriti berpakaian warna putih, sikit-sikit berpakaian biru dan jarang-jarang memakai pakaian berwarna koko cair. Warna berikut melambangkan keharmonian di Kota Indera Petra.
Cendekia-cendekia lepasan institusi ilmu tinggi pula dilantik menjadi pengawas minda para marhaen. Dalam kalangan cendekiawan dan cendekiawati tersebut, dilantik beberapa orang sebagai ketua untuk mentadbir ahli sistem Kota Indera Petra. Pakaian mereka adalah gaya bebas asalkan tidak menjolok pandangan mata. Pengawas-pengawas serta orang atasan tadi pula akan berdiri di atas pentas berhias mewah dengan emas-emas tiruan ditampal bagi menampakkan gaya, mutu serta keunggulan. Di hadapan mereka duduknya para marhaen dengan gaya bersila panggung. Sebaliknya para pengawas tenang bersandar semayam di kerusi empuk yang dimport dan ditaja oleh para marhaen Kota Indera Petra.
YOU ARE READING
Perhimpunan Haram
RandomKota Indera Petra dihuni marhaen pelbagai rupa dan ragam. Komoditi terbesarnya adalah ilmu. Autoritinya ialah golongan elitis yang pernah melalui pengalaman sebagai marhaen sehinggalah memperolehi jawatan sebagai pentadbir. Pemerintahan elitis yang...