#1: PELARI ISTANA

8.4K 14 1
                                    

Dalam keadaan yang kadang-kala berangin, memang sukar untuk mereka meneruskan perjalanan. Diminta ampun dan simpati daripada tuhan; agar jangan pula menurunkan hujan. Mike yang sibuk mengendong barang buruan terserempak dengan Roderigo yang berbaringan di tengah-tengah denai. Mike pantas menyapa.

"Rod, kau ni aku tengok makin malas." Mike menegur.

"Bukan aku yang malas, tapi kau yg bodoh." Balas Roderigo.

"Cuba kau tolong angkat barang-barang ini. Nanti istana agih-agihkan. Mana kesetiaan kau kepada kerabat dirgahayu kita?"

Roderigo tenang menyalakan sebatang rokok daun kering tanpa mengendahkan Mike yang selalu disalah-sangka sebagai orang minyak. Giliran dia pula menempik Mike sang hitam legam.

"Mike. Tadi aku dari barisan belakang sekali. Dah 14 kali aku buat kerja lari-lari ni. Tak perlu angkat barang pun kita pasti dapat makan."

"Tapi aku tak mampu nak berlari laju macam kau. Aku gusar dengan titah istana."

"Kita kena mula lari laju dah Mike. Kita sampai dulu, kita makan dulu. Kau fikir juak-juak istana pedulikan nasib kita khadam pemburu barangan?"

Sedang mereka bertelagah, guruh berdentum menggegarkan bumi.

"Rod! Lihat! Guruh dah berbunyi. Ini bukti kedaulatan istana. Kau harus memohon sembah ampun Tuanku Permaisuri Merah secepatnya."

Rod mengumpulkan puak pelari. Mereka tidak mengendong apa-apa untuk meneruskan larian ke teratak istana. Dia tidak pernah percaya akan kewujudan kuasa tuhan yang luar biasa dari dalam istana. Mike pula sibuk menghitung barang kendongan sambil lidahnya tidak putus-putus menyebut 'ampun tuanku' berulang-ulang. Barangkali, itu adalah zikir ketakutan.

Sepanjang denai perburuan mereka, tiba-tiba hadir sebuah taufan menggila yang menusuk aroma beracun...

PSSTTT....

PON! PON!

Mersing berlari ke arah pintu hadapan selepas mendengar bunyi hon yang bingit. Diselaknya sedikit kain langsir di bucu tingkap. Penduduk kampung berkumpul dan bersorak kuat. Pesta perarakan mega kembara istana dengan kereta-kereta mewah dan motosikal-motosikal berkuasa tinggi sedang rancak berlangsung. Dia meletakkan tin penyembur serangga di atas lantai lalu berlari terkecuh-kacah mengibarkan bendera gergasi di hadapan pintu rumahnya.

***


MAHU YANG PENDEK-PENDEKWhere stories live. Discover now